PETALING JAYA: Keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk memilih kerajaan merupakan satu kewajiban daripada sudut pandangan agama Islam, bukannya sunat atau harus.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sekiranya orang Islam tidak keluar mengundi menyebabkan kuasa pemerintahan diambil oleh orang lain.
Katanya, hanya Islam yang boleh memerintah dengan adil dan baik untuk orang Islam dan bukan Islam.
“Saya menyeru kepada seluruh rakyat khususnya orang Islam, orang Melayu Islam, termasuk orang bukan Islam supaya keluar mengundi beramai-ramai, pilih kerajaan dalam Islam adalah wajib, bukan sunat, bukan harus, tetapi wajib.
“Kalau orang Islam tidak keluar mengundi menyebabkan kuasa pemerintahan kita, diambil orang lain. Hanya Islam sahaja yang boleh memerintah dengan adil dan baik untuk Islam dan bukan Islam,” katanya dalam menerusi satu video dimuatnaik dalam Facebook hari ini.
Abdul Hadi berkata, semua pihak sudah merasai bagaimana kuasa Islam lemah ketika Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya.
Justeru itu, beliau meminta rakyat untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta rakan lain supaya negara terus berada dalam keadaan adil dan aman.
“Buat semua saudaraku yang akan menunaikan kewajipan mengundi, ingatlah undi kita akan menentukan corak kepemimpinan enam negeri ini.
“Undi kita akan menentukan bagaimana nasib anak-anak dan saudara kita. Undi kita akan menentukan bagaimana sikap para pimpinan negara terhadap rakyat. Undi kita akan menyelamatkan negara kita,” katanya. – UTUSAN











