Greater Johor Bahru/Iskandar sebagai wilayah metropolitan kedua - Utusan Malaysia

Greater Johor Bahru/Iskandar sebagai wilayah metropolitan kedua

SISTEM Rapid Transit (RTS) Johor Bahru-Singapura yang dijadualkan siap pada 2027 akan menjadi detik permulaan untuk pengangkutan awam yang lebih baik dan selesa antara kedua-dua negara. - FB RTS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CATATAN ini adalah satu lontaran idea untuk menunjukkan potensi besar wilayah Greater Johor Bahru – yang meliputi bandar raya Johor Bahru serta kawasan-kawasan sekitarnya, yang juga dikenali dengan nama Wilayah Iskandar – sebagai pencetus kepada lonjakan kedua ekonomi Malaysia.

Johor Bahru memang sepatutnya dijadikan wilayah metropolitan yang kedua selepas Lembah Klang dan untuk mencapai matlamat ini, ia perlu mendapat cukup sokongan sumber dan dasar.

Sebelum ini memang ada usaha untuk berbuat demikian. Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mewujudkan beberapa agensi koridor pusat, termasuk Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), yang bertujuan membangunkan wilayah dengan sumber dan projek Persekutuan.

Namun, pendekatan ini dilihat hanya menambah lapisan koridor kepada birokrasi yang sedia ada tanpa memberi manfaat kepada proses conurbation iaitu meluaskan kawasan bandar raya serta memperkasakan kedudukannya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya semua agensi koridor menghentikan promosi pelaburan masing-masing. Dalam jangka panjang, IRDA sepatutnya dikembalikan kepada negeri Johor dan disusun semula dengan pihak berkuasa negeri.

FAKTOR SINGAPURA

Setelah runtuhnya Tembok Berlin pada 1989, yang melambangkan kejatuhan komunisme, dunia telah memasuki era hyperglobalisation, iaitu peningkatan mendadak perdagangan antarabangsa sejak dekad 1990-an.

Singapura telah menjadi poster boy untuk hyperglobalisation. Sebagai sebuah bandar raya global dan hab kewangan serantau, ia menarik kehadiran syarikat-syarikat dari Eropah dan Amerika Utara untuk menubuhkan ibu pejabat mereka di negara kota itu, sementara jajaran pengeluaran mereka pula diwujudkan di China dan negara-negara kos rendah di seluruh dunia.

Selama beberapa dekad lamanya, Singapura tidak memerlukan pedalaman atau tanah besar. Ia boleh hidup sendiri sebagai pulau. Jadi, apa yang telah berubah?

Covid-19 dan wabak penyakit telah melanda manakala cabaran masyarakat seperti bertambahnya golongan tua memaksa syarikat antarabangsa menerima hakikat untuk berhadapan dengan gangguan besar. Ia termasuk peperangan dan ketegangan geopolitik, perubahan iklim dan bencana akibat iklim serta ketidakstabilan kewangan.

Daripada model just-in-time, dunia telah berubah kepada just-in-case, iaitu daripada bergantung kepada kecekapan pengurusan ekonomi semata-mata – kos pengeluaran rendah untuk penjimatan – kepada keselamatan ekonomi. Frasa utama yang popular sekarang adalah “rangkaian bekalan yang pendek dan lebih selamat”.

Dalam konteks ini, Greater Johor Bahru membuka peluang kepada Singapura untuk menjadi kawasan pengeluarannya. Korporat yang melabur di Singapura mahu kilang mereka dapat diakses dalam masa singkat. Johor adalah negeri yang paling dekat, malah boleh diakses melalui jalan raya dengan cepat.

Kos perumahan, khususnya sewa rumah, di Singapura telah melonjak sejak beberapa tahun lalu, terutamanya berikutan kehadiran pelabur China. Tekanan daripada kenaikan harga dan sewa rumah di Singapura boleh dikendurkan oleh Johor Bahru yang sedang mengalami masalah lambakan pangsapuri, kondominium dan rumah mewah.

Sekurang-kurangnya dari segi perumahan, Singapura dan Johor Bahru saling memerlukan antara satu sama lain, asalkan perjalanan dan trafik dapat dipermudahkan.

MEMIKIRKAN SEMULA GREATER JOHOR BAHRU

Satu anjakan pemikiran yang penting untuk Kerajaan Persekutuan adalah menerima hakikat bahawa jika ada mana-mana kawasan sedang berkembang maju, seperti Johor Bahru, ia akan memberi manfaat kepada seluruh negara. Johor Bahru kini perlu dilihat sebagai wilayah metropolitan kedua negara. Wilayah yang besar ini menjadi tumpuan migran ekonomi dari seluruh negara.

Apabila Greater Johor Bahru dilihat berbeza daripada bandar-bandar ibu negeri, sokongan sumber dan dasar perlu disalurkan untuk memenuhi keperluan insan seperti sekolah, hospital dan kemudahan penjagaan serta keperluan-keperluan ekonomi.

Kedua-dua kawasan saya di Parlimen Iskandar Puteri dan Dewan Undangan Negeri Perling berada dalam wilayah Greater Johor Bahru dan ia memerlukan lebih banyak sumber untuk pembangunan manusia dan sosial. Perancangan masa ini tidak mengambil kira sejumlah besar migran ekonomi Malaysia yang berteduh dan mencari nafkah dalam wilayah ini.

Sumber-sumber juga perlu disalurkan kepada pembangunan pengangkutan awam di sini, khususnya bas dan pengangkutan air. Apabila Sistem Rapid Transit (RTS) Johor Bahru-Singapura yang dijadualkan siap pada 2027 mula beroperasi, ia akan menjadi detik permulaan untuk pengangkutan awam yang lebih baik dan selesa. Tetapi ia tidak sepatutnya terhenti di situ sahaja.

Usaha perlu digandakan untuk membolehkan pemeriksaan imigresen lebih cekap, mudah dan cepat dengan memperkenalkan teknologi baharu. Bagi pemegang pasport Malaysia dan Singapura serta pengguna yang kerap menggunakan laluan sempadan, mereka patut mendapat akses mudah dengan pemeriksaan ringkas.

Perkhidmatan shuttle KTM Tebrau boleh diteruskan walaupun selepas RTS beroperasi. Manakala, feri katamaran boleh diperkenalkan untuk laluan Forest City dan Singapura dan di antara Pasir Gudang dan Changi, bagi menambah alternatif kepada laluan Tambak Johor dan Link Kedua.

Dengan adanya lebih banyak akses hubungan perjalanan, syarikat-syarikat boleh menjalankan perniagaan dan perusahaan di Johor Bahru dengan terus mengekalkan ibu pejabat mereka di Singapura.

Apabila sebahagian besar operasi mereka ditempatkan di wilayah Johor Bahru, syarikat-syarikat besar dapat menjimatkan kos dengan hanya membayar gaji pekerja dua pertiga daripada apa yang mereka bayar di Singapura.

Ia dapat mengubah struktur gaji di Johor Bahru di mana majikan perlu membayar gaji yang lebih tinggi kepada pekerja Malaysia. Namun, ia tetap menjimatkan kos majikan kerana gaji itu lebih rendah sedikit daripada yang dibayar kepada pekerja di Singapura.

Jika berjaya dilaksanakan dengan baik, wilayah Greater Johor Bahru sebagai metropolitan kedua akan menjadi penjana untuk lonjakan ekonomi Malaysia yang kedua. – UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×