120,000 tamatkan langganan TV berbayar tahun lalu

120,000 tamatkan langganan TV berbayar tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 120,000 isi rumah menamatkan langganan perkhidmatan televisyen berbayar tahun lalu dan kini hanya berbaki 6.51 juta masih kekal melanggan berbanding 6.63 juta pada tahun 2021.

Maklumat tersebut direkodkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi laman sesawang rasminya mengenai jumlah pelanggan televisyen berbayar negara melibatkan setiap empat suku tahunan pada tahun lalu.

Suku pertama 2022 merekodkan bilangan isi rumah yang masih melanggan perkhidmatan itu ialah 6.628 juta namun pada suku keempat menyusut kepada 6.509 juta.

Berdasarkan pecahan SKMM, pelanggan siaran satelit berbayar di seluruh negara akhir tahun lepas ialah 5.458 juta berbanding pada awal tahun berkenaan sejumlah 5.523 juta.

Sementara isi rumah yang melanggan siaran televisyen kabel berbayar pula ialah 1.050 juta pada hujung tahun lalu daripada 1.106 juta direkodkan agensi itu ketika suku pertama.

Berdasarkan congak kasar trend penurunan yang dilapor­kan itu, tidak mustahil menje­lang 2088 kelak tiada lagi sesiapa pun yang akan menonton televisyen berbayar di negara ini.

Senario negatif itu berbeza dialami siaran percuma yang dikendalikan operator MYTV Broadcasting Sdn. Bhd. apabila mencatatkan sejumlah 6.4 juta isi rumah awal tahun ini.

Angka itu menyaksikan lonjakan positif berbanding hanya 6.3 juta pada suku pertama tahun lalu susulan ramai isi rumah yang beralih menamatkan langganan siaran berbayar.

Terdapat dua operator perkhidmatan televisyen berbayar, antaranya Astro yang ditubuhkan pada 1996 dengan memerlukan cakera parabola bagi menerima isyarat secara satelit.

Syarikat tersebut menyediakan hampir 100 saluran tempatan dan antarabangsa namun pelanggan perlu membayar lebih untuk pakej premium ter­tentu yang ditawarkan eksklusif.

Sementara Unifi TV yang dikendalikan secara kabel Internet oleh Telekom Malaysia sejak 2010 pula mengandungi puluhan saluran dengan bil daripada serendah RM30 sebulan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar geostrategis ter­kenal tanah air, Dr. Azmi Hassan ketika diminta mengulas situasi itu mengakui trend menunjukkan rakyat tidak tertarik me­langgan siaran berbayar kerana tiada nilai ekonomi.

“Kita tidak terkejut jika isi rumah miskin atau B40 tidak mampu langgan siaran berbayar, tetapi kini orang kaya dari kelompok M40 dan T20 pun berfikiran begitu juga,” jelasnya.

Trend itu ujarnya, bukan baharu dan turut berlaku di seluruh dunia ketika permulaan era wabak Covid-19 apabila ramai kehilangan pekerjaan atau pendapatan pula berkurangan.

Di negara ini, senario itu ketara di Johor apabila penduduknya lebih selesa menggunakan MYTV kerana menerima puluhan saluran digital terrestrial dari Singapura dan Indonesia.

Ia juga dapat dilihat di empat negeri yang bersempadan dengan wilayah selatan Thailand apabila isi rumah di sana sebenarnya ‘meriah’ menonton lebih 20 saluran negara jiran itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×