FRASA nasionalisme cukup sinonim dan sering dikaitkan dengan gerakan menentang penjajah serta menuntut kemerdekaan. Menurut Kamus Dewan, nasionalisme bermaksud perasaan cintakan bangsa dan negara sendiri yang mendalam.
Jelas sekali definisi nasionalisme cukup luas dan wajar dikupas dalam konteks lebih besar. Misalnya, nasionalisme tidak terhad kepada maksud perjuangan menentang penjajahan semata-mata sebaliknya turut mencakupi aspek keperluan untuk memelihara dan mempertahankan kemerdekaan yang ada selain terus memperkukuh semangat cinta dan sayangkan negara.
Justeru, masyarakat perlu sedar walaupun sudah 66 tahun kita mengecapi nikmat kemerdekaan, namun semangat nasionalisme tidak boleh pudar atau luntur sama sekali. Sebaliknya kita perlu terus membugarkannya dengan pemahaman dan penghayatan lebih jelas.
Generasi hari ini perlu mencipta naratif baharu maksud nasionalisme supaya semangat itu terus segar sekali gus dapat memahami dan menjiwai keperluan untuk berbakti dan menumpahkan taat setia kepada negara.
Dalam konteks ini, kita perlu terima hakikat usaha untuk membugar kembali semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat tidak boleh terhad dan tertumpu kepada golongan muda semata-mata seperti sering kita laungkan. Sebaliknya perlu mencakupi semua lapisan masyarakat khususnya generasi pascamerdeka yang tidak merasai detik penindasan dan kemerdekaan daripada penjajah.
Selain itu, satu lagi perkara penting perlu diberi perhatian ialah hakikat kehidupan generasi hari ini banyak berpaksikan teori dan dunia digital di mana tidak ramai mampu mempamerkan, menzahirkan serta menterjemahkan teori tersebut kepada realiti.
Tuntasnya, masih ramai tidak tahu bagaimana hendak menunjukkan rasa cinta dan sayang kepada negara. Ramai mudah terkeliru malah cepat pula terpengaruh dengan pujuk rayu songsang yang agresif sehingga tidak sedar nilai identiti dan jati diri sedang tergadai.
Ironinya, terdapat pelbagai cara dan pendekatan boleh diambil untuk kita membugarkan kembali semangat nasionalisme. Antaranya, jangan sentuh isu agama, raja dan kaum (3R) yang semakin disensasikan dan dipolitikkan kebelakangan ini. Jika dibiarkan boleh menjejaskan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
Jika sayangkan negara, kita juga perlu memahami, menghayati dan mengamalkan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi ideologi kebangsaan serta panduan hidup masyarakat majmuk di negara ini.
Melalui cara ini, setiap anggota masyarakat akan lebih berhati-hati dan mengamalkan kehidupan lebih sederhana serta bertolak ansur. Menghormati dan patuh kepada Perlembagaan Persekutuan juga merupakan satu lagi kaedah kita menzahirkan semangat nasionalisme.
Kita juga perlu hormati kontrak sosial dimeterai oleh bapa-bapa kemerdekaan sekali gus sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan perpaduan nasional.
VANDALISME
Langkah menyokong, membeli dan menggunakan barangan buatan Malaysia juga boleh dikategorikan sebagai memiliki semangat nasionalisme yang tinggi. Tindakan ini juga akan menyokong pertumbuhan ekonomi domestik serta mengurangkan pengaliran keluar wang negara selain mengurangkan kebergantungan negara kepada barangan import.
Sentiasa menjaga imej dan nama baik negara juga merupakan sifat terpuji yang menzahirkan semangat cintakan negara. Setiap warganegara bukan sahaja perlu memelihara nama baik negara, malah wajar bangkit mempertahankannya jika dicemari oleh mana-mana pihak.
Selain itu, berbakti kepada rakyat dan negara dengan cara berkhidmat di negara sendiri, menjadikan bahasa kebangsaan sebagai medium komunikasi utama serta menjaga dan memelihara harta benda awam daripada tindakan vandalisme juga boleh diterjemahkan sebagai sifat nasionalisme yang tinggi.
Jujurnya, kita perlu memperluaskan pemahaman terhadap semangat nasionalisme dan menyesuaikannya dengan persekitaran dan situasi semasa. Hakikatnya, ketika ini banyak yang boleh kita lakukan untuk membugarkan semangat nasionalisme tanpa mengangkat senjata dan bertempur di medan perang.
Kebimbangan kita ketika ini ialah berlakunya perpecahan ketara dalam kalangan rakyat angkara berlainan ideologi politik yang turut disulami naratif sensitif 3R.
Justeru, sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, eloklah kita bermuhasabah diri sedikit tentang sejarah kemerdekaan dan pembentukan sebuah negara bangsa yang bangkit daripada penjajahan lebih 400 tahun lalu dan kini berdiri gah di persada dunia.
Jangan kerana kelekaan, kecuaian serta angkara tangan-tangan ghaib berniat jahat, semua yang kita warisi dan bina bersama menuju kehancuran.
Jangan lupa segala jerih perih dan kesengsaraan generasi sebelum merdeka yang dijajah dengan rakus sehinggalah kita bangkit mempertahankan kedaulatan dan menuntut kemerdekaan. Bukan sedikit nyawa yang terkorban dalam perjalanan mencapai kebebasan sedang dinikmati sekarang.
Cuba bayangkan perasaan generasi terdahulu pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 apabila laungan keramat ‘merdeka’ dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj serta bendera Union Jack diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu, sekali gus menandakan negara mengecapi kemerdekaan.
Sepatutnya peristiwa bersejarah ini dijadikan pedoman terus membakar dan membugar semangat nasionalisme seluruh warganegara yang sayang dan cintakan negara.
Jangan kita mensia-siakan pengorbanan generasi terdahulu dengan sikap, tingkah laku dan perbuatan yang tidak menjiwai semangat kemerdekaan tulen. Ayuh kita mulakan naratif baharu gerakan nasionalisme demi negara tercinta. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis isu semasa merangkap pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM).











