PETALING JAYA: Cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan seperti dibangkitkan sebelum ini menjadi tanda tanya memandangkan perkara itu tidak terkandung dalam Kertas Putih Kesihatan setelah dibentang dan diluluskan di Parlimen.
Dokumen menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan untuk 15 tahun akan datang itu langsung tidak menyentuh penubuhan sebuah entiti khas untuk kesihatan sama seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Suruhanjaya Pasukan Polis dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
Hal ini setelah Kementerian Kesihatan sejak pentadbiran kerajaan dahulu pernah menyatakan hasrat untuk memasukkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dalam Kertas Putih Kesihatan, namun perkara ini tidak berlaku.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abdul Razak menegaskan, sudah tiba masanya skim kesihatan perlu dipisahkan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan diletakkan di bawah satu entiti sendiri bagi menambahbaik kualiti dan sistem kesihatan negara.
Beliau menjelaskan, langkah itu akan membolehkan Kementerian Kesihatan dapat mengawal sendiri jumlah petugas yang diperlukan mengikut keperluan semasa.
“Selain itu, kita melihat usaha ini (pemisahan skim kesihatan daripada JPA) dapat memudahkan penyerapan doktor-doktor baharu dan pengambilan mereka sebagai penjawat awam yang boleh ditentukan oleh pihak kementerian sendiri.
“Pada umumnya, birokrasi penerimaan perjawatan baharu dapat dikurangkan dan Kementerian Kesihatan dapat bergerak lebih progresif tanpa sekatan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, Dewan Negara meluluskan usul Kertas Putih Kesihatan sebagai satu daripada hala tuju reformasi sistem kesihatan negara untuk tempoh 15 tahun akan datang selepas dibahaskan oleh 27 Senator.
Pada 15 Jun, Dewan Rakyat meluluskan usul Kertas Putih Kesihatan selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen menerusi undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Ke-15.
Dalam pada itu, Dr. Boi Saidi menambah, pihaknya menyokong agar skim kesihatan dipisahkan daripada JPA agar mengurangkan birokrasi pengambilan perjawatan baharu kerana Kementerian Kesihatan dapat bergerak lebih progresif tanpa sekatan.
“Malah pemberian insentif tertentu kepada petugas kesihatan juga dapat dipermudah dimana keputusan dpt dibuat di peringkat kementerian sahaja,” katanya.
Sebaliknya bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah berpandangan, penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang dikatakan boleh menyelesaikan isu penjawatan dan saraan petugas kesihatan tidak semudah disangka kerana perkara itu akhirnya bergantung kepada pertimbangan kerajaan.
Beliau memberikan contoh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan hanya berbidang kuasa merangkumi soal pengambilan dan tatatertib, sebaliknya JPA yang menyelaras daripada segi aspek skim penjawatan dan saraan.
“Sama seperti suruhanjaya lain, ia mempunyai fungsi tertentu sahaja namun JPA selaku agensi pelaksana Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan melihat berkenaan baki tugas lain,” jelasnya.
Menyentuh soal saraan, Borhan berkata, keputusan akhirnya untuk mempertimbangkan kenaikan gaji dan elaun bergantung kepada kerajaan dan bukannya JPA yang akan membawa cadangan itu kepada pihak atasan untuk diluluskan.
“Apakah tujuan asal penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan? Jika berkenaan aspek saraan dan penjawatan, ia akhirnya bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan sama seperti suruhanjaya lain, mereka perlu melalui JPA.
“Melainkan dapat menjana pendapatan sendiri seperti Bank Negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Perkeso yang memutuskan untuk dipisahkan perjawatan daripada kerajaan, setelah mereka mempunyai kewangan sendiri untuk membayar saraan,” jelasnya. – UTUSAN










