Prolog global menentang imperialis dunia moden

Prolog global menentang imperialis dunia moden

FILEM Nyurnberg arahan pengarah terkenal Russia, Nikolay Lebedev memilih latar situasi pasca Perang Dunia Kedua.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, saya memenuhi undangan daripada Kedutaan Besar Russia di Malaysia bagi menghadiri tayangan filem epik Russia berjudul Nyurnberg.

Bertempat di sebuah pawagam di ibu kota, kehadiran kira-kira 100 penonton pelbagai latar belakang memberi isyarat bahawa propaganda anti-Russia yang didendangkan musuh geopolitiknya tidak cukup ampuh bagi meracuni otak warga Malaysia yang beramai-ramai memenuhi undangan ke tayangan itu.

Filem arahan pengarah terkenal Russia, Nikolay Lebedev itu memilih latar situasi pasca Perang Dunia Kedua. Seperti semua sedia maklum, peperangan yang berlangsung mulai 1939 sehingga 1945 itu memusatkan dua blok berbeza yang saling memerangi satu sama lain

Di satu blok ada Jerman, Itali dan Jepun yang agresif membasmi kumpulan liberalis haluan kiri terutama sosialis dan komunis. Blok satu lagi dianggotai Britain, Amerika Syarikat (AS), Perancis dan sekutu lain di Barat yang disebut Anglo-Saxon.

Dalam peperangan itu, Russia waktu itu dikenali Kesatuan Soviet (USSR) pada peringkat awal mengekalkan pendirian berkecuali. Namun, sejurus itu Jerman di bawah kepimpinan Adolf Hitler menyerang USSR pada 22 Jun 1941 di bawah kepimpinan Joseph Stalin.

Seusai tamatnya detik hitam yang meragut lebih 70 juta nyawa, maka dihimpunkan penjenayah perang Jerman untuk diadili di sebuah mahkamah di Nuremberg, Jerman. Tema inilah yang diangkat Lebedev sebagai latar Nyurnberg. Ia juga bertepatan dengan Hari Kemenangan USSR ke atas Jerman dalam perang tersebut.

Menariknya, filem yang digarap berdasarkan kisah benar itu membuktikan dunia masa kini bersifat paradoksikal. Ia menunjukkan situasi yang tidak masuk akal.

Cuba bayangkan, sewaktu Perang Dunia Kedua berlangsung, negara-negara Anglo-Saxon diketuai AS bekerjasama dengan Stalin bagi menumpaskan Nazi Jerman dan fasis Itali.

Selepas dekad demi dekad sejak Perang Dunia Kedua, blok Anglo-Saxon yang kini dicengkam kuat kumpulan neokonservatif iaitu pelobi Zionis yang pro-Israel, globalis pimpinan George Soros, pertubuhan pro-Israel pimpinan Carl Gershman di National Endowment for Democracy (NED) dan Klaus Schwab di Forum Ekonomi Dunia (WEF) berhempas pulas pula mahu menumpaskan USSR yang kini dijelmakan sebagai Kesatuan Russia.

Dari situlah, Ukraine diheret sebagai pentas eksperimen mencetuskan bibit Perang Dunia Ketiga sementara Russia pula dilabel sebagai musuh dunia setaraf Nazi Jerman sewaktu era Hitler. Mengapa dan bagaimana hal rumit ini boleh berlaku?

Soalan lebih tepat, cui bono? Siapakah yang mendapat laba?

PENGARUH NEOKONSERVATIF

Ahli ekonomi AS, Profesor Jeffrey Sachs pada Jun tahun lalu menulis, perang di Ukraine berpunca akibat komplot neokonservatif terhadap Russia. Dalam rencana berjudul Ukraine is the latest neocon disaster, Sachs menyebut perkara berikut:

“Perang di Ukraine kemuncak projek 30 tahun pergerakan neokonservatif. Pentadbiran Joe Biden dipenuhi kumpulan itu, iaitu kumpulan yang mencetuskan perang AS di Serbia (1999), Afghanistan (2001), Iraq (2003), Syria (2011), Libya (2011) dan yang melakukan banyak perkara untuk mencetuskan provokasi Russia.

“Rekod prestasi neokonservatif adalah salah satu bencana yang tidak dapat dielakkan, namun Biden telah menempatkan pasukannya dengan kumpulan itu. Akibatnya, Biden mengemudi Ukraine, AS dan Kesatuan Eropah ke arah satu lagi bencana geopolitik.”

Siapakah anggota kumpulan ini dan apakah agenda mereka?

Profesor John J. Mearsheimer dan Profesor Stephen M. Walt dalam makalah epik The Israel Lobby and U.S. foreign policy menyebut, kumpulan neokonservatif ini dibentuk oleh pelobi Zionis pro-Israel demi matlamat memperkasakan kedudukan strategik Israel di Asia Barat. Dalam buku itu mereka menulis:

“Sejak 1973, Washington membantu Israel dengan tahap sokongan yang tidak pernah diberikan kepada negara lain. Negara Zionis itu penerima dana dan bantuan perang terbesar AS setiap tahun.

“Jumlah bantuan langsung AS kepada Israel bernilai lebih daripada AS$140 bilion pada 2003. Israel juga menerima AS$3 bilion secara langsung setiap tahun, iaitu kira-kira satu perlima daripada bantuan asing dalam belanjawan tahunan AS.”

Malah Mearsheimer dan Walt menyebut, dari segi per kapita, bantuan AS kepada Israel diumpamakan seperti setiap warga rejim Zionis itu menerima subsidi langsung bernilai kira-kira AS$500 setiap tahun.

Jadi, apakah kaitan Israel, neokonservatif dan perang Russia-Ukraine yang diibaratkan seumpama bom jangka bagi mencetuskan Perang Dunia Ketiga? Apakah pula kaitan Nyurnberg dengan episod geopolitik penting yang akan menentukan nasib dunia?

REVOLUSI GLOBAL MENENTANG IMPERIALIS MODEN

Satu sumber keselamatan luar negara yang saya temui baru-baru ini mendedahkan, Nyurnberg melatarkan pengorbanan para patriot USSR dalam Perang Dunia Kedua yang memberi mesej sifat hipokrit Israel dan proksi mereka di Barat.

“Filem Nyurnberg mengisahkan pengorbanan 27 juta warga USSR yang terkorban dalam Perang Dunia Kedua bagi memerangi Jerman. Ini termasuk jutaan warga Ukraine pada waktu itu yang dianggap sebagai sebahagian daripada patriot yang membentuk roh dan semangat USSR. Sepatutnya selepas Perang Dunia Kedua yang mengorbankan lebih 70 juta nyawa, dunia secara logik haruslah menjadi lebih aman.

“Tapi tiga tahun selepas perang itu, pada 1948, negara Israel ditubuhkan di atas tanah Palestin. Israel kini mengemudi bahtera yang salah. Mereka lupa siapakah yang menyelamatkan Osvenzim, iaitu sebutan Poland bagi kem tahanan Yahudi di Auschwitz, Jerman yang pada waktu itu menempatkan etnik Yahudi (yang dibantai oleh Nazi).

“Ia juga tentang sifat hipokrit Barat yang kini berhempas pulas memerangi Russia, sedangkan dahulu USSR yang membantu menumpaskan Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua,” kata sumber.

Malah sumber tersebut berkata, sifat hipokrit Israel semakin jelas di bawah pimpinan Perdana Menteri baharu, Benjamin Netanyahu yang pada Mac lalu berikrar mempersenjatai Ukraine dalam peperangan dengan Russia.

“Tidak mengapa. Kini berlaku kebangkitan massa seluruh dunia melakukan revolusi global bagi menentang AS yang merupakan tulang belakang kepada neokonservatif.

“Ini jelas dilihat melalui langkah Brazil misalnya yang sekarang memilih untuk menyingkirkan petrodolar. Dengan solidariti global, kita semua akan berjaya memenangi pertempuran epik menumpaskan Zionis, kartel Rothschild dan kumpulan globalis oleh Klaus Schwab di WEF,” kata sumber itu lagi. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×