KOTA BHARU: Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan komen Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai penganugerahan gelaran Tan Sri kepada almarhum ayahandanya lebih kepada kritikan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nik Mohamad Abduh atau Nik Abduh berkata, keluarganya tidak terkesan dengan kenyataan itu sebaliknya memahami maksud yang disampaikan oleh negarawan ulung itu.
“Kenyataan Dr. Mahathir atau Tun M bukan bertujuan menghina atau mempersoalkan pengurniaan darjah kebesaran kepada bekas Mursyidul Am Pas itu. Tun M bagi hint… beliau bukan kata kepada Tok Guru (Nik Abdul Aziz) tetapi lebih kepada mengkritik pendekatan Kerajaan Malaysia.
“Beliau mempersoalkan keputusan kerajaan memberikan anugerah darjah kebesaran kepada Tan Sri Lim Kit Siang. Beliau anggap perjuangan Tok Guru tidak boleh disamakan dengan perjuangan Kit Siang. Itu sahaja,” katanya ketika ditemui di Masjid Tok Guru di Pulau Melaka, di sini semalam.
Nik Abduh memberitahu, beliau menganggap kenyataan tersebut merupakan satu gurauan Tun M kepada Kerajaan Perpaduan dan ia tidak sepatutnya difahami sebagai satu penghinaan kepada Tok Guru.
Katanya, dakwaan yang mengatakan kenyataan bekas Presiden UMNO selama 22 tahun itu sebagai satu penghinaan terhadap Nik Abdul Aziz digunakan sebagai senjata oleh Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Saya rasa perkara itu boleh difahami dengan mudah oleh rakyat. Cuma cybertrooper sahaja memainkan perkara tersebut demi kepentingan politik pihak-pihak tertentu.
“Bagi pihak keluarga, kami tidak rasa apa-apa kerana dapat memahami dengan mudah. Jadi tidak perlulah untuk mengulas lanjut berkenaan perkara ini,” katanya.
Mengulas mengenai tulisan Nik Nur Humaira di laman Facebooknya mengenai isu berkenaan termasuk cara surat pemakluman disampaikan, Nik Abduh menegaskan, ia merupakan pandangan peribadinya sebagai cucu kepada Nik Abdul Aziz.
“Saya tidak mahu ambil pusing kerana bagi saya, pengurniaan darjah itu bertujuan baik untuk mengiktiraf perjuangan Tok Guru. Maka ia baik bagi saya serta keluarga. Kami berterima kasih kepada kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya. – UTUSAN










