KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah menyelesaikan agihan semua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN), tidak lama lagi.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Zawawi Othman berkata, proses rundingan itu berjalan lancar termasuk melibatkan kerusi bertindih.
“Dari segi calon (BN), kita (UMNO) sudah serahkan nama kepada kepemimpinan Pusat untuk membuat keputusan.
“Untuk gerak kerja PRN, kita mulakan dengan ceramah penerangan berkait dengan isu-isu setempat dan negeri,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Pada PRN kali ini, BN bertanding di 31 kerusi manakala PH 14 kawasan.
Kerusi-kerusi yang ditandingi PH ialah Limbongan (Pasir Puteh), Tawang (Bachok); Kadok (Ketereh); Panchor (Pengkalan Chepa); Tanjong Mas, Kota Lama (Kota Bharu); Pasir Tumbuh, Demit (Kubang Kerian); Bukit Panau (Tanah Merah), Chetok (Rantau Panjang); Pasir Mas (Pengkalan Pasir); Mengkebang (Kuala Krai); Temangan (Machang) dan Pasir Pekan (Tumpat).
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kedudukan Pas di negeri ini bakal tergugat apabila 20 kerusi DUN yang dimenangi parti itu sebelum ini berada dalam keadaan tidak selamat pada PRN nanti.
Pengerusi PH Kelantan, Muhamad Husain berkata, jumlah undi yang dicampur antara parti itu dengan BN pada pilihan raya lalu meletakkan kedudukan Pas menjadi terancam.
Jelasnya, PH dan BN akan bekerja lebih keras bagi memastikan gabungan itu berjaya meraih kemenangan sekali gus memberi tekanan kepada Pas. – UTUSAN










