PUTRAJAYA: Rakyat negara ini lebih memilih untuk bekerja ‘makan gaji’ berbanding bekerja sendiri menyebabkan hampir semua cabang ekonomi lain menjadi rebutan dalam kalangan warga asing.
Mengikut Statistik Tenaga Buruh, Malaysia sehingga April 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada awal bulan lalu, seramai 12.28 juta penduduk Malaysia selesa untuk bekerja makan gaji manakala hanya 2.92 juta orang memilih untuk bekerja sendiri.
Bilangan penduduk bekerja sendiri hanya merekodkan 2.92 juta orang berbanding seramai 12.28 juta orang berada dalam kategori pekerja iaitu merangkumi 75.5 peratus daripada 16.25 juta jumlah penduduk bekerja.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, mentaliti mahu hidup selesa bersandarkan pendapatan tetap secara bulanan itu mengakibatkan hampir semua ruang ekonomi kini direbut dan dikawal warga asing apabila mereka berani membuka perniagaan sendiri dan mampu hidup di negara ini.
Sedangkan, warganegara kita terus menunggu kerja dan menjadi penganggur dengan kini direkodkan seramai 586,900 orang, manakala kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun pula mencatatkan jumlah 441,000 orang.
Penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia turut mencatatkan seramai 115,100 orang.
Dr. Ahmad berkata, pemikiran rakyat Malaysia untuk memperoleh pendapatan perlu diubah iaitu tidak hanya bergantung kepada peluang pekerjaan yang ada di pasaran semata-mata.
Apatah lagi, kata beliau, jika mereka hanya mengharapkan pemberian subsidi dan bantuan wang tunai daripada kerajaan dengan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 3 yang dikeluarkan kali ini lebih RM2 bilion untuk diagihkan kepada kira-kira 8 juta penerima layak.
Sedangkan katanya, warga asing lebih kreatif mencari duit di ketika rakyat Malaysia tidak berminat atau tidak berani mengambil risiko dalam perniagaan pelbagai sektor.
Jumlah pekerja asing yang berdaftar di negara kini merekodkan seramai 1.64 juta individu setakat data 22 Mei lalu yang memiliki pas sah bekerja di bawah kuota dibenarkan dalam sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian serta perlombongan dan kuari.
“Pekerja asing yang memasuki negara ini pada asalnya untuk menampung keperluan tenaga kerja di negara ini.
“Tapi apa jadi selepas mereka habis kontrak bekerja? Mereka tidak pulang dan ada yang bekerja di tempat rakan-rakan negara mereka buka perniagaan dan kemudiannya dia belajar untuk membuka perniagaan sendiri,” katanya ketika ditemui semalam.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, hampir semua sektor ekonomi berasaskan rangkaian bekalan dan pengeluaran makanan negara dikawal warga asing apabila kebanyakan majikan terpaksa bergantung sehingga 80 peratus kepada pekerja asing.
Perkara itu berterusan dan warga asing kini bukan hanya bekerja sebagai buruh tetapi semakin ramai berjaya mengusahakan kebun sayur sendiri dan mula menguasai sektor runcit untuk membekalkan barangan keperluan kepada penduduk sekitar.
Ada antaranya bermula dengan perniagaan aiskrim secara kecil-kecilan di rumah, tetapi seorang lelaki warga Pakistan kini bergelar saudagar karpet selain mengusahakan kedai perabot.
Dalam pada itu, bekas Pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, rakyat Malaysia perlu kreatif dan bijak mencari peluang dalam perniagaan apatah lagi semakin ramai pelajar tidak mahu menyambung pengajian selepas hampir 30,000 pelajar SPM 2022 direkodkan tidak hadir menduduki peperiksaan.
“Jika pelajar tercicir ini tak mahu lagi belajar tetapi terlibat dalam perniagaan tidak menjadi masalah. Apa yang dibimbangkan mereka terus menjadi penganggur.
“Sebagai contoh mudah, mereka yang berada di Terengganu boleh buat nasi dagang hantar ke Kuala Lumpur. Kita ada jaringan pengangkutan yang bagus dengan mengambil pesanan melalui pelbagai aplikasi. Di sini boleh buat duit dengan mudah,” katanya.
Dalam perkembangan teknologi ketika ini, jelas beliau, banyak peluang perniagaan boleh dimanfaatkan dan bukannya menjadi mangsa teknologi apabila dijangkakan seramai 4.5 juta rakyat Malaysia berisiko hilang kerja menjelang 2030 susulan ancaman kecerdasan buatan (AI).
Pada masa sama, katanya, sistem pendidikan negara perlu ada pendekatan keusahawan seperti bidang pertanian, penternakan, pertukangan, perkhidmatan dan perniagaan demi melahirkan lebih ramai pengusaha kompetitif, kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk kualiti. – UTUSAN











