Bajet 2024 perlu tumpu produktiviti dalam negara

Bajet 2024 perlu tumpu produktiviti dalam negara

Prof. Dr. Barjoyai Bardai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada Oktober ini perlu memberi tumpuan meningkatkan produktiviti sumber yang boleh dimajukan dan bukan mengutamakan pemberian bantuan dan subsidi semata-mata.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada aliran modal pelabur asing yang perlu bersaing di rantau ini.

Katanya, terdapat negara yang semakin menonjol sebagai potensi pelaburan langsung asing (FDI) seperti Vietnam, Indonesia dan Filipina sekali gus meningkatkan saingan.

“Kita ada sumber lain yang boleh dimajukan. Maka, paling mudah ialah memacu produktiviti dan teknologi dan ini selalu dikaitkan dengan buruh serta pengeluaran.

“Jadi, kalau kita boleh me­ningkatkan prestasi pekerja dan teknologi, maka boleh me­ningkatkan produktiviti. Sebab kita tidak mahu Belanjawan 2024 masih menumpukan kepada pemberian subsidi. Kita membe­lanjakan sehingga RM80 bilion dalam belanjawan lepas.

“Walaupun (subsidi) ini sa­ngat penting kepada kumpulan B40 tetapi kerajaan perlu mela­kukan dengan lebih strategik dan bersistematik sebagai asas untuk meningkatkan ekonomi secara keseluruhan.

“Lagi pula kerajaan pun sudah nyatakan ‘tidak mahu beri ikan, mahu beri pancing’ tetapi macam mana? Itu yang semua orang mahu tahu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, Kementerian Ke­wangan memaklumkan, pem­­bentangan Belanjawan 2024 dijangka 13 Oktober ini.

Susulan itu, kementerian mengadakan sesi libat urus Belanjawan 2024 secara fizikal dan dalam talian bagi mendapatkan input pelbagai pihak untuk pembentangan kelak.

Timbalan Menteri Kewa­ngan, Datuk Seri Ahmad Maslan dilapor berkata, siri jelajah ke negeri-negeri juga diadakan.

Mengulas lanjut, Dr. Barjoyai berkata, Belanjawan 2024 bagaimanapun perlu mengambil kira usaha untuk menyela­raskan semula langkah untuk mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau berkata, perkara itu hanya boleh dinilai melalui pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 yang dijangka dibentangkan pada Oktober.

“Banyak dirancangkan da­lam RMK12. Jadi, kita mahu melihat pencapaian dahulu, apabila sudah tahu, maka Belanjawan 2024 patut jadi usaha untuk selaraskan semula RMK12 dalam mencapai sasarannya.

“Belanjawan 2024 perlu menyokong dan memperincikan bagaimana menyelaraskan RMK12 untuk mencapai matlamat pokok,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Malaysia tidak boleh kekal menerajui dalam industri tertentu sahaja untuk berada dalam kelompok ekonomi terbesar dunia.

Katanya, negara harus me­wujudkan industri yang le­bih mapan dan lebih berdaya saing.

“Malaysia terkebelakang da­lam mewujudkan ekosistem­ yang menyeluruh. Sebagai contoh, dalam industri minyak dan gas, Malaysia harus mewujudkan industri sampingan termasuklah menghasilkan industri yang mengilang peralatan dan mesin untuk memproses mi­nyak dan gas. Tetapi ini tidak terjadi.

“Sekarang Malaysia ada potensi dalam industri nadir bumi. Tetapi diharap jangan jadi se­perti industri minyak gas. Untuk industri nadir bumi, kita harus menguasai seluruh ekosistem dan tidak hanya melombong dan mengeksport bahan mentah kerana kita akan kerugian nilai tambah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×