Jadilah pembangkang yang konstruktif

Jadilah pembangkang yang konstruktif

ADA pihak menuduh Anwar Ibrahim mahu berpolitik apabila menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ESOK genap tiga bulan saya menjadi Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) di Jabatan Perdana Menteri sejak melaporkan diri pada 2 Februari lalu. Tidak terasa, sekejap sahaja masa berlalu dalam kesibukan tugas harian tetapi sudah banyak yang berlaku dalam kerajaan perpaduan sepanjang tempoh ini.

Panas sekali kerusi Ketua Pengarah J-Kom sehingga berdepan pelbagai kritikan dan cemuhan daripada penyokong pembangkang ekoran tulisan saya. Ada yang lancang memperlekehkan dengan mendakwa saya sudah turun taraf dari seorang ahli akademik berwibawa menjadi tentera siber parti.

Walau apa pun, jika itulah harga perlu dibayar demi memastikan wujudnya Malaysia Madani yang aman sentosa, maka saya rela terima demi negara.

Saya insaf, sebanyak mana kritikan dan cemuhan ke atas diri ini, jauh lebih teruk kritikan dan cemuhan dilemparkan oleh penyokong pembangkang ke atas diri Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

Sudah banyak pembaharuan diperkenalkan oleh Anwar sejak beliau menjadi Perdana Menteri tetapi masih ada yang sanggup mengatakan beliau Perdana Menteri paling teruk dan zalim. Seperti yang Anwar sebutkan berulang kali, beliau sendiri adalah mangsa kezaliman dan tidak akan sesekali membiarkan kezaliman serupa ditimpakan kepada pihak-pihak lain.

Fokus utama beliau adalah tata kelola baik, membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Siapa sahaja yang terlibat akan didakwa tanpa memilih bulu. Ini perlu disokong oleh semua rakyat kerana kalau dikata memilih bulu, bukan sahaja pembangkang tetapi pegawai-pegawai menteri yang sedang berkuasa juga disiasat.

Jika saya mahu memilih keselesaan hidup, pastilah saya akan kekal berkhidmat di Gorontalo dengan segala kesenangan dan penghormatan yang diberikan kepada saya. Bagaimanapun, saya tekad meninggalkan keselesaan di Gorontalo atas kesedaran bahawa Perdana Menteri memerlukan bantuan di Malaysia. Untuk merealisasikan gagasan Malaysia Madani dengan jayanya, kerajaan memerlukan sokongan semua pihak dan tidak boleh terganggu dengan gugatan-gugatan tidak perlu.

Tugas J-Kom menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat dengan maklumat betul dan tepat supaya tidak timbul salah faham yang boleh membawa kepada tentangan. J-Kom juga berperanan untuk mendidik dan menyedarkan rakyat akan keperluan saling menghormati dan bersatu supaya tidak ada lagi sikap ekstremisme agama dan kaum.

Malangnya, tugas ini menjadi sukar bila pemimpin pembangkang terus-terusan memainkan sentimen agama dan kaum serta menyerang Anwar dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

Saya bangkitkan masalah air perlahan dan kualitinya teruk, jalan sempit dan berlubang serta sampah berlonggok di merata tempat dan kotor di Kelantan bukan untuk menghina. Pemimpin dan rakyat Kelantan perlu sedar dan mengubah minda mereka dalam soal pendekatan politik dan pentadbiran yang mereka ambil. Jika tidak mampu, akuilah tidak mampu.

Anwar sendiri berkali-kali menyebut, beliau tidak akan pernah mendiskriminasi mana-mana negeri termasuk yang diperintah oleh pembangkang kerana berpegang kepada prinsip keadilan. Sebab itulah bantuan tetap diberikan, malah ditambah pula oleh kerajaan perpaduan untuk membangunkan tanpa pilih kasih negeri-negeri yang berhadapan dengan keperluan.

Pembangkang sepatutnya memainkan peranan yang konstruktif dalam aspek pembangunan negara kerana mereka sendiri yang memilih untuk tidak menyertai kerajaan perpaduan.

DWIPARTISAN

Sebagai pembangkang yang konstruktif, mereka sepatutnya memberikan maklum balas membina kepada apa sahaja dasar dan tindakan diperkenalkan oleh kerajaan perpaduan. Sudah-sudahlah dibangkitkan soal mahu menjatuhkan Anwar sebagai Perdana Menteri kerana rakyat sudah bosan dengan politik tidak berkesudahan yang memenatkan minda.

Hentikanlah serangan ke atas Anwar dan kerajaan perpaduan dan jalinkanlah hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan sistem federalisme berjalan lancar.

Samalah juga dengan peruntukan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) sama rata kepada semua wakil rakyat Parlimen tanpa mengira parti yang dijadikan isu. Walhalnya Anwar sudah berkali-kali menyatakan kesediaan beliau untuk berbuat demikian, tinggal lagi pemimpin pembangkang perlulah datang berunding mengenainya.

Itulah yang dilakukan oleh Anwar sewaktu beliau menjadi Ketua Pembangkang, datang berunding dengan Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Hasilnya, termeterailah Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 September 2021 yang membawa kestabilan.

Ada di dalamnya komitmen kerajaan untuk memberi peruntukan CDF sama rata kepada semua wakil rakyat Parlimen sebagai timbal balas kepada beberapa komitmen pembangkang waktu itu. Itulah contoh pembangkang konstruktif, ada agenda baik yang dibawa seperti transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Saya menanti apakah pembangkang di bawah Datuk Seri Hamzah Zainudin berani dan berjiwa besar untuk membentuk satu kerjasama dwipartisan seperti dibuat oleh Anwar dahulu? Namun, apa yang disaksikan sekarang adalah pemimpin pembangkang mengelakkan diri daripada bersemuka dengan Anwar sekali gus menimbulkan persoalan mengenai motif sebenar mereka.

Anwar memperkenalkan Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat bermula 13 Februari pada setiap Selasa, tetapi pemimpin utama pembangkang sentiasa hilang.

Bila Anwar membuat inisiatif Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani bersamanya dan Kabinet di negeri-negeri pembangkang, ada yang menuduh beliau mahu berpolitik. Sedangkan ruang sebegini sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka untuk mendekatkan diri dan merapatkan hubungan antara pemimpin Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Apa pun, saya gembira kerana negara kini lebih demokratik, rakyat tidak terkongkong untuk bersuara, tetapi ingat jangan sampai memfitnah dan menyentuh 3R (kaum, agama, raja).

Semoganya Malaysia Madani akan lebih cemerlang, dan saya sendiri selaku Ketua Pengarah J-Kom rela diri saya menjadi benteng asal sahaja rakyat marhaen terpelihara. – UTUSAN

Datuk’ Dr. Mohammad Agus Yusoff ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) di Jabatan Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×