KOTA BHARU: Cadangan agar sistem pembelajaran di maahad tahfiz dan sekolah pondok diseragam tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana ia ditadbir oleh pihak persendirian.
Menurut pihak pengurusan tahfiz terlibat, walaupun penyeragaman idea yang baik, pusat pendidikan terlibat juga berada di negeri-negeri yang pentadbiran urusan agamanya juga berbeza.
Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran), Manolito Mohd. Dahlan berkata, idea itu boleh membawa kebaikan seperti kualiti pendidikan sama rata dan sistem tatakelola yang baik selain pengiktirafan oleh kerajaan dari segi pensijilan.
“Pelbagai usaha dijalankan untuk penyeragaman ini. Maahad tahfiz merupakan sekolah swasta yang dibina secara persendirian dan tentunya pemilik, silibus dan sosioekonomi berbeza-beza,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, peruntukan diperoleh maahad tahfiz hanya dihadkan kepada baik pulih infrastruktur dan tidak merangkumi keperluan lebih meluas termasuk perkhidmatan serta pentadbiran.
Katanya, satu lagi halangan adalah skop pendidikan dan fokus berbeza setiap institusi pendidikan agama yang mana pondok adalah untuk pengajian kitab turath manakala maahad tahfiz menumpukan usaha melahirkan huffaz al-Quran dan sekolah agama pula mahu melahirkan agamawan profesional.
“Jika kerajaan benar-benar serius melaksanakan penyeragaman ini maka perlu diseragamkan dahulu pentadbiran peringkat pusat dan negeri, undang-undang serta bidang kuasa.
“Ambil alih secara menyeluruh maahad tahfiz swasta seperti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan salurkan guru, peruntukan bina bangunan, peruntukan penyelenggaraan serta keseluruhannya,” katanya.
Sehubungan itu, Manolito berpandangan lebih baik maahad tahfiz dan pondok kekal swasta kerana ia mampu memberi nilai tambah serta persaingan kepada sistem pendidikan kerajaan walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
“Cuma diharap kerajaan dapat mempertingkatkan peruntukan kepada maahad tahfiz daripada tahunan kepada bulanan serta diperluaskan untuk tujuan lebih menyeluruh termasuk perkhidmatan dan pentadbiran.
“Diharap juga pihak kerajaan tidak keterlaluan mengongkong maahad tahfiz dan pondok dengan pelbagai undang-undang serta peraturan sebaliknya memberi layanan sepertimana diterima sekolah vernakular,” ujarnya.
Beliau turut berharap kerajaan mengiktiraf dan menyediakan sijil kemahiran teknikal dan vokasional seperti sijil kemahiran tahfiz tahap tiga di setiap maahad yang kompeten.
“Kita juga berharap kerajaan mewujudkan Pusat Latihan Tahfiz Negara sepertimana Pusat Latihan Belia Negara, Pusat Latihan Sukan Negara dan sebagainya, khusus untuk melatih guru-guru tahfiz agar lebih kompiten,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Madrasah Al-Quran Wal Arabiyyah (Mawar), Ahmad Fahmi Abu Bakar berkata, modul pendidikan di madrasah, pondok dan pusat tahfiz boleh diselaraskan dengan mewajibkan setiap pelajarnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Menurutnya, pelajar terbabit juga perlu diwajibkan mengambil mata pelajaran asas meskipun mereka daripada aliran agama.
”Memang kita perlu selaraskan tahap pendidikan bagi meningkatkan mutu pendidikan sekolah tahfiz, madrasah, sekolah agama rakyat dan sebagainya dan ia boleh dilakukan menerusi satu modul khas,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan bahawa terdapat keperluan untuk mewujudkan satu badan yang dapat mengawal selia sistem pendidikan Islam dan sekolah agama di Malaysia bagi menyeragamkan pengurusan sistem pendidikan dan sekolah berkenaan.
Presiden Ikatan Guru Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, kerajaan juga perlu mewujudkan satu dasar yang jelas supaya dapat memperkasa sistem pendidikan Islam di negara ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata, setiap pusat tahfiz, sekolah agama atau institusi pengajian pondok juga perlu diberikan kebebasan untuk mempunyai sistem atau modul pendidikan mereka yang tersendiri.
”Jadi, kita harus memberi kebebasan kepada mereka bagi menjalankan modul yang mereka rasa lebih baik dan sebagainya, cuma kita boleh selaraskan pendidikan di sana dengan wajibkan pelajarnya mengambil SPM atau STAM.
”Jadi tidak perlu ganggu sistem mereka sebab kadang-kadang guru yang mengajar atau mereka yang menjadi pengasas sekolah ini mereka mengajar mengikut cara yang telah diterima,” katanya.
Tambahnya, metodologi dan cara didikan di setiap sekolah pondok, madrasah, pusat tahfiz dan sebagainya berbeza mengikut lokasi dan tempat pengasas pusat berkenaan mendapat didikan.
”Ada (tenaga pengajar) yang datang dari sekolah pondok, SMKA, sekolah agama rakyat, ada yang dari Asia Barat, Madinah, India, Afrika dan semuanya mempunyai sistem berbeza,” katanya. – UTUSAN










