KUALA TERENGGANU: Pemimpin Pas didapati akur dengan tuduhan mereka melakukan sogokan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila mereka tidak mahu mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas bagi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya tersebut.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, tindakan pemimpin Pas itu menunjukkan mereka telah melakukan kesalahan memberi sogokan kepada pengundi semata-mata untuk mencapai kemenangan dalam PRU15.
Menurutnya, beliau kecewa dengan tindakan pemimpin Pas yang selama ini mendakwa kononnya parti mereka bersih, namun kini terbukti parti itu sanggup melanggarkan undang-undang pilihan raya untuk mendapatkan undi.
“Perbuatan tidak bertanggungjawab Pas menghulurkan sumbangan seperti i-Fitri, i-Belia dan i-Pencen kepada pengundi ketika hampir dengan PRU15 didakwa berlaku di Parlimen Marang dan Kemaman pada PRU15.
“Sehubungan itu, kita telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu untuk menolak keputusan petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, kemenangan besar calon Pas di Parlimen Kuala Terengganu dan Parlimen lain pada PRU15 juga tidak boleh dibanggakan kerana pemimpin parti itu didapati melakukan kesalahan memberi rasuah kepada pengundi.
Selain itu, beliau memberitahu, UMNO menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan tarikh pilihan raya negeri kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dan pihaknya akan memberi saingan sengit kepada Pas.
“Terpulang kepada SPR untuk menetapkan tarikh PRK Parlimen Kuala Terengganu, itu urusan SPR. Siapa kita nak tetapkan (tarikh), itu urusan SPR,” ujarnya.
Menurut Ahmad, UMNO juga bersedia menghadapi PRK tersebut dan tidak akan memberi kemenangan mudah kepada Pas.
Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, pada hari yang sama, mahkamah tersebut mengekalkan Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen Marang.
Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Pas tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu. – UTUSAN










