Jangan ganggu tugas SPRM – PBKIM

Jangan ganggu tugas SPRM – PBKIM

Kerajaan akan menubuhkan Akta Tatakelola dalam sektor awam. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Pe­lancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Ting King Sing tidak perlu mengambil alih tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mengganggu tugas pegawai Jabatan Imigresen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pesara Kakitangan Imigresen Malaysia (PBKIM), Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, sebagai seorang menteri yang memegang portfolio pelancongan, beliau tidak seharusnya campur tangan dalam soal keselamatan negara.

Menurutnya, beliau diberitahu, pegawai imigresen yang terlibat dalam insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu telah bertindak dengan betul apabila tidak membenarkan pelancong warga China itu masuk ke negara ini.

BUKTI

Dedahnya, pelancong warga China itu secara nyata gagal menunjukkan tiket penerbangan pulang ke negara asal, malah tidak mempunyai sebarang bukti tempahan hotel di negara ini.

Jelasnya, kegagalan menyediakan dua dokumen tersebut berpotensi mengancam keselamatan negara kerana pelancong itu dikhuatiri berniat untuk tidak kembali ke negara asalnya.

“Kalau ada rasuah atau salah guna kuasa, misalnya, salurkan terus kepada SPRM. Jangan ambil alih tugas SPRM pula. Sepatutnya kalau menteri, katakan pelancong itu kawan beliau atau sesiapa pun, seharusnya menteri itu menggunakan saluran yang betul untuk bertindak.

“Misalnya, menghubungi Menteri Dalam Negeri atau Ketua Pengarah Jabatan Imigresen sendiri. Tak perlu menteri sendiri pergi ke kaunter dan jumpa pihak imigresen, memberi alasan pula mahu menyiasat pegawai,” katanya.

Shahul berkata, PBKIM kecewa dengan tindakan King Sing yang bertindak tanpa mengikut saluran sewajarnya sehingga mencemari nama baik Jabatan Imigresen yang menjalankan tanggungjawab memastikan tatacara kemasukan pelancong asing ke Malaysia sentiasa dipatuhi.

“Kita amat kecewa tindakan oleh seorang menteri kerajaan terhadap pegawai kerajaan sendiri,” katanya.

Menjelas lanjut, Shahul yang juga penganalisis kriminologi bebas berkata, seseorang pelancong asing perlu mematuhi beberapa syarat sebelum dibenarkan masuk ke negara ini sebagai pelancong.

“Selain syarat perlu ada pasport, mereka juga perlu ada tiket penerbangan pergi dan balik. Pelancong asing juga harus mempunyai cukup duit untuk berbelanja di Malaysia malah perlu ada rekod bukti hotel untuk menginap yang sudah ditempah. Syarat-syarat ini perlu dipatuhi sebagai seorang pelancong.

“Apabila gagal menunjukkan semua itu, memanglah prosedur pegawai imigresen akan tahan dan tidak benarkan pelancong itu masuk ke negara ini. Dalam kes begini, memang pihak imigresen akan beranggapan bahawa dia masuk bukan sebagai pelancong tetapi untuk bekerja,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×