KUALA TERENGGANU: Masalah hakisan pantai, isu perparitan, perumahan dan jaringan infrastruktur ke kawasan pertanian menjadi agenda utama calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Bazlan Abd. Rahman.
Semua isu tersebut sering membelenggu penduduk Batu Rakit dan beliau memberi jaminan akan menyelesaikannya jika terus diberi kepercayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Menurutnya, sejak menjadi wakil rakyat Batu Rakit tahun 2013, semua perkara itu berjaya diatasi secara berperingkat, namun, terhenti apabila BN tewas di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“BN Terengganu merancang membina 500 unit rumah baharu di tapak asal Kampung Pecah Rotan dan satu lagi kawasan sekitar Maras atau Bukit Cempaka.
“Ia telah diluluskan oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd. untuk memberi manfaat kepada penduduk terutama golongan muda memiliki kediaman sendiri.
“Begitu juga keperluan mendesak perumahan di Pulau Redang kerana projek yang disiapkan BN sebelum ini masih tidak dapat menampung permintaan di pulau peranginan itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
NELAYAN
Ketika ini, komposisi penduduk Batu Rakit terdiri 30 peratus nelayan, 30 peratus petani dan bakinya bekerja kerajaan, swasta atau menjalankan perniagaan sendiri.
Selain itu, Bazlan berkata, lokasi Batu Rakit tidak jauh dari pusat bandar Kuala Terengganu juga berpotensi menjana ekonomi hasil industri pelancongan.
“Sekiranya BN kembali memerintah Terengganu, pastinya lebih banyak perancangan untuk memberi peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melebarkan perniagaan mereka di Batu Rakit dan menyumbang kepada peningkatan dalam sektor pelancongan,” katanya.
Mengenai kemudahan pelancongan di Pulau Redang, Bazlan berkata, BN sedang bekerjasama dengan Jabatan Pelancongan dan Tourism Malaysia untuk mewujudkan lebih banyak rumah inap desa di perkampungan penduduk.
“Kalau boleh, setiap rumah diwujudkan konsep pelancongan inap desa untuk membantu penduduk menjana pendapatan sampingan, namun, mereka perlulah memenuhi semua kriteria yang ditetapkan pihak bertanggungjawab,” kata beliau. – UTUSAN
LATAR BELAKANG Bazlan Abd. Rahman
Pendidikan
* Ijazah Sarjana Muda
Pengajaran – OUM
* Sijil Perguruan Maktab Perguruan Lembah Pantai Kuala Lumpur
Politik
* Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiu
(2018 – sekarang)
* Penolong Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu
(2014 – sekarang)
* Ketua Urusetia UMNO DUN Batu Rakit
(2013 – sekarang)
Kerjaya
* ADUN Batu Rakit
(2013 – sekarang)
* Pengerusi Lembaga Pengarah Pengurusan TATIUC dan EPIC Properties (2013 – 2018)
* Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Terengganu
(2013 – 2018)










