TAHAP kualiti udara tidak sihat baru-baru ini di negara kita mengingatkan semula krisis jerebu pada 2015 sehingga diisytiharkan darurat menyebabkan penutupan sekolah, pejabat kerajaan, pelabuhan dan pembatalan penerbangan. Satu kajian pada 2016 menunjukkan jerebu rentas sempadan yang berlaku pada tahun berkenaan menyebabkan lebih 100,000 kematian di Indonesia, Malaysia dan Singapura. Seolah-olah kita sedang mengalami semula sejarah pahit ini apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) sekali lagi mencapai tahap tidak sihat dan kesan pencemaran udara terhadap kesihatan terutama kanak-kanak tidak boleh diabaikan.
Udara bersih bukanlah suatu kemewahan tetapi hak asasi yang layak diterima oleh setiap kanak-kanak. Kualiti udara yang buruk sama ada disebabkan sumber tempatan atau jerebu rentas sempadan mempunyai implikasi yang teruk kepada kesihatan dan masa depan anak-anak kita.
Adalah menjadi hak setiap kanak-kanak dan belia di negara ini untuk menghirup udara yang tidak menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan mereka. Ia satu ancaman senyap kepada anak-anak kita dan terbukti secara saintifik bahawa udara tercemar berupaya menyusup ke dalam badan, menjejaskan perkembangan paru-paru dan berpotensi membawa penyakit pernafasan kronik, manakala unsur neurotoksik boleh menghalang pertumbuhan kognitif.
Kes-kes penyakit pernafasan yang semakin meningkat dalam kalangan belia juga merupakan bukti kepada kesan buruk pencemaran udara khususnya kanak-kanak yang terdedah pada risiko lebih tinggi. Hal ini boleh menyebabkan kemerosotan kualiti kehidupan mereka seterusnya membebankan sistem kesihatan di negara kita.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap hari kira-kira 93 peratus kanak-kanak di bawah usia 15 tahun (1.8 bilion orang) menghirup udara sangat tercemar yang membahayakan kesihatan dan perkembangan mereka. Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia dalam satu artikel menyatakan, kanak-kanak adalah lebih rentan kepada kesan pencemaran udara kerana paru-paru, otak, pertahanan fizikal dan sistem imun mereka belum sepenuhnya berkembang. Mereka juga bernafas dengan kadar lebih laju daripada orang dewasa, seterusnya menghirup jumlah pencemar lebih tinggi.
Pendedahan kepada pencemaran udara telah dikaitkan dengan kesan kesihatan buruk kepada kanak-kanak termasuk fungsi paru-paru yang berkurangan, jangkitan pernafasan, asma dan kematian pramatang. Pencemaran udara adalah ancaman utama boleh dicegah dan terurus kepada kesihatan, kesejahteraan dan pemenuhan pembangunan mampan rakyat. Selain itu, penting untuk menyedari bahawa isu kualiti udara melangkaui kesihatan fizikal. Udara yang tercemar menyekat aktiviti luar kanak-kanak dan menghalang akses mereka kepada pendidikan berkualiti.
Selalunya ini memburukkan lagi ketidaksamaan masyarakat sedia ada, memberi kesan tidak seimbang kepada komuniti yang paling terdedah di negara kita.
Satu laporan media baru-baru ini menyatakan Indonesia, Malaysia dan Singapura bakal menghadapi krisis jerebu terburuk dalam tempoh lima tahun disebabkan El Nino, satu fenomena membabitkan perubahan tekanan atmosfera dan suhu lautan terutama di Lautan Pasifik yang boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering di Asia Tenggara, meningkatkan lagi risiko kebakaran akhirnya jerebu merentas sempadan yang teruk. Tidak ada gunanya jika terus menuding jari kepada pihak lain, apa yang lebih penting adalah memberi tumpuan kepada penyelesaian yang proaktif serta efisien bagi menghadapi isu yang semakin serius ini.
Kerajaan khususnya mempunyai peranan penting dalam memastikan udara bersih untuk rakyat di negara ini terutama golongan kanak-kanak yang mempunyai risiko lebih tinggi terhadap kesan kemerosotan kualiti udara.
HIJAU
Ini termasuklah meningkatkan standard kualiti udara dan menguatkuasakan peraturan lebih ketat untuk membendung pelepasan daripada pelbagai sumber termasuk industri, pengangkutan dan pertanian. Selain itu, peralihan ke arah sumber tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja akan mengurangkan pencemaran udara tetapi juga menyumbang kepada Malaysia yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Insentif kerajaan dan sokongan untuk inisiatif tenaga bersih boleh membuka jalan untuk masa depan lebih hijau. Akhir sekali, inisiatif untuk mendidik orang ramai tentang kepentingan udara bersih dan kesannya terhadap kesihatan kanak-kanak juga boleh membawa kepada sokongan lebih besar untuk dasar udara bersih dan tindakan individu bagi mengurangkan pencemaran.
Di samping itu, anak-anak muda juga perlu memainkan peranan penting dalam memacu perubahan dan membantu kerajaan mewujudkan persekitaran lebih bersih. Misalnya dengan mempergiatkan advokasi dan inisiatif komuniti bagi mendidik lebih ramai golongan muda terhadap bahayanya kemerosotan kualiti alam sekitar dan peranan mereka dalam menangani isu ini.
Mereka juga boleh mengamalkan mesra alam dalam kehidupan seharian seperti mengurangkan penggunaan tenaga, membiasakan pengurangan sisa dan menggunakan pengangkutan awam. Tidak dinafikan juga belia mempunyai perspektif dan kreativiti yang unik untuk membangunkan penyelesaian inovatif.
Mereka boleh menyalurkan kemahiran ini untuk menghasilkan penyelesaian teknologi yang mampu menangani pelbagai isu alam sekitar termasuk pencemaran udara.
Dalam tempoh tidak menentu ini, adalah penting untuk sentiasa memantau laporan kualiti udara terutama semasa tempoh jerebu bagi membuat keputusan yang termaklum tentang aktiviti luar terutama bagi kanak-kanak dan individu dengan penyakit pernafasan.
Gunakan penapis udara di dalam rumah dan pastikan tingkap ditutup rapat. Pastikan akses kepada ubat-ubatan dan penjagaan perubatan diperlukan untuk kanak-kanak dan individu yang mempunyai penyakit pernafasan sedia ada atau sistem imun yang terjejas. IPU digunakan untuk menilai kualiti udara yang mana indeks di antara 0 hingga 50 adalah baik atau sihat, kurang sihat apabila melebihi 50 dan dianggap tidak sihat sekiranya melebihi 150.
Ayuh bertindak sekarang, bersama-sama membangunkan Malaysia Madani yang lebih sejahtera, berdaya huni dan mampan. – UTUSAN
PENULIS ialah aktivis belia alam sekitar; Juara Iklim Belia, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia; dan pelajar ijazah kedoktoran di Universiti Putra Malaysia (UPM).










