PETALING JAYA: Parti Melayu dalam Kerajaan Perpaduan perlu lebih dominan dalam menjaga kepentingan kaum itu supaya orang Melayu tidak takut dengan DAP.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, ketakutan orang Melayu terhadap DAP bukan satu perkara yang menghairankan kerana stigma itu sudah lama tertanam.
Katanya, walaupun DAP mendakwa mereka parti pelbagai kaum, tetapi hakikatnya hanya satu kaum yang menguasai parti itu.
Malah, katanya, perasaan was-was orang Melayu juga semakin memuncak berikutan pengaruh DAP yang dilihat begitu kuat dalam Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.
“Saya ambil contoh mudah, kenapa penyokong Barisan Nasional (BN) tidak khuatir dengan MCA dan MIC kerana UMNO adalah dominan dalam parti tersebut, jadi, tidak ada masalah dalam mengawal MCA dan MIC serta tidak ada masalah untuk UMNO menjaga kepentingan Melayu Islam.
“Begitu juga kenapa penyokong Pas dan Parti Bersatu (Bersatu) tidak berasa gusar dengan Parti Gerakan (Gerakan) sedangkan Gerakan lebih kurang sama dengan DAP kerana Gerakan lemah manakala Pas dan Bersatu adalah dominan.
“Oleh itu, kegusaran orang Melayu terhadap DAP pada ketika ini boleh dilenturkan sedikit sekiranya parti UMNO yang bersama dalam kerajaan itu agak kuat, tetapi pada ketika ini, UMNO agak lemah dan sukar untuk menandingi kekuatan DAP, malah PKR dan Parti Amanah juga sama tidak mampu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meminta orang Melayu tidak perlu takut pada DAP selepas rekod baik yang dicatatkan parti itu sepanjang pemerintahan PH.
Aminuddin yang juga Menteri Besar berkata, sebaliknya ketakutan yang timbul sebelum ini hanyalah naratif dimainkan pihak lawan untuk menarik undi Melayu khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali berpendapat, DAP tidak boleh dilihat terlalu ekstrem dalam memperjuangkan perkara yang berkait dengan isu sensitiviti Islam.
Oleh itu, katanya, DAP perlu membuktikan mereka lebih berhemah walaupun dalam memperjuangkan agenda bukan Islam.
“Kena buktikan tidak lagi timbul isu-isu mempertikaikan Islam, kalau ada hal orang Islam buat tidak tahu…macam MCA tidak ganggu sangat.
“Macam DAP sebelum ini ada campur tangan atas nama mahu membela (orang bukan Islam), bukanlah tidak boleh, tetapi jangan terlalu nampak sangat.
“Namun, mutakhir ini DAP (sudah jelaskan) parti itu menyokong Islam agama rasmi dan mereka sudah dilihat moderate, cuma digunakan oleh pihak lawan yang mengatakan DAP satu parti yang ekstrem,” katanya. – UTUSAN










