Menuntut keadilan atas kesan mengenyah nikotin

Menuntut keadilan atas kesan mengenyah nikotin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK diduga, kes mengenyah racun nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952 akan bertembung juga kesudahannya. Ini memandangkan kemudaratan yang dialami sejak 1 April lalu apabila keputusan dangkal itu dipaksakan. Apa lagi setelah begitu banyak nasihat dan pujuk rayu dilakukan bagi memikir semula langkah ‘sesat’ tersebut supaya kembali ke pangkal jalan.

Bukan sahaja ruangan ini membuat teguran tersebut, malahan pelbagai badan profesional kesihatan serta ilmiah berbuat sedemikian. Apatah lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ibu bapa dan guru yang menyuarakan kebimbangan berkaitan derita menimpa anak-anak umur semuda dua tahun teracun di Bera, bulan lalu. Seorang gadis belasan tahun meninggal dunia akibat serupa.

Pendek kata, tidak ada sebab mengapa pertembungan berkenaan perlu berlaku sekiranya pihak berkenaan khususnya Menteri Kesihatan sendiri ‘insaf’ lalu mengambil langkah sesuai untuk menyelamatkan keadaan dengan baik.

Antara sebab asas beradab serta demokratik adalah pertama, menghormati pihak berwajib yang menentukan keadaan terus kekal sepertimana biasa. Yakni tiada sebarang perubahan terkini sekalipun. Tambahan mereka terlibat adalah golongan pakar serta arif pula dalam segala selok-belok isunya. Pun begitu, malang sebaliknya berlaku pada saat-saat akhir seakan-akan terdesak bagi menolak dan menterbalikkan pendapat teramai. Tiada apa-apa keterangan munasabah dihulurkan.

Hal kedua, mengambil iktibar daripada tindak-tanduk negara lain yang mempunyai dasar terus mengharamkan nikotin dalam bentuk vape untuk peringkat usia remaja tertentu. Ataupun mengakui pandangan sejagat melalui badan seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketiga, apatah lagi apabila Ketua Pengarah WHO menujukkan nasihat bernas terhadap langkah sumbang Malaysia di mata dunia.

Keempat, mematuhi sumpahan profesional golongan perubatan dalam menegah perlakuan yang boleh mengakibatkan kemudaratan diri (first do no harm). Tidak ubah seperti digalakkan dalam Islam, berbuat baik tetapi menolak segala yang mungkar seperti mendedahkan serta mempermudahkan penggunaan nikotin dan vape bentuk cecair atau gel.

Kelima, mengesahkan keputusan serta tindakan bersandar hakikat serta bukti sains kukuh lagi padat khususnya nikotin adalah bahan racun serta mempunyai kesan ketagihan selaras dadah heroin. Kalau betul heroin dianggap musuh utama negara, mengapa nikotin untuk vape diambil enteng sahaja?

Paling aneh, semua hujah tersebut bukan baharu lebih-lebih bagi para profesional yang beriltizam lagi cekal. Mampu bertindak secara yakin dan berani atas penguasaan ilmu bersendi bukti jelas dan pasti. Tidak pasal berdolak-dalik apabila nyawa dan keafiatan anak bangsa terancam terang-terangan tanpa sebarang syak wasangka.

Sewajarnya tegas beramanah menyatakan kebenaran. Bukan meletakkan diri dan mendahului ego lantas menggadaikan maruah negara. Sedangkan melayan golongan tersepit atas angan-angan angkuh dan sombong untuk berkuasa! Inilah yang banyak berlaku sekarang. Cakap tidak serupa bikin. Kadang celupar dan kesat pekertinya. Semua menunjukkan bibit-bibit mungkar yang kini dipandang ringan belaka.

RUKUN MADANI

Sekurang-kurangnya tunjukkanlah Malaysia Madani seperti sering diuar-uarkan melalui enam rukun yang telah diperincikan. Pertama, mampan. Melepaskan nikotin daripada Akta Racun 1952 pasti tidak akan berlaku kemampanan. Malah memburukkan lagi seperti yang terjadi tiga bulan lalu. Cuai dan lesu berfikir.

Rukun kedua, sejahtera – pasti tidak kena sekali. Kalau tidak masakan ada pertembungan undang-undang seperti dilaporkan kerana tidak sejahtera.

Ketiga, rukun daya cipta. Lagi sekali tidak kerana kecelakaan yang dibawa setakat ini dan tidak membuka peluang sebarang daya cipta madani.

Keempat, hormat. Juga begitu malah lebih teruk. Cara dasar mengenyah nikotin agak ‘biadab’, tiada unsur ‘hormat.’ Suatu hal yang tidak langsung bertamadun dalam semua segi.

Kelima, rukun keyakinan – yakni mengekal dan mengakari kepercayaan beramanah. Jelas ini dusta nyata. Ramai terpedaya keputusan menteri, Kabinet dan kerajaan membela mereka. Tetapi bohongan yang mengundang tindakan membolehkan sebahagian daripada mereka menuntut keadilan mahkamah.

Akhir sekali, ihsan. Ihsan apa? Segala-gala kusut masai, kelam-kabut.

Merumitkan keadaan apabila ribuan remaja dan anak muda terjerumus dalam alam keracunan dan ketagihan yang disengajakan apabila nikotin terlepas daripada kawalan.

Ringkasnya, tindakan tersebut menyalahi setiap satu rukun madani yang tertera sepertimana di sesawang rasmi kerajaan. Belum pum mengambil pandangan ulama muktabar. Oleh itu, mengapa diteruskan juga sehingga hari ini seolah-olah mempunyai agenda yang lebih utama daripada keafiatan bangsa dan rakyat jelata?

Berbeza sungguh dengan gelagat terkini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melibatkan seorang pelancong yang kononnya tidak dikenakan masuk ke Malaysia. Betul atau tidak, tindakannya jelas dan deras. Ada yang turun padang hampir serta-merta. Begitu juga penyiasatan itu dan ini oleh pelbagai pihak. Laporan polis dibuat, suara sokongan atau sebaliknya kedengaran dalam menegakkan cerita atau dongeng masing-masing! Sedangkan bagi yang bergelumang dengan isu nikotin-vape, terus sunyi sepi.

Tiada turun padang mencegah atau menjengah mangsa terlibat. Begitu juga dari segi penerangan dalam media massa rasmi untuk mendidik atau menarik semula salah perhitungan yang menjadikan Malaysia lawak seluruh dunia. Sebab itu, pertembungan dan semakan undangan dialukan agar terbela hendaknya mereka yang teraniaya supaya tidak berulang lagi bagi yang berniat durjana. – UTUSAN

Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×