Tuntutan China tidak diiktiraf undang-undang - Utusan Malaysia

Tuntutan China tidak diiktiraf undang-undang

RAJAH memaparkan konsep asas undang-undang laut seperti laut wilayah iaitu 12 batu nautika (nm) dari garis gigi pantai, zon bersebelahan (24 nm), zon ekonomi eksklusif (200 nm) dan prinsip pelantar benua.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETA Standard China edisi 2023 diterbitkan oleh Kementerian Sumber Asli China pada 28 Ogos lalu adalah isu besar dalam hubungan antarabangsa dan undang-undang laut antarabangsa khususnya di rantau Asia Pasifik.

Peta baharu China ini menambah satu lagi garis putus daripada Nine-Dash-Line (NDL) kepada Tenth-Dash-Line (TDL). Peta baharu ini juga memasukkan wilayah Arunachal Pradesh dan wilayah Aksai Chin melibatkan India. Apa yang dilakukan China ini melibatkan negara-negara sekitar Laut China Selatan (seperti Malaysia, Filipina, Vietnam, Brunei dan Indonesia) secara langsung.

NDL sebelum ini pun menimbulkan konflik tidak berkesudahan antara China dan negara-negara sekitar Laut China Selatan. Apa yang dituntut China, iaitu NDL dan sekarang TDL tidak mempunyai asas undang-undang laut antarabangsa dan sama sekali bertentangan dengan peruntukan undang-undang antarabangsa ditetapkan dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) 1982.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mahkamah Timbang Tara Tetap di The Hague, Belanda telah memutuskan NDL adalah tidak sah dan bertentangan dengan UNCLOS. Hak sejarah yang didakwa menjadi asas tuntutan China tidak boleh diterima oleh UNCLOS.

NDL sudah tidak boleh diterima, apatah lagi TDL peta baharu yang diumumkan China sudah pastinya tidak boleh diterima oleh UNCLOS 1982 yang boleh dianggap sebagai perlembagaan undang-undang laut antarabangsa yang seharusnya diterima semua negara dalam pengurusan sebarang konflik berkaitan isu laut.

Dalam memahami konflik Laut China Selatan antara China dan negara-negara sekitar, konsep-konsep asas undang-undang laut seperti laut wilayah iaitu 12 batu nautika (nm) dari garis gigi pantai, zon bersebelahan (24 nm), zon ekonomi eksklusif, EEZ (200 nm) dan prinsip pelantar benua perlu difahami oleh semua mereka yang terlibat.

Konsep-konsep saya nyatakan di atas pun sebenarnya sudah wujud pertembungan/pertindihan dengan negara-negara terlibat kerana jarak geografi yang dekat. Penyelesaian boleh dibuat dengan persetujuan bersama antara negara-negara terlibat seperti Vietnam-Malaysia-Indonesia-Brunei-Filipina yang sudah wujud pertindihan kawasan EEZ.

Ini dapat diselesaikan dengan pertimbangan bersama dengan pembentukan garis sempadan dipersetujui kedua-dua negara selaras peruntukan UNCLOS.

Tuntutan China (berasaskan NDL atau TDL) menimbulkan kerumitan yang sangat sukar kerana ia sama sekali tidak mempunyai asas perundangan dalam UNCLOS 1982. Tuntutan China yang melengkung ke bahagian bawah Laut China Selatan sehingga mencecah EEZ Malaysia, Indonesia dan Brunei adalah sama sekali tidak berasas.

KETENTERAAN

Indonesia dilihat secara kasar berada agak jauh ke selatan dari segi geografi tetapi dalam konteks UNCLOS, Indonesia mempunyai hak berasaskan Perkara 121. Berasaskan prinsip pulau dan land dominates the sea, Indonesia (Pulau Natuna) berhak mempunyai wilayah kelautan, iaitu laut wilayah, zon bersebelahan dan EEZ.

Ini berbeza dengan China kerana tidak mempunyai sebarang pulau di Laut China Selatan. China hanya berhak membentuk wilayah laut berasaskan jarak pantai dari tanah besar dan pulau-pulau diiktiraf berhampiran.

Pulau-pulau buatan dan semua pengubahsuaian terumbu karang dilakukan China tidak diiktiraf oleh UNCLOS 1982 sebagai pulau sebagaimana peruntukan dalam Artikel 121. Sesuatu itu diiktiraf sebagai ‘pulau’ adalah kawasan yang berada (wujud) ketika air pasang.

Kawasan yang wujud ketika air surut sahaja tidak diiktiraf sebarang ‘pulau.’ Rumusan dapat kita katakan adalah wilayah dituntut oleh China itu bukan miliknya yang sah mengikut UNCLOS 1982. Persoalan timbul di sini, adakah undang-undang antarabangsa itu sebenar-benarnya undang-undang? Siapa yang akan melaksanakan undang-undang antarabangsa?

Dalam kajian antarabangsa, pertembungan antara dua falsafah besar politik antarabangsa iaitu pendekatan realisme dan liberalisme perlu dikaitkan. Realisme melihat pentingnya peranan kuasa politik dan ketenteraan dalam hubungan antarabangsa manakala liberalisme melihat peri penting undang-undang dan peranan organisasi antarabangsa.

Dalam konteks konflik di Laut China Selatan dan tuntutan oleh China berasaskan TDL, UNCLOS yang sebegitu baik bagi penyelesaian pengurusan dan konflik berkaitan lautan tidak berkesan jika tidak ada kuasa politik yang mampu melaksanakannya. Kuasa-kuasa kecil sekitar seperti Malaysia, Vietnam, Brunei, Filipina tidak mampu memaksa China mematuhi peruntukan dalam UNCLOS.

Di sini kita lihat pertembungan antara rule of law dan rule of power politics. China bertindak demikian kerana kepentingan kuasa dan survival politiknya. China boleh melakukan demikian kerana mempunyai kuasa politik dan ketenteraan kuat. Campur tangan kuasa besar utama peringkat antarabangsa adalah perlu dalam membentuk penyelesaian dan keseimbangan kuasa di rantau Asia Pasifik dan Laut China Selatan khususnya.

Kuasa-kuasa kecil sekitar Laut China Selatan perlu bijak bertindak dalam membuat sebarang keputusan dasar luar dan hubungannya dengan kuasa besar utama. Keputusan yang silap memungkinkan bertambah sukarnya konflik dapat diselesaikan dan juga memungkinkan berlaku konflik lebih besar atau tanpa sebarang penyelesaian.

Negara-negara sekitar Laut China Selatan perlu melihat konflik tuntutan China ini sebagai suatu yang penting bagi kestabilan politik serantau jangka panjang.

Negara-negara kecil (seperti Malaysia) perlu mengadakan perbincangan mendalam dengan mengambil kira semua pandangan. Keputusan tidak seharusnya hanya didominasi oleh satu sudut pandangan sempit dan bersifat jangka pendek.

Pensyarah/profesor universiti dan sarjana yang mempunyai asas undang-undang laut dan ilmu politik antarabangsa perlu dijemput oleh Kementerian Luar dan berkongsi pandangan secara terbuka bagi membuat satu keputusan lebih tepat. –UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo, Universiti Malaysia Sabah. Kini mengikuti pengajian sarjana undang-undang (LLM) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×