Ringgit tidak akan cecah RM5 - Penganalisis

Ringgit tidak akan cecah RM5 – Penganalisis

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Badan pemikir, EMIR Research yakin nilai ringgit tidak akan mencecah RM5 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas kejatuhan drastik minggu lalu menyaksikan ia pada paras terendah dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, penyusutan ringgit disebabkan kekhuatiran akan berlakunya ke­kurangan dolar AS disebabkan kegagalan had siling hutang kerajaan di AS dinaikkan.

“Tetapi, kita boleh yakin bahawa pentadbiran Joe Biden tidak akan membenarkan AS menjadi muflis dan sekali gus mengingkari tanggungjawab un­­tuk melangsaikan keperluan perbelanjaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, kejatuhan ringgit dikhuatiri meningkatkan kadar inflasi, seterusnya mempenga­ruhi harga barangan.

Rais Hussin berkata, terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada pengukuhan dolar AS antaranya pertumbuhan ekonomi yang mana ekonomi AS sudah berkembang pada kadar yang lebih pantas daripada ekonomi maju yang lain.

Katanya, ini kerana impak perbelanjaan defisit secara langsung serta tidak langsung daripada pendapatan faedah lebih tinggi yang diperolehi entiti awam (seperti agensi kerajaan) dan sektor swasta akibat kenaikan kadar dana pinjaman oleh rizab persekutuan kemudiannya disuntik ke dalam ekonomi.

Ujarnya, impak yang selanjutnya itu telah membawa kepada peningkatan permintaan untuk dolar AS kerana pelabur berminat untuk melabur dalam aset AS ketika ekonomi rancak.

“Selain itu, rizab persekutuan telah menaikkan kadar faedah secara beransur-ansur, menjadikannya lebih menarik bagi pelabur untuk memegang aset dalam dinominasi dolar AS dan sekali gus menyumbang pe­ngukuhan matawang tersebut.

“Kadar faedah yang lebih tinggi juga boleh membawa kepada peningkatan permintaan untuk dolar AS dalam pasaran pertukaran asing,” ujarnya.

Menurut beliau, dolar AS juga sering dilihat sebagai mata wang selamat semasa pasaran sedunia turun naik atau ketidaktentuan.

Oleh itu, katanya, dengan ke­tegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi di beberapa bahagian dunia, pelabur akan tergalak untuk menganggap dolar AS sebagai aset selamat.

“Seterusnya, berbanding de­ngan mata wang utama lain, se­perti euro dan yen Jepun, dolar AS agak kukuh dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Ini boleh membawa kepada peningkatan permintaan untuk dolar AS kerana pelabur berusaha untuk mendapat manfaat kekuatannya.

“Namun, perlu diingat bahawa pergerakan mata wang adalah kompleks dan boleh dipengaruhi oleh banyak faktor, termasuk dinamik geopolitik, keluaran data ekonomi dan dasar bank pusat.

“Oleh itu, adalah sukar untuk menentukan mana-mana satu-satunya faktor yang mungkin mendorong kekuatan semasa dolar AS,” jelasnya.

JANGAN RASA SELESA

Masih terlalu awal untuk Malaysia mengetahui kadar kemampuan pertumbuhan ekonomi melalui ringgit dengan unjuran 4 hingga 5 peratus kerana ketika ini negara masih berada di suku kedua.

Pengarah Perhubungan Luar Institut Demokrasi dan Hal Eh­wal Ekonomi (IDEAS) Malaysia, Dr Zokhri Idris berkata, suku pertama tahun ini telah menca­tatkan pertumbuhan 5.6 peratus dan ia lebih tinggi dari kuasa ekonomi serantau seperti Indonesia (5 peratus), China (4.5 pe­ratus) dan Vietnam (3.3 peratus).

“Namun kita tidak boleh berasa selesa dengan perban­dingan ini kerana kuasa-kuasa ekonomi ini mencatat jumlah pendapatan jauh lebih besar dari Malaysia. Keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2022 untuk Indonesia (AS$3.419 trillion), China (AS$18.1 trillion) dan Vietnam mencatatkan AS$371 billion.

“Pada suku pertama, sekiranya pertumbuhan suku pertama dapat dikekalkan melebihi 5 pe­ratus, negara tidak mempunyai masalah untuk mencapai unjuran 4-5 peratus.

Cumanya kita masih perlu menunggu pertumbuhan pada suku kedua untuk kita mendapat gambaran yang lebih jelas.

“Pada ketika itu barulah kita boleh menyemak semula unjuran negara. Namun berdasarkan petunjuk ekonomi masa kini, inflasi yang terkawal (3.95) dan pengangguran (3.3 peratus) saya merasakan kita mampu untuk mencapai unjuran paling maksimum 4.5 peratus,” katanya.

Selain itu menurut Zokhri, ringgit juga telah lama bersandarkan kepada dolar AS berdasarkan sistem konvensional yang telah lama diamalkan dan ia juga telah menjadi amalan negara jiran dan serantau.

“Cuma masa kini kita menyaksikan trend beberapa negara untuk tidak terus berdagang menggunakan dolar AS seperti Russia (gas asli), Arab Saudi (Petroleum), negara-negara BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan).

“Solusi lain adalah menvaria­sikan perdagangan sebagai contoh Trade Diversification (import dan eksport) dengan negara diatas kerana kita akan mengurangkan perkaitan dengan dolar AS.

“Selain itu, kita perlu memastikan hutang siling negara berada dalam keadaan terkawal, jumlah pengeluaran harus lebih produktif supaya keyakinan terhadap ringgit meningkat. Barulah kita dapat mengukuhkan nilai ringgit,”katanya.

Dalam pada itu, menurut Zokhri, Malaysia juga tidak menggunakan nilai mata wang dengan bersandarkan nilaian emas sebagai cagaran ringgit kerana negara bergantung kepada sistem yang umum dipakai.

“Malaysia adalah negara perdagangan. Kita bergantung kepada sistem yang umum diguna pakai. Kita tidak boleh berdagang dengan emas secara ter­desak kerana ini akan menyebabkan nilai dagangan kita kurang menarik dan tidak kompetitif.

“Kita perlu ingat kita juga mempunyai saingan dari negara-negara pedagang yang lain, dan tidak boleh terus lari dari amalan kebiasaan.

“Emas kalis inflasi, tetapi tidak semua negara boleh menggunakan emas (ancaman dari kuasa ekonomi AS dan sekutunya),” katanya.
BNM perlu jelas situasi

Kejatuhan nilai ringgit sejak dua minggu ini dibimbangi akan memberikan kesan buruk terhadap ekonomi negara sekiranya kerajaan tidak melakukan sesuatu untuk mengatasinya segera.

BNM PERLU JELAS SITUASI

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ini kerana Malaysia masih mengimport banyak produk untuk kegunaan tempatan, selain turut berhutang dengan pihak luar.

“Ini semua memberi kesan terhadap ekonomi negara, khusus­nya kos sara hidup rakyat serta hutang negara dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) serta pa­sukannya perlu beri nasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinet pimpinannya untuk selamatkan ekonomi dan kewangan negara yang berkait rapat dengan kehidupan rakyat.

Bercakap benarlah walaupun pahit, adakah faktor lain yang bukan berbentuk ekonomi dan kewangan menjadi punca kejatuhan nilai ringgit.

Misalnya soal keyakinan rak­yat terhadap prestasi ekonomi negara ini dan masa depan kehidupan mereka. Kalau jawapannya ya, maka sila beritahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya langkah pemulihan dapat dilakukan segera oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Hassan berkata, sebuah agensi Kementerian Ekonomi, iaitu Jabatan Perangkaan melaporkan Indeks Pelopor yang boleh ditafsirkan bahawa ekonomi Malaysia bagi suku ketiga tahun ini akan berkembang perlahan.

“Dalam bahasa harian, prestasi ekonomi Malaysia tidak begitu baik. Justeru, Gabenor BNM perlu beritahu masalah sebenar kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri.

“Jangan bagi kenyataan gula-gula, iaitu kononnya ekonomi dan kewangan Malaysia dalam landasan yang betul dan berkembang. Kononnya nilai ringgit jatuh sementara dan terka­wal kerana rakyat tidak mahu cakap-cakap seperti ini, rakyat sekarang cerdik dan mempu­nyai maklumat terkini di tangan mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×