SEWAKTU membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengungkapkan bahawa kerajaan perpaduan dengan tegas akan melaksanakan reformasi institusi dan tatakelola baik bagi menghapus segala ruang yang boleh mewujudkan amalan rasuah dan penyelewengan sistemik.
Syukurlah, setelah hampir enam bulan kerajaan perpaduan memerintah yang disokong oleh 19 parti politik dengan majoriti dua pertiga terbentuk, iltizam Anwar ini didukung oleh semua menteri Kabinet.
Ini menyebabkan Anwar ketika menyampaikan Amanat Perdana semasa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 Mei lalu menegaskan, tiada pimpinan kerajaan perpaduan yang terlibat dengan salah laku mahupun rasuah sepanjang enam bulan pentadbiran.
Tegas beliau, “Kalau orang tanya apa hebatnya kerajaan perpaduan, saya jawab hebatnya kerana pasukan pimpinannya bertekad untuk hentikan kerosakan dan keruntuhan nilai hingga menyebabkan negara ini rugi serta dihina oleh dunia kerana amalan untuk memperkayakan diri serta menyalahgunakan kuasa.”
Tidak dinafikan ada sedikit isu yang mencalarkan imej kerajaan perpaduan bila lima pegawai Kementerian Sumber Manusia (KSM) berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan isu membabitkan pengambilan pekerja asing.
Begitupun, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar membuat tindakan pantas dan tegas bagi memastikan tatakelola baik wujud di KSM dengan segera menamatkan kontrak pegawai-pegawai tersebut sekali gus menutup ruang spekulasi mengenai integriti para pegawai kementerian berkenaan.
Satu langkah lain bagi lebih memantapkan KSM ialah memasukkan Datuk Seri Dr. Zaini Ujang yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan sumber manusia, pendidikan, perancangan, penyelidikan dan alam sekitar sebagai Ketua Setiausaha berkuat kuasa 19 April.
Bebas daripada kemelut ini, KSM kini mengorak langkah ke hadapan untuk merealisasikan visinya sebagai Peneraju Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia Negara atas kesedaran bahawa mengangkat semula martabat negara melalui Malaysia Madani perlu dimulai dengan modal insan.
Telah ditegaskan sebelum ini bahawa pembangunan ekonomi pascapandemik hanya akan mampu berlangsung dengan modal insan yang gagah, dinamik, tangkas dan berkemampuan, maka dengan itu membangun dan meningkatkan modal insan perlu menjadi keutamaan terbesar negara.
Dalam konteks inilah peranan agensi terpenting KSM, iaitu Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp.) diketuai Datuk Shahul Dawood selaku Ketua Pegawai Eksekutifnya, amat ditagih untuk mewujudkan pembangunan modal insan yang berdaya tahan.
Ini penting kerana mengikut Randstad Malaysia’s 2022 Workmonitor Report, 97 peratus tenaga kerja Malaysia berminat memajukan diri tetapi hanya 36 peratus daripada mereka yang menerima peluang untuk membangun dan meningkatkan kemahiran daripada majikan masing-masing.
Malah, nama HRD Corp. disebut oleh Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2023 bahawa dana RM1 bilion akan dimanfaatkan untuk melaksanakan program latihan kemahiran kepada pekerja-pekerja bagi majikan yang berdaftar dan mempunyai levi terkumpul.
IMPAK BESAR
Selaras dengan visinya untuk memperbaiki kehidupan melalui pembelajaran sepanjang hayat dan pemerolehan kemahiran kerja di masa depan, HRD Corp. melakukan pelbagai inisiatif seperti pelancaran platform sehenti nasional pertama negara, Upskill Malaysia yang menampilkan senarai komprehensif program latihan dan pembangunan kemahiran ditawarkan oleh kerajaan.
Lebih mutakhir ialah penganjuran Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 yang berlangsung di seluruh negara pada 22 hingga 28 Mei lalu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan latihan serta memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.
NTW 2023 dijangka menarik kehadiran lebih 5,000 jurulatih dan kolaborator yang akan menyampaikan lebih 5,000 kursus latihan meliputi pelbagai topik dan kemahiran secara percuma dengan sasaran sehingga 125,000 peserta dari pelbagai golongan serta merekod lebih 500,000 jam.
Antara pelbagai jenis latihan yang ditawarkan termasuk kemahiran teknikal dan juga kemahiran insani (soft skill) seperti kepimpinan, pengurusan masa dan kemahiran komunikasi mahupun yang tertumpu kepada bidang-bidang tertentu seperti teknologi maklumat, keusahawanan, kewangan dan banyak lagi.
Program dengan anggaran kos latihan bernilai lebih RM250 juta ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang ingin meningkatkan kemahiran dan ia akan memberikan manfaat besar kepada mereka yang menghadapi kekangan untuk mendapatkan latihan serta kursus diperlukan.
Sepanjang tempoh seminggu ini, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi di seluruh negara umpamanya akan menawarkan pelbagai kursus dan latihan jangka pendek secara percuma kepada semua graduan, tenaga kerja dan sesiapa sahaja yang mahu meningkatkan kapasiti dan kebolehpasaran diri.
Terdapat lapan majlis perasmian NTW 2023 yang akan berlangsung di seluruh negara sepanjang minggu ini termasuk di Manipal International University, Nilai, oleh Sivakumar; di Pusat Pembangunan Kemahiran (PSDC), Pulau Pinang oleh Ketua Menteri; dan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) oleh Ketua Menteri, semuanya pada 23 Mei ini.
Ini diikuti majlis kemuncak NTW 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 27 Mei ini yang dijadualkan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tidak syak lagi, NTW 2023 adalah satu program sangat baik yang dilaksanakan oleh HRD Corp. dan KSM untuk membawa pelajar, institusi pengajian tinggi dan pemain industri bersama dalam usaha menguatkan kemahiran dan pengetahuan bakat dan tenaga kerja negara.
NTW 2023 juga menggambarkan komitmen tinggi HRD Corp. dan KSM untuk menghidupkan konsep Malaysia Madani terutama nilai teras Kemampanan, Kesejahteraan dan Daya Cipta yang memerlukan rakyat mengejar pengetahuan dan kecemerlangan secara berterusan.
Oleh itu, kerajaan, pemain industri dan seluruh rakyat perlu bekerjasama untuk mengambil bahagian dan seterusnya memperkuat dan memampankan NTW 2023 dalam usaha menjadikannya satu program tahunan yang berimpak besar untuk jangka panjang.
Semoga kumpulan sasaran NTW 2023, iaitu individu dalam kategori-kategori kanak-kanak, remaja, orang dewasa muda atau pelajar universiti, siswazah, orang dewasa yang bekerja atau golongan profesional serta warga emas akan memanfaatkan sepenuhnya program percuma ini. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.










