PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini semalam melepas dan membebaskan 17 individu yang merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya lima tahun lalu dan turut mengorbankan Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Dalam kejadian pada 27 November 2018, anggota bomba, Muhammad Adib cedera parah akibat dipukul perusuh ketika beliau dalam operasi memadamkan kenderaan yang terbakar di hadapan kuil berkenaan. Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018.
Pada prosiding semalam, Majistret Muhammad Iskandar Zainol memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan kesemua tertuduh tanpa memanggil mereka membela diri selepas pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes itu.
Tertuduh-tertuduh ialah Saifullah Abdullah, Riduan Sekh Ruslan, Irwan Noordin, Khairi Abdul Rashid, Rozaihan Zakaria, Qayyum Mohd Faisal, Ashraf Mohd Faizal, Absal Eastrie Abdullah, Jalil Talib, Khairol Anuar Zabidi, Zamri Md Said, Shukri Razali, Nor Azmi Abdul Ghani, Shahril Danniel Sajeel, Hasneezam Shah Samsudin, Akmal Izzat Azi dan Norul Ismawi Islahuddin.
Ketika membaca keputusannya, Muhammad Iskandar menyatakan tiada pengenalpastian positif tertuduh terlibat dalam kematian mangsa termasuk melalui pengecaman di kandang tertuduh.
“Selain itu tiada senjata dikemukakan di mahkamah sebagai bahan ekshibit seperti pisau seperti yang dinyatakan dalam kertas tuduhan,” kata majistret itu.
DIPANGGIL
Sepanjang perbicaraan 2019, lebih 20 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Sementara itu, peguam R.Kirthiraj yang mewakili Saifullah mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi media selepas tamat prosiding.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh berusia 24 dan 47 tahun didakwa merusuh dan memiliki senjata berbahaya antara pukul 2 hingga 5 pagi pada 26 November 2018.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Rusuhan dikatakan berpunca daripada isu penempatan semula kuil tetapi beberapa penganut enggan berbuat demikian. Rusuhan itu menyebabkan berpuluh-puluh kenderaan dibakar dan beberapa orang cedera.
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah membabitkan lebih dua orang yang tidak dikenali.
Koroner Rofiah Mohamad juga merumuskan kegagalan polis mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib. – UTUSAN










