Cabaran cendekiawan pasca PRN15

Cabaran cendekiawan pasca PRN15

MODEL Sekolah Amanah diiktiraf antara 10 sekolah terbaik di dunia untuk 2022 dan 2023. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA adalah antara negara di mana para profesornya mempunyai persatuan berdaftar di peringkat kebangsaan. Dan diiktiraf sebagai mewakili suara para cendekiawan negara walaupun bilangan ahli agak kecil berbanding jumlah yang ada. Kini terdapat lebih satu persatuan serupa di Malaysia tetapi tidak sama. Ada juga wujud secara bermusim sebagai kumpulan lain yang muncul mengikut rentak dan suasana.

Tenggelam timbul dipukul arus pasang surut politik, tidak menentu. Pada suatu ketika, kerajaan yang terpilih memansuhkan golongan berkenaan kerana dikatakan tidak bermanfaat. Namun, kemudian diberi nafas baharu!

Selain itu, lebih menyerlah adalah keahliannya yang agak cenderung kepada satu rumpun sahaja – termasuk kaum dan aliran pemikiran tertentu. Tidak ubah parti politik walaupun mengakui mereka bebas dan tidak kena-mengena dengan jalur politik kepartian. Atau mana-mana politikus perseorangan. Tetapi kenyataannya tidak semurni dihasratkan. Banyak contoh boleh diberi sejak berdekad-dekad lalu. Ia bukan perkara baharu dalam dunia ilmiah tempatan. Jauh berbeza dengan negara maju lebih matang.

Kecurangan ilmiah sememangnya lumrah, bak pekung yang tidak dapat sembuh. Menjadi lebih teruk apabila para cendekiawan beku pemikirannya, lemah pula semangatnya untuk menegakkan kebenaran secara ilmiah tanpa sebarang agenda lain baik tersirat atau tersurat.

Perkara ini amat jelas dalam kefahaman maksud ‘kebebasan ilmiah’ ataupun ‘autonomi institusi’ bagi sebuah pertubuhan berwibawa sekali gus berpegang kepada prinsip kejujuran berilmu dengan penuh amanah dan ibadah. Tidak berdolak-dalik mengikut irama sumbang yang didendangkan.

Pun begitu, indah khabar dari rupa. Sering kuat seruan daripada perbuatan. Cakap tidak serupa bikin. Janji-janji untuk memansuhkan itu dan ini dalam mengagungkan kebebasan bersuara dan berkarya, sering terbangkalai. Ataupun mengalami pusingan U dan kelesuan tindakan. Pelbagai perlakuan terbaharu yang melemaskan hak bersuara acap kedengaran melibatkan golongan dan arahan tertentu.

Kes Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) adalah contoh paling nyata dan banyak diperdebatkan baru-baru ini mencabar hak asasi tertentu. Masih terumbang-ambing dalam mengotakan kata, membuat rasa syak wasangka lebih curiga kepada dunia. Usah berceritalah tentang autonomi pendidikan yang menderita akibat kata-kata dusta begitu lama!

Sekiranya isu-isu pokok ini tidak mendapat liputan persatuan dan golongan para profesor, maka lumpuhlah masa hadapan. Jika adapun sambilan sahaja menyebabkan kemandulan ilmiah terus parah. Lebih selesa dengan budaya alpa, pura-pura lupa.

Jadi, persoalannya di mana perpaduan dan kelompok profesor yang sepatutnya memperjuangkan asas ‘kebebasan’ ilmiah sejak begitu lama lagi? Sehingga lapuk akibat politik songsang yang menyempitkan medan berfikir dan bertindak untuk kebajikan rakyat merentasi puluhan generasi akan datang, bukan sekadar mengikut kitaran pilihan raya semata-mata. Mengapa tiada desakan atau deklarasi ke arah ini?

Bukankah ini ibu kebajikan berilmu sebagai amanah, ibadah serta fardu kifayah?

HENING

Berapa kali turun padang dalam menyuburkan pohon ilmu sebagai paksi kukuh masyarakat seimbang lagi harmonis. Tidak sibuk dengan soal-soal ranting di menara gading yang pasti tidak akan reda selagi soal pokok dan akar umbi tidak dibajai dan disuburi sepenuh hati sanubari.

Contoh terpenting kini adalah soal melibatkan para pelajar di seluruh negara terdedah kepada racun nikotin melalui cecair dan gel vape sejak 1 April lagi. Sudah masuk bulan kelima dan akan melarat berbulan-bulan lagi. Mengheret bersamanya ribuan pelajar terjebak dengan keracunan serta ketagihan nikotin hasil penggunaan vape bebas kawalan.

Sudah ada kes melibatkan usia seawal dua tahun. Sayang sekali, para profesor belum ambil pusing berbanding puluhan kumpulan profesional, pertubuhan bukan kerajaan di bawah naungan Majlis Kawalan Tembakau Malaysia. Mereka sanggup mencabar kementerian terbabit di muka mahkamah. Dalam mempertahankan hak keselamatan dan kesihatan para pelajar khususnya mereka berusia 18 tahun ke bawah.

Walaupun Majlis Profesor Malaysia berkesempatan menganjurkan satu webinar, ia terhenti di situ. Sedangkan isu terus menggapai dan wajar dijadikan isu panas pilihan raya, tetapi tidak menyampai.

Banyak isu asas lain boleh diketengahkan termasuklah hal-hal besar seperti pelaksanaan seluruh negara model Sekolah Amanah yang baru-baru ini diiktiraf antara 10 sekolah terbaik di dunia untuk 2022 dan 2023.

Isu menganjak tafsiran pendidikan kepada yang mempunyai roh, atau isu penarafan kualiti pendidikan seantero anjuran Kementerian Pengajian Tinggi untuk diteliti, isu kefahaman mendalam Revolusi Industri Keempat dan impaknya dalam menginsankan pendidikan atau sebaliknya serta pelbagai lagi.

Pendek kata, apakah taruhan masa hadapan negara dalam mengarusperdanakan kerangka Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)? Ia termaktub dalam Akta Pendidikan berpuluh tahun lalu, tetapi pelaksanaan nafsi-nafsi sahaja. Di mana FPK sekarang sebagai landasan utama masa hadapan pendidikan negara pascapandemik?

Termasuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan berakhir 2025? Dua tahun lagi. Berpuas hatikah kita? Kalau tidak, apa semakannya? Khalayak ramai mungkin kurang arif. Bergantung kepada para profesor untuk memaknakannya? Apakah keheningan menanda semua sudah beres belaka? Jika tidak, di mana kelompangannya? Semua ini memerlukan para profesor bersuara. Nyaring dan jelas!

Tidak perlu pun deklarasi dan perkumpulan membuang masa. Baik persatuan formal pun. Ini memandangkan setiap seorang bergelar profesor perlu menggarap amanah sebagai cendekiawan umum – juru bahasa, penterjemah, penerobos kebenaran ilmu untuk semua.

Berani kemukakan hujah dengan bijaksana bagi manfaat segala. Juga beradab, bukan sebaliknya. Maka sudah tentu lebih ramai rasa terpanggil kerana perkembangan ilmu itu tidak bermusim, amalan tidak menunggu bicara! Atau ketua.

Dunianya rencam menuntut keadilan, kesejagatan dan kesejahteraan yang tiada penghujungnya. Apalagi kini rakyat sudah bersuara nyata pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15, tolak terus semua bentuk rasuah bersama semua pengamal serta sekutunya yang jelik.

Mereka pengkhianat ilmu bergelar Dr. Apakah susulan para profesor dalam menentukan ini berlaku sederasnya? Jikalau tidak mampu, elok bubarkan sahaja persatuan dan perkumpulan yang ada. Mengelakkan satu lagi nila setitik merosakkan susu sebelanga!. – UTUSAN

Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×