LPT2 bahaya, catat 503 kemalangan tahun ini

LPT2 bahaya, catat 503 kemalangan tahun ini

lpt2
Sebanyak 503 kes kemalangan dilaporkan dalam tempoh Januari hingga 31 Mei ini, membabitkan 14 kes kematian dan tiga cedera parah di LPT2.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Permukaan jalan beralun, gelap pada waktu malam, pencerobohan haiwan dan faktor manusia menjadi antara punca Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dianggap bahaya.

Dalam tempoh lima bulan iaitu bermula Januari hingga 31 Mei ini, sebanyak 503 kemalangan membabitkan 14 kes kematian dan tiga cedera parah dilaporkan berlaku di lebuh raya yang dibuka pada tahun 2015 itu.

LPT2 meliputi jarak sepanjang 184 kilometer (KM) dari Jabor di Kemaman hingga ke Gemuroh di Kuala Terengganu yang melibatkan kos pembinaan RM4.1 bilion.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, angka kemalangan di lebuh raya ter­babit agak merisaukan dengan trend meningkat setakat Mei tahun ini.

Beliau berkata, sepanjang tahun 2022, sebanyak 1,084 kemalangan dengan 24 kes kematian manakala 17 lagi cedera parah dilaporkan di LPT2.

Menurutnya, siasatan polis mendapati faktor manusia menjadi antara punca utama nahas di lebuh raya berkenaan selain faktor permukaan jalan beralun.

“Pengguna tidak harus memandu dalam keadaan mengantuk dan kenderaan juga perlu berada dalam keadaan baik untuk memulakan pemanduan serta mematuhi peraturan had laju lebuh raya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Berdasarkan data Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, polis mengenal pasti berapa lokasi panas sering berlaku tragedi di sepanjang lebuh raya tersebut.

Mazli berkata, antara lokasi panas tersebut adalah Kilometer (KM)255 dan KM288 yang terletak di Kuala Terengganu.

Sementara tiga lokasi di Dungun yang sering berlaku kemalangan pula terletak di KM331 sehingga KM337, KM348 sehingga KM350 dan KM366 sehingga KM373.

“Daerah Kemaman turut terdapat tiga kawasan ‘panas’ sering berlaku kemala­ngan iaitu KM250 sehingga KM254, KM288 sehingga KM290 dan KM318 sehingga KM320 manakala satu di Hulu Terengganu melibatkan laluan KM381.2,” tambahnya.

Menurut Mazli. pihaknya mengambil inisiatif menangani kenaikan jumlah kemalangan yang meningkat saban hari me­lalui kempen keselamatan bertujuan mendidik pengguna jalan raya.

Kata beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendekati pengguna menerusi hebahan di radio dan platform media sosial ber­kenaan info lalu lintas serta peringatan agar berhati-hati ketika memandu.

“Dari segi penguatkuasaan pula, PDRM mengadakan operasi secara berkala bagi mengawal dan mengurangkan nahas jalan raya daripada terus berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×