SHAH ALAM: Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor bakal menyaksikan sekurang-kurangnya 12 daripada 56 kerusi menjadi gelanggang pertandingan tiga penjuru selepas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Bebas turut bertanding.
MUDA baru-baru ini mengesahkan penyertaannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Rawang, Bukit Antarabangsa, Dusun Tua, Seri Serdang, Seri Setia, Bandar Utama, Batu Tiga, Sentosa dan Sungai Kandis.
Sementara dua lagi DUN iaitu Meru dan Kota Anggerik, masing-masing akan ditandingi oleh wakil PSM, Sivaranjani Manickam serta calon Bebas, Abdul Razak Ismail merupakan bekas Setiausaha Otai Reformis.
Abdul Razak ketika dihubungi memaklumkan, beliau sepatutnya bertanding atas tiket Parti Hijau yang baru ditubuhkannya dan mendapat sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu untuk memperjuangkan isu alam sekitar di negeri ini.
“Antara perkara yang saya dimandatkan oleh penyokong-penyokong adalah penyelesaian terhadap pemusnahan hutan di Bukit Cerakah, perlombongan lebih 30 kawasan kuari di Bukit Lagong dan isu kualiti air Sungai Klang.
“Selain alam sekitar, isu pembangunan Stadium Shah Alam juga akan diselesaikan apabila kerajaan negeri didakwa tidak telus dalam melaksanakan projek tersebut dan enggan mendedahkan kos sebenarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengesahkan penyertaan PRN di kesemua 56 DUN Selangor di samping lima negeri lain seperti Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu melalui komponen masing-masing yang akan bermula penamaan calon pada 29 Julai ini.
Sementara itu, sumber dalaman Pas mengesahkan penyertaan partinya bersama PN akan bertanding di 17 kerusi sementara Bersatu pula 19 kerusi.
Antara kawasan ditandingi Pas seperti Lembah Jaya, Taman Templer, Seri Setia, Sungai Burong, Hulu Bernam, Sungai Air Tawar dan Sungai Panjang, sementara Bersatu pula bakal meletakkan calon di kawasan seperti Hulu Kelang, Morib, Jeram, Taman Medan dan Permatang.
Menurut sumber sama, Pas bakal menampilkan 70 peratus muka baharu dan profesional termasuk seorang bekas rektor sebuah universiti awam sebagai calon pada kerusi-kerusi ditandinginya yang akan diumumkan di Petaling Jaya tidak lama lagi.
“Pas mengawal ketat soal pemilihan calon serta pengurusan pencalonan kerana game sebenar PRN kali ini adalah melawan Kerajaan Persekutuan walaupun di peringkat negeri kerana buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri (caretaker).
“Kita lawan Kerajaan Persekutuan, malah mereka pun dilihat menumpukan kepada pilihan raya negeri apabila berkampung di Kedah dan Pulau Pinang pada baru-baru ini,” ujarnya. – UTUSAN










