Bersatu persoal keabsahan mesyuarat PN malam ini

Bersatu persoal keabsahan mesyuarat PN malam ini

Bersatu kerjasama dengan PH
MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khuatir mengenai perjalanan mesyuarat dan keputusan yang dibuat mempunyai implikasi perundangan serius, sekiranya Pas dan sekutunya masih meneruskan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), malam ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau mengesahkan menerima surat jemputan menghadiri mesyuarat tergempar itu yang dihantar oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun, beliau telah menulis surat balas bagi memberikan penjelasan berkaitan kerana Seksyen 41 Akta Pertubuhan 1966 menjelaskan mana-mana pertubuhan yang telah dibatalkan pendaftarannya adalah menjadi pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, seksyen 42 akta sama menerangkan mana-mana pemegang jawatan atau mana-mana orang yang menguruskan atau membantu dalam pengurusan mana-mana pertubuhan yang menyalahi undang-undang adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum penjara.

“Persoalan yang berbangkit ialah mengapa Datuk Seri Takiyuddin mengeluarkan surat bertarikh 23 Oktober 2026 untuk memanggil mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional apabila beliau sedia maklum pada hari sama, satu Notis Rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan.

“Bersatu berpendapat memandangkan satu notis rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan dan perkara yang menjadi intipati rayuan ini adalah bagi merayu terhadap keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, maka pihak-pihak hendaklah memelihara status quo keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sehingga pelupusan semua peringkat prosiding Mahkamah telah ditempuh sepenuhnya (exhausted),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan status Bersatu dalam PN dijangka diketahui hari ini selepas satu mesyuarat tergempar diadakan bagi membincangkan kedudukan gabungan itu, termasuk isu perundangan dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, mesyuarat yang di­jadual berlangsung malam ini di Ibu Pejabat Agung Pas itu akan melibatkan semua parti komponen terma­suk Bersatu.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, walaupun PN telah mendapatkan perintah penggantungan pelaksanaan dari Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober lalu berhubung keputusan pembatalan pendaftaran yang dikeluarkan oleh RoS, namun Mahkamah juga mengambil maklum pembatalan PN telah berkuatkuasa.

“Mahkamah juga menerima suatu perintah penggantungan tidak boleh dianggap secara automatik memulihkan pendaftaran yang telah dibatalkan.

“Umum sudah maklum satu notis rayuan telah difailkan oleh pihak Peguam Kanan Persekutuan pada 23 Oktober 2026 untuk dan bagi pihak RoS dan Menteri Dalam Negeri merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap keseluruhan keputusan Hakim Datuk Azizan Md. Arshad di Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober 2026 yang telah membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan perintah pembatalan oleh Pendaftar Pertubuhan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, terdapat beberapa perkara lain yang sering menjadi pertikaian dan alasan kepemimpinan PN terdahulu (sebelum dibatalkan pendaftaran oleh RoS) untuk menafikan hak Bersatu untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.

Katanya, alasan yang diberikan adalah berkenaan dengan isu korum Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang didakwa akan menjejaskan keabsahan mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

Jelasnya, pihak mereka juga sering mempertikaikan keanggotaan parti itu sedangkan Bersatu adalah parti anggota yang sah dalam PN seperti yang ditegaskan oleh RoS dalam surat bertarikh 12 Ogos 2026.

“Maka, apabila hari ini Pas dan sekutunya ‘merancang’ untuk mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional dan menjemput wakil-wakil Bersatu untuk hadir, adalah menjadi pra-syarat dan sine qua non bagi mereka untuk menyatakan pendirian mengenai isu korum MPT Bersatu dan keanggotaan Bersatu dalam Perikatan Nasional, yang setakat ini masih gagal berbuat demikian dan akan menimbulkan persoalan mengenai keesahan notis mesyuarat hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini