DUNGUN: Meskipun dua penggal tidak menjadi wakil rakyat, bekas ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Datuk Din Adam, tidak pernah ‘meninggalkan’ kawasan itu, malah sentiasa bersama penduduk di DUN tersebut.
Maka, pencalonan semula Ketua UMNO Bahagian Dungun pada Pilihan Raya Negeri ini bagaikan memberi nafas baharu kepada penduduk di DUN tersebut yang sememangnya menagih khidmatnya untuk membangunkan kawasan itu.
Menggunakan tagline ‘Dekat Di hati Anda dan Deme Di hati Ambe’ (DDA), Din yang terkenal dengan sifatnya yang sangat ramah dan senang disapa oleh semua golongan, sememangnya tidak asing buat penduduk di sini kerana pernah berkhidmat sebagai ADUN Bukit Besi selama dua penggal bermula 2004 hingga 2013.
PEMBANGUNAN
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia, Sukan dan Badan NGO negeri itu berjaya membawa lebih banyak pembangunan di Bukit Besi antaranya pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu Kampus Bukit Besi, Pusat Koreksional Bukit Besi, pembinaan perumahan Paya Lawas, beberapa buah masjid dan meningkatkan infrastruktur bekalan air besih serta kemudahan komunikasi selular di kawasan pedalaman.
Calon Barisan Nasional (BN) tu berkata, beliau yang ‘direhatkan’ selama dua penggal, belum puas berkhidmat untuk rakyat di DUN ini dan bertekad mahu terus memajukan Bukit Besi yang terkenal dengan sejarah perlombongan suatu ketika dahulu, secara fizikal dan sosial.
“Saya berhasrat untuk membangunkan kawasan Bukit Besi ini sebagai pusat pertumbuhan baharu yang kita bahagikan kepada empat zon iaitu di sekitar Dataran Seri Bangun berhampiran dengan susur masuk ke Plaza Tol Bukit Besi diikuti zon kedua iaitu Bandar Al Muktafi Billah Shah yang mempunyai pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
“Seterusnya ialah zon Felda Jerangau, kita akan lihat keperluan kemudahan untuk generasi kedua, bukan hanya penempatan, tetapi juga kemudahan pembangunan lain yang dapat membawa peluang pekerjaan. Zon terakhir adalah di kawasan pedalaman untuk kita memberi penekanan terhadap prasarana termasuk jalan dan kita akan majukan kawasan pelancongan di Hulu Dungun,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, semalam.
KOMERSIAL
Din berkata, ketika ini, Bandar Bukit Besi belum mempunyai pusat komersial yang boleh menjana ekonomi kepada penduduk setempat dan besar harapannya untuk melihat Bukit Besi berkembang maju.
Bagaimanapun, menurutnya, pembangunan yang dirancang ini akan lebih mudah dilaksanakan sekiranya pentadbiran kerajaan negeri dan pusat sealiran.
Oleh itu, besar harapannya agar pengundi terus memilih BN di Bukit Besi dan kembali memerintah negeri.
“Saya mempunyai track record yang boleh dinilai dari segi hubungan saya dengan masyarakat, pembangunan yang telah dibawa dan saya mahu melihat kuota 5,000 pelajar di UiTM Bukit Besi dapat dipenuhi dan institusi pendidikan ini menjadi pemangkin pembangunan setempat yang pastinya dapat mewujudkan perumahan baharu, ruang perniagaan dan menjana peluang pekerjaan,” katanya.
Tidak menjanjikan ‘bulan dan bintang’, Din berkata, beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk berkhidmat kepada rakyat di DUN ini sekiranya diberi mandat pada Sabtu ini dan akan sedaya upaya memenuhi hasrat penduduk terutamanya dalam menyediakan perumahan mampu milik serta mengutamakan kesegeraan dalam urusan kebajikan dan tanah. – UTUSAN










