KUALA LUMPUR: Tindak-tanduk Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini didakwa dilihat tidak mencerminkan dirinya sebagai Perdana Menteri tetapi masih lagi seperti seorang aktivis politik.
Timbalan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Tan Sri Mohd. Khalid Yunus berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu masih lagi tidak menunjukkan keupayaannya sebagai pemimpin nombor satu negara.
“Anwar sekarang sudah menjadi Perdana Menteri, dia kena tayang bahawa beliau sebagai pemimpin yang terajui negara. Apa kita nampak sekarang adalah dia bergerak dan bertindak sebagai aktivis politik lagi.
FOKUS
“Beliau kena fokus pada urus tadbir dalam kerajaannya untuk membantu rakyat terutama orang Melayu, Anwar perlu berfikir dan bertindak sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Pada 24 November lalu, Anwar menggalas tanggungjawab memimpin Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada 19 parti dan empat gabungan politik utama iaitu PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sementara itu, Mohd. Khalid menggesa Anwar membentangkan perancangannya untuk membawa Malaysia terutama orang Melayu ke hadapan.
“Kalau Anwar kata apa dibuat kerajaan terdahulu tidak betul, tidak berkesan dan tidak sempurna, beliau buatlah yang lebih baik, jangan asyik mengata kerajaan sebelum ini.
“Misalnya, tentang kedudukan ekonomi Melayu. Apa program, rancangan dan visi Anwar terhadap usaha-usaha nak membela nasib ekonomi bangsa. Kita mahukan solusi,” katanya.
Sementara itu, Putra menggesa seluruh ahlinya mengundi calon Melayu tanpa mengira logo parti dalam enam pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Mohd. Khalid berkata, sokongan tersebut bagi memastikan perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu dapat diwujudkan sekali gus memastikan kepentingan bangsa dan agama Islam sentiasa terpelihara.
“Sama ada Putra bertanding atau tidak di PRN nanti, jangan baca. Sekarang ni kita tidak perlu kisah calon dari parti politik mana, ketepikan soal itu tetapi lihat calon tersebut adalah Melayu,” katanya.
Beliau menyifatkan keadaan orang Melayu ketika ini diibaratkan telur di hujung tanduk.
“Sekiranya orang Melayu tidak bertindak sekarang, maknanya tidak bersatu jadi akhirnya bangsa kita juga akan rugi. Macam sekarang pun sudah nampak gambaran keadaan tersebut,’’ katanya. – UTUSAN










