Bukti banyak tetapi ‘Tiada Tindakan Lanjut'

Bukti banyak tetapi ‘Tiada Tindakan Lanjut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun ada bukti yang terlalu banyak, Jabatan Peguam Negara (AGC) di bawah kendalian Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah mengklasifikasikan siasatan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA).

Demikian ditegaskan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz ketika membacakan pernyataan saksinya di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Menurut beliau, walaupun BNM telah menulis surat kepada AGC agar mempertimbang semula keputusan NFA yang dibuat pada 11 September 2015, jabatan itu tidak memberikan sebarang maklum balas.

Selain itu Zeti memberitahu, bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail yang mengarahkan penubuhan petugas 1MDB pertama bagi menyiasat penyelewengan itu juga telah ditamatkan perkhidmatan.

“Tiada lagi mesyuarat petugas khas diadakan selepas AGC diambil alih oleh Tan Sri Mohamed Apandi. Pada 5 Ogos 2015, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau telah dinasihatkan oleh Peguam Negara bahawa pasukan petugas 1MDB tidak lagi diperlukan.

“Setiap agensi pihak berkuasa boleh melakukan siasatannya tersendiri berdasarkan peruntukan undang-undang masing-masing.

“Pada 13 Ogos 2015, BNM telah menyerahkan Kertas Siasatan kepada AGC dengan cadangan agar pendakwaan dibuat terhadap 1MDB dan pegawai-pegawai kanan 1MDB. Berkait dengan akaun Najib, BNM telah memberikan segala maklumat relevan kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Walaupun dengan segala bukti yang banyak dikumpulkan oleh BNM dan direkodkan dalam kertas siasatan, AGC atas alasan yang tidak diketahui, pada 11 September memutuskan bahawa kertas siasatan BNM diklasifikasikan sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’,” katanya.

ZETI AKHTAR AZIZ

Terdahulu, Zeti ketika membaca pernyataan saksinya mendedahkan BNM pada 13 Mac 2015 telah menerima maklumat rahsia daripada pihak berkuasa luar negara berkaitan entiti luar yang telah memindahkan sejumlah besar wang kepada satu entiti di negara mereka yang dimiliki oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Pada 20 Mac 2015, BNM memulakan pemeriksaan ke atas AmBank dan Deutsche Bank Malaysia Berhad (DBMB) untuk mengesahkan dakwaan bahawa 1MDB memindahkan AS$700 juta daripada dana AS$1 bilion kepada sebuah syarikat milik persendirian.

Beliau berkata wang itu diperuntukkan bagi pemerolehan 40 peratus saham dalam 1MDB Petrosaudi Limited dan British Virgin Island (JV Co.), begitu juga dana 1MDB lain ke akaun Good Star Limited (GSL) dan bukannya ke akaun JV Co.

“Berikutan kelulusan penghantaran dana untuk pelaburan itu, sejumlah AS$700 juta daripada dana berkenaan  sebaliknya dikeluarkan daripada 1MDB ke akaun Good Star Limited (GSL) melalui Deutsche Bank.

“Hanya ketika pemeriksaan dibuat, adalah disahkan bahawa dana yang dibayar kepada Good Star Limited adalah dimiliki oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho,” katanya.

Selepas segala siasatan dibuat, pada 21 April 2015, beliau telah bertemu dengan Abu Kassim untuk mendedahkan penemuan itu termasuk maklumat yang mengesahkan bahawa Low pemilik benefisial akaun GSL yang menerima AS$700 juta daripada 1MDB pada 30 September 2009.

Sementara itu, Zeti memberitahu, Najib dan AmBank tidak pernah merujuk tiga keping surat berhubung derma Arab sebanyakAS$100 juta kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau ketika membacakan pernyataan saksinya berkata, sebaliknya surat-surat itu hanya ditemukan semasa serbuan BNM di bank berkenaan pada 6 Julai 2015.

“Antara dokumen yang dirampas ialah tiga lagi keping surat daripada Saud Abdulaziz Majid Al Saud yang dialamatkan kepada Datuk Seri Najib Razak bertarikh 1 November 2011, 1 Mac 2013 dan 1 Jun 2014. Surat-surat ini tidak pernah dirujuk kepada BNM.

“AmBank dan Datuk Seri Najib tidak pernah merujuk surat-surat (derma Arab) ini kepada BNM. Selain itu, dua keping surat yang kononnya dihantar kepada BNM oleh Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Ashok Ramamurthy juga ditemukan dalam serbuan itu.

“Tiada rekod yang menunjukkan surat-surat bertarikh 21 September 2012 dan 30 April 2013 telah dihantar oleh AmBank atau diterima oleh BNM. Fakta ini juga disahkan melalui interaksi di antara Abd. Rahman Abu Bakar dari BNM dan Tan Sri Azman Hashim daripada AmBank,” kata Zeti ketika membaca pernyataan itu dalam Bahasa Inggeris.

Surat oleh Ashok tersebut adalah berkenaan pembukaan tiga akaun Najib di AmBank.

Zeti menjelaskan, BNM hanya mengetahui mengenai tiga akaun tersebut kira-kira setahun enam bulan kemudian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×