KEMAMAN: Walaupun berdepan pelbagai kesukaran dan penat dari segi fizikal serta emosi, pasukan penyelamat tetap bersemangat dan bertungkus-lumus mencari dua lagi mangsa yang dikhuatiri hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di sini sejak Ahad lalu.
Jarak lokasi kejadian yang jauh di kawasan berhampiran hutan simpan di samping struktur geografi yang berbukit-bukau dan terdapat beberapa kawasan jeram yang dalam sememangnya menguji kekuatan fizikal setiap anggota penyelamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Penolong Penguasa Bomba Sharifuddin Ali yang turut menyertai operasi tersebut berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) 10 mangsa dalam insiden ini dianggap paling mencabar sepanjang 23 tahun beliau berkhidmat.
“Sebelum ini kalau ada mangsa lemas atau mangsa hilang, jumlahnya tidak ramai, namun kali ini mangsa 10 orang dan kami seboleh-bolehnya mahu kesemua mangsa dijumpai.
“Kalau ikutkan memang penat dan emosi kami juga terganggu dan sedih setiap kali melihat mayat ditemui, namun demi tugas dan tanggungjawab, kami sentiasa kuat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat berlaku.
Lapan mangsa yang ditemukan ialah Karim Abdullah, 39 dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim,6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Sementara itu, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemui pada Selasa. Dua lagi mangsa yang masih belum, ditemui ialah Putri Nur Fatin Karim 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24.
Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Staff Kanan (PA), Nik Mohd. Firdaus Nik Mohd. Redzuan pula berkata, operasi tersebut dianggap mencabar berikutan kawasan pencariannya yang luas.
“Sebagai penyelamat, kita terpaksa lupakan segala rasa penat, apa yang kita nak, kesemua mangsa segera ditemukan.
“Apa yang mencabar operasi kali ini ialah kita berdepan dengan cuaca yang tidak menentu dengan masa yang suntuk. Kalau ikutkan ketika diarahkan untuk hentikan operasi berikutan cuaca buruk, kami memang nak cari lagi mangsa, namun perlu ikut arahan kerana bimbang berlaku kejadian lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, operasi SAR hari kelima dilakukan secara berkala besar melibatkan seramai 279 anggota pada hari ini berbanding 174 anggota kelmarin.
“Selain cabaran tiada liputan talian komunikasi, kita juga berdepan dengan haiwan buas yang berada berhampiran hutan simpan termasuk harimau, gajah dan beruang.
“Bagaimanapun, kita akan sentiasa mengutamakan keselamatan dan lebih berhati-hati ketika menjalankan operasi,” katanya.
Menurut Azman, sebanyak 13 aset di air turut digerakkan dan sebanyak enam ekor anjing daripada unit pengesan bomba dan polis turut membantu operasi pencarian. – UTUSAN










