Segerakan Akta Pendanaan Politik

Segerakan Akta Pendanaan Politik

USAHA untuk menggubal Akta Pendanaan Politik sudah berlarutan selama 10 tahun tetapi masih belum berjaya direalisasikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Politik Malay­sia akan terus dibelenggu politik wang ­jika Akta Penda­naan Politik tidak digubal dan dikuatkuasakan.

Usaha menggubal akta itu sudah berlarutan 10 tahun dan terbaharu, kerajaan mahu me­rujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan digesa membentangkan rang undang-undang tersebut dalam sidang Parlimen bulan depan.

RUMIT

Katanya, penggubalan rang undang-undang dana politik tidak serumit usaha pengasi­ngan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menurut beliau, ini kerana Akta Pendanaan Politik Wang hanya membabitkan kawalan lebih ketat dan telus dalam penyalahgunaan kuasa dan mengawal pengaruh kewangan dalam politik.

“Saya rasa akta tersebut perlu disegerakan dengan pembentangan dibuat pada sidang Parlimen bulan depan. Kalau kita bentang pada Oktober, semua wakil rakyat akan fokus kepada Belanjawan 2024.

“Masyarakat sudah tunggu lama undang-undang ini, saya berpandangan ia tidak boleh dilengahkan lagi,” katanya.

Sidang Dewan Rakyat akan bermula pada 11 September sehingga 30 November ini de­ngan dimulakan pembenta­ngan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

Hassan berkata, perbinca­ngan untuk merangka undang-undang itu telahpun bermula ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan mendapat kerjasama positif antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang ketika itu.

TERPALIT

Sementara itu, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, Akta Pendanaan Politik amat mustahak memandangkan ahli politik di negara ini sudah terpalit dengan persepsi buruk bahawa mereka adalah golongan ‘pa­ling kuat rasuah’.

Bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, segala bentuk sumbangan kepada parti politik perlu didokumenkan secara terbuka agar pihak berkuasa dan masyarakat dapat mengaksesnya.

“Seluruh Ahli Parlimen perlu menyokong akta ini kerana ketidaksetujuan mereka akan memberi gambaran buruk terhadap personaliti dan parti diwakili masing-masing,” kata beliau.

Menyuarakan nada sama, penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, tanpa akta jelas berkaitan pendanaan po­litik, Ahli Parlimen terdedah ke­pada risiko dakwaan rasuah daripada pihak berkepentingan.

Katanya, terma-terma yang terkandung dalam akta tersebut juga perlu jelas supaya dapat merungkai salah faham berhubung pendanaan politik.

“Akta tersebut perlu menghadkan pendanaan politik da­ri­pada syarikat-syarikat kepada parti supaya dapat menghalang daripada ahli politik minta sumbangan secara berlebihan.

“Pada masa sama, parti-parti politik ini juga perlu diwajibkan untuk mengisytiharkan segala sumbangan diterima,’’ kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×