Orang lain tunduk baca buku, kita belek telefon

Orang lain tunduk baca buku, kita belek telefon

PEMBACAAN yang sesuai menjadi pengukur piawaian sesebuah negara mencapai kemajuan. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERDASARKAN rekod Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), antara Januari hingga April lalu, sebanyak 190,113 naskhah buku telah dipinjamkan. Angka ini meningkat sebanyak 60,000 berbanding tempoh sama pada 2019. Peningkatan dalam peminjaman buku ini merupakan satu fenomena yang memberangsangkan.

Satu kajian oleh PNM bersama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menunjukkan antara 1996 hingga 2005, rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku dalam setahun. Angka itu meningkat kepada 15 naskhah pada 2014, seterusnya naik menjadi 20 naskhah pada 2023. Perubahan ini menunjukkan satu kemajuan ketara.

Namun begitu, bilangan pembaca di negara kita masih jauh ketinggalan di belakang negara-negara maju. Menurut statistik 2017, orang Yahudi membaca 64 buku dalam setahun, orang Jepun 45 buah, orang Amerika Syarikat 40 buah dan rakyat China 4.66 buah.

Populasi, bilangan kelompok berpendapatan rendah, golongan terdidik yang kurang dan lain-lain faktor mempengaruhi perangkaan membaca di sesebuah negara. Negara-negara yang masih rendah tahap pembacaan sepatutnya tidak menjadikan faktor-faktor tersebut sebagai alasan untuk menghalang rakyatnya daripada giat membaca.

Sesungguhnya, amalan membeli buku dalam kalangan rakyat kita masih belum mencapai tahap memuaskan. Didapati kanak-kanak dan remaja biasanya hanya membeli buku rujukan untuk persediaan peperiksaan manakala kira-kira 34.5 peratus remaja gemar membaca novel cinta. Keadaan ini berlaku sebenarnya berkait rapat dengan haluan penerbitan buku di dalam negara. Penerbit-penerbit tempatan seharusnya mempelbagaikan genre agar para pembaca dimanfaatkan secara maksimum.

Pembacaan yang sesuai (termasuk buku fizikal, buku digital, informasi bercetak atau dalam talian dari media massa) menjadi pengukur piawaian sesebuah negara mencapai kemajuan. Bahan bacaan berkualiti dapat menambahkan ilmu pengetahuan seseorang pembaca dan membantunya menyelesaikan permasalahan dalam hidup. Selain itu, bahan bacaan yang bermutu tinggi turut dapat membentuk keperibadian seseorang dan membolehkannya membezakan antara yang baik dan buruk.

Di negara kita terdapat segelintir ahli politik yang suka mencetuskan isu yang mengganggu ketenteraman masyarakat. Mereka tidak membuat pertimbangan secara bijak dan menyeluruh semasa berhujah. Ini barangkali kerana mereka kurang membaca dan tidak memperoleh ilmu sewajarnya.

Rata-rata intelektual berpendapat, tabiat membaca harus dipupuk sejak seseorang masih kecil lagi. Ibu bapa dan guru sekolah memainkan peranan yang penting dalam menggalakkan dan membimbing anak-anak membaca pelbagai jenis bahan bacaan. Justeru, ibu bapa harus menjadi teladan kepada anak-anak dengan sentiasa membaca buku-buku yang berfaedah. Bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dengan kanak-kanak juga perlu disediakan oleh ibu bapa di rumah. Guru-guru pula dicadangkan agar sering membawa murid-murid membaca dan meminjam buku dari perpustakaan.

Di samping itu, ibu bapa boleh menetapkan masa membaca untuk anak-anak di rumah. Anak-anak digalakkan membaca sekurang-kurangnya 20 minit sehari. Lama-kelamaan, gemar membaca akan menjadi satu amalan harian anak.

PBAKL 2023

Pakar mencadangkan setiap orang perlu membaca lebih 50 naskhah buku dalam setahun. Setiap orang boleh membaca mengikut minat, kecenderungan dan keperluan masing-masing. Amalan membaca boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa yang sesuai.

Menuntut ilmu pengetahuan dan membaca saling lengkap-melengkapi. Selain membaca buku teks sekolah, anak-anak kita seharusnya banyak membaca pelbagai bahan bacaan agar mereka dapat menimba ilmu yang tidak terhad dalam buku teks sahaja.

Anak-anak kita bukan sahaja perlu lulus dalam peperiksaan sekolah, mereka juga harus memperlengkap diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran untuk menangani cabaran dalam kehidupan dan dunia pekerjaan kelak. Jika tidak membaca, mustahil mereka akan menjadi insan sempurna.

Sesetengah kita mempunyai tanggapan kurang tepat bahawa hanya perlu membaca semasa belajar di sekolah. Setelah tamat pelajaran dan meninggalkan bangku sekolah, kita tidak perlu lagi membaca. Namun hakikatnya, setiap orang tidak kira peringkat umur perlu banyak membaca bagi meluaskan pengetahuan dan mengetahui perkembangan semasa dalam negara dan dunia sejagat.

Kini, perpustakaan awam di negeri, daerah dan bandar berjumlah 340 buah manakala 1,112 terdapat di desa. Bilangan perpustakaan awam di negara kita perlu ditambah bagi memudahkan orang ramai meminjam buku.

Menurut angka PNM, sebanyak 20,000 judul buku diterbitkan di negara kita dalam setahun. Bilangan terbitan sebegini sesungguhnya memadai untuk negara yang hanya mempunyai 33 juta penduduk. Namun begitu, pembelian buku dalam kalangan rakyat masih tidak menunjukkan peningkatan menonjol. Permasalahan ini sesungguhnya menyekat perkembangan industri buku ke tahap yang lebih tinggi.

Daripada tinjauan saya, didapati penduduk di bandar-bandar besar di Asia seperti Tokyo, Beijing dan Seoul gemar membaca buku fizikal dalam pengangkutan awam. Akan tetapi di Kuala Lumpur, kita sering melihat penumpang transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT) hanya menundukkan kepala memfokuskan telefon pintar untuk membaca informasi dalam talian atau melayari media sosial.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 yang baru lepas mendapat sambutan hangat seperti keadaan sebelum berlakunya pandemik Covid-19. Dilaporkan PBAKL tahun ini berjaya menarik 1.5 juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya. Akan tetapi, didapati majoriti pengunjung pesta buku itu ialah kaum Melayu. Barangkali, pihak penganjur perlu memikirkan strategi berkesan untuk menarik lebih ramai kaum bukan Melayu ke PBAKL.

Kesimpulannya, membaca bahan bacaan berkualiti dapat mempersiapkan seseorang untuk berjaya dalam hidup. Bahkan, kemajuan dan pembangunan sesebuah tamadun bangsa banyak diukur berdasarkan tahap pembacaan rakyat sesebuah negara. – UTUSAN

DR. Lai Choy ialah bekas pendidik, penulis dan pekamus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×