Gaji pegawai rendah polis wajar dinaikkan

Gaji pegawai rendah polis wajar dinaikkan

Kerajaan disaran menaikkan gaji minimum polis pangkat rendah sekurang-kurangnya RM1,500.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan kenaikan gaji minimum pegawai rendah polis kepada lebih RM1,500 selaras dengan keadaan semasa terutama peningkatan kos sara hidup dan harga barangan semakin tinggi.

Utusan Malaysia difahamkan, seramai 108,000 pegawai rendah polis yang bertugas di seluruh negara ketika ini gaji mereka adalah di bawah kadar paras pelaksanaan gaji minimum RM1,500 iaitu RM1,441.

Bekas Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, gaji minimum membabitkan pegawai rendah polis bermula konstabel itu wajar disemak oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

Kata beliau, kenaikan itu perlu dinilai semula berikutan kadar gaji minimum pada masa ini tidak sesuai lagi dengan kos sara hidup.

“Lebih penting, kenaikan itu perlu dinilai berdasarkan kadar sara hidup dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain. Sebagai contoh, bandar besar seperti Kuala Lumpur, sudah pasti, harga sewa rumah dan bahan makanan adalah lebih mahal daripada tempat lain.

“Selain itu, bayaran cola dari satu tempat ke satu tempat juga perlu disemak semula untuk membantu anggota pangkat rendah mendapat gaji yang setimpal dengan tugas dan keadaan semasa,” katanya di sini semalam.

Senada dengan itu, Presiden Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja Malaysia (PPRPD), Sub Inspektor Suhaimi Mohd. Yusoff berkata, kerajaan perlu memberi pertimbangan sewajarnya untuk menyelaraskan skim gaji permulaan bermula daripada kumpulan sokongan ini.

Katanya, pada masa ini kos sara hidup meningkat secara keseluruhannya bukan setakat di bandar besar, malah di luar bandar juga merasai kesannya.

“Pada saya cadangan ini patut dilaksanakan bagi membantu pegawai rendah polis yang terkesan dengan kenaikan harga barangan keperluan harian dan perbelanjaan persekolahan anak-anak.

“Langkah itu bukan sahaja dapat membantu kelangsungan hidup mereka tetapi juga memberi semangat kepada anggota polis untuk berkhidmat dengan lebih komited,” jelasnya.

Kata beliau, skim yang sedia ada sudah lama tidak diubah dan masih berada di bawah paras gaji minimum.

“Pihak persatuan, sudah lama bawakan isu ini kerana melihat gaji mereka jauh berbeza jika dibandingkan dengan agensi lain. Demi kebajikan mereka, kenaikan ini amat diperlukan.

“Cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang ingin membawa perkara ini kepada pihak kerajaan amat dialu-alukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×