KUALA LUMPUR: Seramai 31,140 belia berusia 35 tahun ke bawah telah didaftarkan sebagai bankrap sejak 2014 hingga Mei 2023 berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, susulan daripada jumlah tersebut, kerajaan akan memberi pelepasan kebankrapan kepada mereka yang diisytiharkan muflis dengan jumlah hutang berskala kecil di bawah RM50,000 yang memenuhi syarat bermula 1 Mac tahun ini.
“MDI juga telah meminda Seksyen 5(1) (a) Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) melalui Akta Insolvensi (Pindaan) 2020 (Akta A1624) yang diwartakan pada 22 Oktober 2020 dan berkuat kuasa sejak 1 September 2021
“Pindaan bertuiuan menetapkan nilai had minimum keberhutangan kepada RM100,000 yang secara tidak langsung membantu menurunkan peratusan bankrap didaftarkan dengan MDI termasuklah golongan belia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Terdahulu, Senator Mohd. Hasbie Muda minta kementerian tersebut menyatakan jumlah belia yang muflis serta usaha kerajaan bagi membendung isu tersebut.
Dalam pada itu, Ramkarpal juga menjelaskan, kerajaan memperkenalkan peruntukan berkenaan pelepasan automatik pada tahun 2017 di bawah Akta 360.
Katanya, peruntukan pelepasan automatik tersebut membolehkan golongan bankrap dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempo yang singkat iaitu tiga tahun daripada tarikh pemfailan Penyataan Hal Ehwal (PHE) dengan MDI.
Kerajaan juga, tambahnya, telah melakukan penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan automatik melalui Rang Undang-undang Insolvensi (Pindaan) 2023 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 24 Mei lalu dan Dewan Negara pada 19 Jun ini.
“Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan Prinsip Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan dan Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab bag membantu orang ramai yang mengalami masalah keberhutangan serius.
“Institusi kewangan perl memastikan peminjam yang menghadapi kesulitan membayar balik pinjaman dilayan dengan adil dan diberi pertimbangan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN











