‘Gelombang hijau’ hanya sentimen sementara

‘Gelombang hijau’ hanya sentimen sementara

TIADA usul kepercayaan terhadap Perdana Menteri dibawa oleh mana-mana pihak sejak sidang Parlimen bermula, kelmarin. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELMARIN bermula Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Parlimen Ke-15 yang akan bersidang sehingga 15 Jun ini. Serentak itu, segala desas-desus mengenai pertukaran kerajaan mati sendiri bila tiada usul kepercayaan terhadap Perdana Menteri dibawa oleh mana-mana pihak. Inilah hakikat sebenarnya perilaku pemimpin pembangkang dari Perikatan Nasional (PN), bercakap berdegar-degar di belakang tetapi langsung tidak berani bila diberi ruang sepatutnya.

Sukar diterima akal bagaimana pertukaran kerajaan boleh berlaku di pertengahan penggal Parlimen tatkala sokongan semua 19 komponen kerajaan perpaduan kukuh. Tidak nampak bagaimana kerajaan perpaduan boleh tumbang tatkala ia tidak berhadapan sebarang masalah besar, sebaliknya PN dilihat lebih bermasalah, baik di peringkat Pusat mahupun negeri.

Salah satu masalah terbesar PN ialah imejnya yang terlalu Melayu dan Islam sehingga menyukarkannya untuk diterima oleh bukan Melayu dan bukan Islam. Melainkan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dari Parlimen Beluran, Sabah dan Datuk Ali anak Biju dari Parlimen Saratok, Sarawak, semua ahli Parlimen yang lain adalah Melayu dan Islam. Isu-isu Melayu dan Islam yang dibawanya juga menyebabkan PN tidak dilihat inklusif dan menyukarkannya mendapat sokongan bukan Melayu dan bukan Islam.

Lihatlah sahaja komponen bukan Melayu dan bukan Islam di Semenanjung, seperti parti Gerakan yang berhadapan masalah besar untuk memperjuangkan kepentingan bukan Melayu dan bukan Islam. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Gerakan diberikan 20 kerusi (5 di Pulau Pinang, 5 di Perak, 3 di Selangor, 3 di Kuala Lumpur, 1 di Negeri Sembilan, 1 di Melaka dan 2 di Johor). Tidak satu kerusi pun Gerakan mampu berikan cabaran kepada calon Pakatan Harapan (PH), baik dari DAP atau PKR, semua calonnya memperoleh tidak sampai separuh undi calon PH.

MENTERI BESAR

Perincian bandingan undi calon Gerakan dan calon PH adalah seperti berikut:

1. Di Batu Kawan, Wong Chia Zhen (10,344 undi), Chow Kon Yeow (50,744 undi).

2. Di Bukit Bendera, Hng Chee Wey (6,743), Syerleena Abdul Rashid (49,353).

3. Di Tanjong, H’ng Khoon Leng (2,501), Lim Hui Ying (31,968).

4. Di Jelutong, Baljit Singh (11,765), S.N. Rayer (50,369).

5. Di Bayan Baru, Oh Tong Keong (20,307), Sim Tze Tzin (55,209).

6. Di Taiping, See Tean Seng (21,569), Wong Kah Woh (47,098).

7. Di Ipoh Barat, Chek Kwong Weng (6,815), M. Kulasegaran (63,915).

8. Di Batu Gajah, Woo Cheong Yuen (7,163), V. Sivakumar (60,999).

9. Di Beruas, Ir. Ong Kean Sing (12,739), Datuk Ngeh Koo Ham (46,710).

10. Di Kampar, Janice Wong Oi Foon (12,127), Chong Zhemin (30,467).

11. Di Puchong, Jimmy Chew Jyh Gang (18,263), Yeo Bee Yin (79,425).

12. Di Subang, Alex Ang Hiang Ni (23,185), Wong Chen (138,259).

13. Di Damansara, Lim Si Ching (18,256), Gobind Singh Deo (142,875).

14. Di Kepong, Phaang Jing Fatt (2,795), Lim Lip Eng (64,308).

15. Di Segambut, V. Prabagaran (8,754), Hannah Yeoh (68,438).

16. Di Seputeh, Alan Wong Yee Yeng (6,047), Teresa Kok (73,234).

17. Di Rasah, Datuk David Choong Vee Hing (18,810), Cha Kee Chin (81,434).

18. Di Kota Melaka, Suhaime Borhan Hing (27,575), Khoo Poay Tiong (73,995).

19. Di Pulai, Loh Kah Yong (20,677), Datuk Seri Salahuddin Ayub (64,900).

20. Di Kulai, Datuk Tan Chin Hock (20,218), Teo Nie Ching (65,529).

Dalam ucapan penggulungan perhimpunan agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 12 Mac lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan keyakinan PN akan menang dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri. Terus diumumkan, Pas kekal menerajui Kedah, Kelantan, dan Terengganu; pemimpin Bersatu akan dipilih sebagai Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan; manakala Ketua Menteri Pulau Pinang akan dipilih dari komponen yang memenangi kerusi terbanyak.

POPULARITI

Lebih baru, Muhyiddin sewaktu bercakap dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Pagoh pada 20 Mei lalu berkata, kajian mendapati PN mendahului dari segi populariti dan kepimpinan menyebabkan beliau yakin PN akan mendapat 70 hingga 80 peratus sokongan rakyat.

Hakikat sebenarnya, tidak nampak jalan bagaimana PN akan mendapat sokongan besar terutama di negeri-negeri yang penduduknya ada ramai golongan bukan Melayu dan bukan Islam seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, malah Kedah. Seperti tertera dalam bandingan undi calon Gerakan dan calon PH pada PRU15, PN mustahil menguasai Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang malah Kedah tatkala imej PN dan Gerakan khususnya di mata golongan bukan Melayu dan bukan Islam adalah negatif.

Dalam bidang sains politik, ada satu teori bernama Rational Choice Theory (RCT) yang menyebut manusia bergantung kepada pengiraan rasional untuk membuat pilihan rasional yang akan mendatangkan hasil selari dengan kepentingan terbaik untuk mereka.

Berdasarkan pengiraan rasional, pengundi yang rasional dalam PRN pastilah akan memilih parti-parti politik yang mereka fikirkan paling mampu menjaga kepentingan negeri nanti. Pertimbangan rasional menyatakan bahawa setelah gabungan PH-BN-GRS-GPS-Warisan menguasai kerajaan Pusat, maka urusan penjagaan kepentingan negeri paling terbaik dilakukan oleh parti-parti politik yang sealiran atau tidak bermusuhan dengan kerajaan Pusat.

‘Gelombang hijau’ adalah sentimen sementara yang sukar berulang melainkan jika muncul lagi isu-isu besar yang menampakkan kerajaan perpaduan memang benar-benar gagal menjaga kepentingan Melayu dan Islam sehingga menyebabkan Melayu dan Islam terancam. Sehingga kini perkara ini tidak berlaku, malah sebaliknya PN pula dilihat bergelut dalam perpecahan sesama sendiri sehubungan perbezaan pendekatan mereka dengan kerajaan Pusat, pendakwaan mahkamah ke atas pemimpin Bersatu dan sebagainya. – UTUSAN

Dr. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×