Sekarang sudah tidak boleh lompat, kerajaan Pusat tidak tergugat

Sekarang sudah tidak boleh lompat, kerajaan Pusat tidak tergugat

KERAJAAN Pusat yang terbentuk hari ini adalah gabungan 148 kerusi Parlimen dan tidak akan tergugat walau apa pun keputusan pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: “Sekarang ini sudah tidak macam dulu, tidak boleh melompat lagi. Kalau mahu ubah sokongan, seluruh parti kena keluar daripada kerajaan. Kalau seorang-seorang tidak boleh.”

Itu kata-kata Timbalan Pe­ngerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai mengulas naratif pimpinan Perikatan Nasional (PN) bahawa kerajaan Pusat akan berubah jika PN menang besar dalam pilihan raya negeri (PRN) hujung minggu ini.

Kata Ahli Parlimen Rembau itu, kerajaan Perpaduan di pe­ringkat Persekutuan tidak akan tergugat walau apa juga keputusan PRN di enam buah negeri pada Sabtu ini.

MAJORITI

Katanya, kerajaan Persekutuan pada hari ini ditubuhkan dengan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen iaitu sebanyak 148 kerusi.

“Kedudukan kerajaan juga semakin kukuh apabila Parlimen meluluskan Akta Anti Lompat Parti.

“Sekarang ini tidak boleh melompat lagi. Dalam Parlimen kalau ada undian, kita perhatian berapa kita dapat, siapa me­ngundi ataupun tidak.

“Jika didapati ada salah seorang daripada 148 orang ahli Parlimen Kerjaan Perpaduan tidak mengundi, kita tahu siapa, dia akan diambil tindakan dan SPR boleh ambil tindakan dan mengosongkan kerusi Parlimen.

“(Oleh itu) kerajaan Persekutuan tidak akan tergugat langsung walau apa juga keputusan PRN di enam buah negeri ini,” katanya yang juga calon BN di DUN Rantau dalam program Sesi Dialog Bersama Penduduk Kampung Bemban, Rantau di sini semalam.

Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berterusan menegaskan bahawa keputusan yang memihak kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN di enam buah negeri akan membawa perubahan kepada kerajaan Pusat.

Justeru, beliau menggesa pe­ngundi terutama orang Me­layu keluar mengundi bagi membolehkan PN menang di enam buah negeri terbabit.

“Apa yang menyedihkan kita, masih ramai tidak keluar me­ngundi, tidak mahu mengundi, tak sedar mengundi ini adalah kuasa politik, kalau tidak me­ngundi bermakna kita hilangkan kuasa politik kita,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best Bersama Presiden Pas di Bandar Sri Sendayan di sini malam semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai naratif akan berlaku perubahan di peringkat kerajaan Pusat sekiranya PN menang pada PRN kali ini, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberitahu, ada proses undang-undang yang memboleh­kan perkara itu berlaku.

“Macam-macam cara, walaupun negara kita ada anti lompat parti tetapi ada proses undang-undang yang boleh dijalankan untuk menukar sesebuah kerajaan, begitu juga dengan kerajaan negeri yang lain, ada proses perundangan mengikut Perlembagaan yang boleh dibuat,” katanya.

Di Kuala Terengganu, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan pembangkang agar tidak terus bermimpi mahu menukar kerajaan Pusat sebaliknya fokus menjadi pembangkang baik untuk bersama-sama membangun negara.

“Pembangkang seharusnya lebih faham proses perunda­ngan negara terutama sekatan melalui Akta Anti Lompat Parti yang diperkenalkan sebelum ini.

“Kenyataan Ahmad Faizal Azumu bahawa kerajaan Pusat boleh bertukar sekiranya PN menang dalam PRN kali ini menunjukkan dia tidak faham proses perunda­ngan negara.

“Cukup-cukuplah tu (dengan rancangan mahu menukar ke­pimpinan di peringkat Pusat),’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×