Cadangan ambil alih BPlant gagal?

Cadangan ambil alih BPlant gagal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan pelupusan 33 peratus kepenti­ngan dalam Boustead Planta­tions Bhd. (BPlant) oleh Lem­­­baga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd. kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) telah gagal.

Susulan itu, dagangan sekuriti dalam BPlant digantung sehari penuh dari pukul 9 pagi hingga 5 petang semalam, sementara menunggu pengumuman.

Bursa Malaysia Securities dalam pengumumannya berkata, pemberhentian dagangan adalah atas permintaan BPlant dan dagangan waran berstruktur BPlant juga digantung.

Menurut laporan itu, perjanjian akan menyaksikan LTAT dan Boustead menerima RM1.15 bilion daripada KLK untuk 33 peratus kepentingan, ketika Boustead berusaha untuk menangani hutang jangka pendeknya berjumlah RM3.99 bi­lion pada akhir Mac.

KLK, LTAT dan Boustead te­lah melanjutkan dua kali tarikh akhir perjanjian kerjasama strategik (SCA) yang ditandatangani antara ketiga-tiga pihak, iaitu kali pertama dari 11 hingga 22 September, dan kemudian kepada 6 Oktober ini.

Bagaimanapun, LTAT dan KLK masing-masing enggan me­ngulas ketika dihubungi.

Saham BPlant jatuh sebanyak 27 sen atau 18.49 peratus kepada RM1.19 pada sesi dagangan pagi semalam, sebelum ditutup pada RM1.27, namun masih turun 19 sen atau 13.01 peratus.

Ia adalah kaunter kesembilan paling aktif di Bursa Malaysia, dengan 46.67 juta saham didagangkan, manakala saham KLK ditutup lapan sen atau 0.37 peratus lebih tinggi pada RM21.48.

Menurut sumber, penjualan kepentingan tidak termasuk dua bidang tanah di Pulau Pinang dan Selangor yang boleh digunakan oleh LTAT untuk pembangunan hartanah masa depan, pertama kali dicadangkan pada 24 Ogos dan menilai BPlant pada RM1.55 sesaham atau RM3.47 bilion.

Laporan bahawa Boustead sedang bersiap sedia untuk melupuskan cabang perlada­ngan telah menyebabkan saham BPlant meningkat daripada paras terendah 64 sen setiap satu sejak Jun.

Pada masa sama, pengumuman tawaran KLK menaikkan kaunter syarikat itu ke paras tertinggi RM1.52 pada 28 Ogos.

Di bawah tawaran itu, KLK merancang melanjutkan tawaran am mandatori pada RM1.55 sesaham untuk mening­katkan pegangan sahamnya kepada 65 peratus, seterusnya menyahsenarai syarikat berke­naan.

Syarikat itu kini memegang 3.09 peratus kepentingan langsung dalam BPlant, berikutan pengambilalihan terakhirnya sebanyak 6.11 juta saham pada 29 September.

Sementara itu, LTAT dan Boustead, akan memegang baki 35 peratus dalam BPlant, berbanding 68.01 peratus yang mereka miliki sekarang iaitu 10.59 peratus di bawah LTAT dan 57.42 peratus di bawah Boustead.

Cadangan itu dilihat sebagai tawaran yang baik untuk LTAT memandangkan hasil tandan buah segar (FFB) BPlant di bawah purata dan KLK me­rancang untuk membiayai kos penanaman semula yang diperlukan untuk separuh daripada ladang BPlant yang dianggarkan berjumlah sekitar RM150 juta setahun selama beberapa tahun.

Dalam enam bulan pertama berakhir 30 Jun tahun kewa­ngan 2023, BPlant mencatatkan kerugian bersih RM304,000 berbanding keuntungan bersih RM508.38 juta pada separuh pertama 2022, apabila hasil turun 40.43 peratus kepada RM400.98 juta daripada RM673.11 juta dengan normalisasi harga minyak sawit mentah.

Perjanjian itu mendapat perhatian kerana pemimpin pembangkang mendakwa ia tidak sesuai dengan matlamat kerajaan untuk mencapai sasaran ekuiti korporat bumiputera sebanyak 30 peratus menjelang 2025 seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Sebagai maklum balas, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, LTAT telah mempelawa 15 syarikat berkaitan perladangan untuk proses pembidaan kompetitif, termasuk Sime Darby Plantation Berhad, Lembaga Tabung Haji, Tradewinds Corp. dan FGV Holdings Berhad.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan syarikat yang berminat dan jika ada, menawarkan bidaan yang terlalu rendah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×