Institusi Orang Besar Jajahan bantu tangani isu 3R

Institusi Orang Besar Jajahan bantu tangani isu 3R

SHAHARUDIN NAZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Institusi Orang Besar Jajahan (OBJ) yang berperanan selaku wakil sultan di 12 daerah di negeri ini boleh membantu usaha membendung isu agama, raja dan kaum (3R) yang disensasi serta dipolitikkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Orang Besar Jajahan Manjung, Datuk Shaharudin Nazari berkata, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar institusi itu mendampingi jawatankuasa dan pegawai masjid, mengadakan pertemuan dan perbincangan dalam jajahan masing-masing dan berusaha ke arah menyatupadukan rakyat sememangnya sudah dilaksanakan serta ia diperkasakan lagi.

Katanya, menerusi pertemuan dan perbincangan dengan jawatankuasa dan pegawai masjid, OBJ dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan bagi mengelak berlakunya perpecahan kariah di kawasan masing-masing.

“Sebagai OBJ kami bukan sahaja membantu usaha-usaha menyemai semangat kesetiaan kepada raja tetapi terus menghormati institusi raja dan tahu bagaimana wujudnya institusi ini yang menjadi keperluan kepada rakyat,” katanya.

Shaharudin berkata, begitu juga titah Sultan Perak agar OBJ mendekati dan membimbing generasi remaja semakin menjadi komponen terbesar rakyat di negara ini.

Menurutnya, dalam hal tersebut OBJ sentiasa berhubung rapat dengan golongan belia.

“Walaupun OBJ kebanyakannya orang lama tetapi mereka masih boleh bergiat aktif untuk belia. Ketika bersama mereka, ini adalah masa yang sesuai untuk kita memberitahu mereka mengenai pentingnya institusi diraja,” katanya.

Katanya, OBJ dilihat sebagai institusi penting dalam memastikan perpaduan kerana ia adalah lantikan sultan dan tidak terlibat atau di bawah pengaruh politik.

“Terdapat 12 OBJ iaitu di setiap daerah di Perak. OBJ adalah lantikan sultan dan sebagai OBJ, kami perlu mempersembah maklumkan kepada baginda tuanku apa yang berlaku di daerah-daerah agar rakyat terus bersatu padu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×