KUCHING: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri agar memainkan peranan lebih efektif tentang permasalahan dan aduan rakyat terutama berhubung keperluan asas.
Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda menerima rungutan dan aduan sepanjang perjalanan dalam program jelajah kembara kenali Borneo bertemu rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Saya perhatikan rakyat di pedalaman masih memerlukan keperluan-keperluan asas, banyak tempat saya pergi, saya dengar rungutan-rungutan yang berkaitan, sama juga dengan negeri Pahang sekalipun.
“Tetapi ini adalah tanggungjawab bersama. Pihak kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan harus memainkan peranan yang lebih efektif,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka bertitah demikian dalam Majlis Penutup dan Santapan Malam Kerajaan Negeri Sarawak yang turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda akan berusaha mengkaji dan mengetengahkan beberapa aduan berhubung permasalahan rakyat di lapangan yang telah diterima sepanjang Kembara Kenali Borneo ini kepada Kerajaan Persekutuan secepat mungkin.
Dalam pada itu, Seri Paduka memuji kerajaan semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas usaha merealisasikan Lebuhraya Pan Borneo.
Baginda bertitah, lebuh raya berkenaan jelas memberi kemudahan kepada Sabah dan Sarawak.
“Di sini saya ingin secara peribadi harus menyatakan ucapan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan kerajaan hari itu kerana telah berusaha untuk merealisasikan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ini.
“Oleh itu, saya harap ia akan dapat dibina dengan baik, dengan ada kualiti dan mudah-mudahan kalau panjang umur pada tahun 2030, saya akan kembali,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka percaya komposisi Sabah dan Sarawak dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan akan lebih menyerlah dan berharap segala keperluan yang diperlukan kedua-dua negeri itu dilakukan secepat mungkin.
“Secara ringkas, alhamdulillah sepanjang perjalanan, jalan tetap ada, lebuh raya tetap ada, kadang kala lebuhraya itu seolah kita berada di Dubai.
“Kadang kala lebuh raya itu macam naik rollercoaster dan bukan itu sahaja, saya dimaklumkan tadi pun dinyatakan oleh Premier Sarawak tentang perancangan untuk menyediakan infrastruktur, lebuh raya ini akan disiapkan dalam masa yang terdekat ini,” titah baginda.
Rombongan Kembara Kenali Borneo tiba di Kuching pada pukul 12.12 tengah malam kelmarin berikutan kelewatan dari bahagian-bahagian lain di Sarawak. – UTUSAN










