PUTRAJAYA: Penubuhan Jawatankuasa Khas untuk mengkaji kedudukan perundangan syariah di negara ini merupakan langkah berhemat bagi menghormati bidang kuasa kehakiman antara mahkamah syariah negeri dengan Mahkamah Kehakiman Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, sistem kehakiman di negara ini hanyalah satu dan tidak bersifat dualisme kerana mahkamah syariah diberikan bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan undang-undang peribadi orang Islam.
Pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, jika suatu undang-undang telah digubal secara sah mengikut Perlembagaan yang berada di bawah bidang kuasa mahkamah syariah, maka mahkamah kehakiman Persekutuan tidak boleh lagi membicarakan kes dalam bidang kuasa tersebut.
“Walau bagaimanapun kuasa semakan mahkamah kehakiman Persekutuan tetap wujud untuk membuat penentuan bidang kuasa mahkamah yang kompeten.
“Pindaan termasuklah pemansuhan peruntukan tertentu dalam enakmen kesalahan syariah negeri mungkin berlaku untuk menyelaraskan dengan bidang kuasa yang ditetapkan oleh Jadual Kesembilan Perlembagaan,” katanya di sini semalam.
Beliau mengulas saranan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian mendalam dan kritikal mengenai persoalan undang-undang Islam yang berbangkit.
Baru-baru ini, seorang peguam kelahiran Kelantan dan anak perempuannya mahu mahkamah mengisytiharkan 20 kesalahan jenayah Syariah yang digubal oleh badan perundangan negeri Kelantan sebagai tidak berperlembagaan.
Wan Ahmad Fauzi berkata, semua pihak perlu bersikap terbuka dan memahami bahawa pemansuhan peruntukan tertentu tidak bermakna kuasa mahkamah syariah menjadi lemah atau menolak hukum Islam.
Ini kerana, kata beliau, Islam mempunyai kedudukan dalam perundangan dan kehakiman di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Perlu disedari bahawa banyak peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan tidak diperuntukkan di negeri lain.
“Ia juga menunjukkan pandangan berbeza antara negeri tentang bidang kuasa yang ada pada Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, undang-undang Islam bukan hanya terhad kepada apa yang terjumlah dalam hudud sahaja.
Malah, kesalahan jenayah syariah yang diketahui umum sudah termaktub di bawah bidang kuasa Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan, misalnya bagi kesalahan membunuh, menderhaka kepada pemerintah, mencuri dan hirabah.
Selain daripada qisas bagi hukuman untuk pembunuh, katanya, hukuman bagi kesalahan jenayah syariah lain dikenakan takzir dan ini tidak bermakna Kanun Keseksaan itu bertentangan Islam.
“Jika hukuman bagi kesalahan jenayah Islam yang terhimpun dalam hudud ingin diperkenalkan, banyak syarat perlu diperhalusi untuk menjamin keadilan dan pindaan boleh dibuat ke atas undang-undang Persekutuan yang ada tanpa memerlukan pindaan Perlembagaan.
“Buat masa ini kesalahan jenayah syariah seperti zina dan minum arak dijadikan kesalahan peribadi bagi orang Islam, maka ia berada di bawah bidang kuasa mahkamah syariah yang turut dihukum dengan takzir,” katanya.
Dalam hal ini, kata beliau, ia perlu lihat pada bidang kuasa negeri dan Persekutuan serta memahami bahawa ia bukan bermakna mahkamah syariah terancam atau menjadi lemah.
Sebaliknya, kata beliau, ada kesalahan syariah diletakkan di bawah Persekutuan dan ada di peringkat negeri.
Jika pindaan Perlembagaan dibuat untuk meletakkan kesemua kesalahan jenayah syariah dalam bidang kuasa mahkamah syariah, maka ia akan hanya terpakai bagi orang Islam dan kesalahan yang sama tidak boleh lagi diadili oleh mahkamah kehakiman Persekutuan kerana akan mengundang percanggahan dengan Perkara 121(1A), bidang kuasa eksklusif mahkamah syariah.
Justeru, katanya, aspek tersebut perlu diteliti ketika sebarang cadangan pindaan ingin dibuat.
“Jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk memperkasa mahkamah syariah boleh menimbangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) untuk meningkatkan takat bidang kuasa hukuman bagi kesalahan undang-undang peribadi orang Islam yang terletak pada Mahkamah Syariah.
“Selain itu, sudah tiba masanya hierarki Mahkamah Syariah dilaksanakan dalam lima peringkat berbanding tiga peringkat ketika ini, iaitu iaitu Mahkamah Rendah, Mahkamah Tengah, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Agung Syariah, ” katanya. – UTUSAN










