Perkenal kaedah TIMSS untuk ke SBP, MRSM

Perkenal kaedah TIMSS untuk ke SBP, MRSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Ibu bapa Untuk Pendidikan (PAGE Malaysia) mencadangkan soalan dan kaedah ujian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) diadaptasikan sebagai ujian saringan kemasukan pelajar ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Kehormatnya, Tunku Munawirah Putra berkata, ujian saringan kemasukan ke sekolah itu perlu lebih menjurus dalam menilai prestasi akademik dan konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sekiranya prestasi akademik yang dikehendaki dalam menilai pelajar.

“Mungkin soalan dan kaedah seperti ujian TIMSS yang dikendalikan untuk gred 4 (sekolah antarabangsa) yang belum lagi dilaksanakan di Malaysia dijadikan penanda aras.

“SBP tentu boleh mengkaji cara dan kaedah soalannya dan mengadaptasikannya sebagai ujian saringan.

“SBP juga boleh menganalisa dan membandingkan kohort SBP terdahulu yang menduduki ujian TIMSS untuk gred 8 kohort sebelum ini untuk membuat perbandingan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mingguan Malaysia pada 14 Mei melaporkan, lambakan modul soalan ujian kemasukan ke SBP dan MRSM di media sosial yang boleh dibeli semurah RM20 menimbulkan persoalan pelajar yang memohon sememangnya berkualiti atau sebaliknya.

Semakan Mingguan Malaysia mendapati wujud laman web yang menawarkan jualan koleksi modul dan soalan latihan ujian Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke SBP dan Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM).

Justeru, timbul persoalan bagaimana untuk mengukur kualiti pelajar sekiranya mereka cuma fokus kepada soalan latih tubi, sedangkan mereka tidak dikategorikan cemerlang akademik.

Ia susulan kualiti para pelajar SBP dan MRSM ketika ini selepas pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk ke tingkatan satu dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) ke tingkatan empat dipertikai kerana mereka tidak diuji menerusi sistem peperiksaan utama yang boleh dipercayai berkenaan.

Mengulas lanjut, Tunku Munawirah berkata, kaedah baharu bagaimanapun perlu digunakan untuk mendidik pelajar selepas pemansuhan UPSR dan PT3.

Katanya, ini kerana kaedah lama yang diguna-pakai guru kelihatan tidak efektif dan hanya melemahkan semangat guru untuk mendidik

Justeru, katanya, kohort berkenaan perlu bimbingan untuk mencapai sasaran prestasi dengan kaedah berlainan dari kebiasaan.

“Kohort saringan baharu ini mungkin perlu dibimbing dengan kaedah berlainan dari kebiasaan guru untuk mencapai potensi mereka.

“Guru juga perlu mendapatkan latihan, motivasi dan sokongan agar lebih efektif untuk mendidik para pelajar ini. (Namun) ia perlukan kajian dan pertimbangan, mungkin cara intervensi akademik diperlukan.

“Kohort ini juga perlu di kaji selidik untuk memastikan yang mereka tidak ketinggalan atau tercicir dari pembelajaran berikutan mereka merupakan kohort yang terjejas pembelajaran kerana menghadapi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semasa pandemik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×