Kos sara hidup hantui golongan pekerja

Kos sara hidup hantui golongan pekerja

Kesukaran hidup yang dihadapi pekerja khususnya golongan B40 semakin membimbangkan. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMUM mengetahui, setiap 1 Mei merupakan sambutan Hari Buruh atau lebih dikenali dengan Hari Pekerja. Sambutan ini disambut di seluruh dunia. Seperti negara-negara lain, Malaysia juga mengiktiraf 1 Mei sebagai cuti umum. Bagi golongan pekerja, 1 Mei menjadi hari beriadah bersama keluarga tercinta.

Sebenarnya ramai yang tidak tahu atau tidak ambil peduli dengan asal usul kejadian Hari Pekerja ini. Sepertimana hari-hari istimewa lain, Hari Pekerja juga memiliki sejarah yang wajar diketahui oleh para pekerja dan majikan masa kini kerana Hari Pekerja bukanlah sekadar cuti umum yang sengaja diada-adakan.

Sejarah Hari Pekerja ini bermula sekitar 1880-an di Amerika Syarikat (AS). Ketika itu, AS mengamalkan sistem ekonomi laissez faire, iaitu kerajaan tidak masuk campur dalam hal ehwal ekomomi. Hal demikian membuatkan golongan kapitalis (pengusaha kilang) bukan sahaja menguasai ekonomi malah bermaharajalela dengan memaksa pekerja bekerja 12 hingga 14 jam sehari.

Selain itu, demi mengaut keuntungan berlipat kali ganda, golongan kapitalis ini bertindak kejam dengan tidak membenarkan pekerja mengambil cuti. Lebih parah lagi, golongan kapitalis ini sanggup mengambil kanak-kanak sebagai pekerja kerana pada masa itu tiada undang-undang mewajibkan kanak-kanak belajar di sekolah.

Hal ini menyebabkan para pekerja mula memperjuangkan hak mereka. Mereka menuntut agar tempoh bekerja ditetapkan kepada lapan jam sehari, cuti rehat seminggu sekali dan dibayar upah yang setimpal dengan kerja masing-masing.

Mereka melancarkan demonstrasi besar-besaran. Malangnya, mereka dipukul dan ditembak oleh polis yang diupah oleh pihak kapitalis sehingga tercetusnya Rusuhan Haymarket di Chicago, AS pada 4 Mei 1886.

Rusuhan Haymarket adalah kemuncak bagi konflik antara golongan kapitalis dan pekerja ini. Tragedi berdarah itu akhirnya membawa kepada sambutan Hari Buruh Antarabangsa dan menetapkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja.

KOMUNIS

Di Malaysia, Hari Pekerja mula diperkenalkan dan diiktiraf pada 1972 oleh Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu. Beliau mengisytiharkan 1 Mei sebagai cuti umum. Pada awalnya, idea itu ditentang oleh golongan kiri iaitu golongan sosialis dan komunis. Bagaimanapun, idea itu semakin diterima baik oleh orang awam. Hari Pekerja masih disambut sehingga sekarang. Namun, semangat Hari Pekerja semakin suram memandangkan tidak ramai yang memahami erti perjuangan para pekerja buruh ketika itu.

Tidak bermakna apabila menyambut Hari Pekerja, kita sudah bebas daripada sebarang masalah. Sebenarnya perjuangan dalam menuntut hak-hak pekerja tidak pernah terhenti. Di zaman yang serba mencabar ini, pelbagai cabaran dilalui oleh pekerja.

Perkara paling menghantui pekerja sekarang ini adalah kos sara hidup yang semakin meningkat. Apatah lagi selepas bertarung dengan pandemik Covid-19, kesukaran hidup yang dihadapi golongan pekerja khususnya golongan B40 semakin membimbangkan.

Apabila kos-kos lain meningkat tetapi pendapatan tidak berubah menyebabkan golongan B40 ini terperangkap di antara kerja dan kehidupan yang seimbang. Golongan ini terpaksa bergelut dengan permasalahan lain sehingga boleh mengganggu keseimbangan ekonomi.

PERUT

Pendapatan tidak setimpal dengan kerja dilakukan sering menjadi permasalahan utama. Malah bagi mengatasi masalah ini, ada pekerja yang melakukan dua atau tiga pekerjaan sekali gus dalam sehari semata-mata mahu menampung kehidupan sekeluarga agar selesa dengan tempat tinggal dan makanan yang cukup untuk mengenyangkan perut. Sepatutnya hal ini tidak harus berlaku di negara membangun. Jika perkara ini tidak dibendung awal, saya risau, kualiti kehidupan rakyat akan terjejas dan masa depan anak-anak mereka tidak terjamin.

Masalah pekerja bukan sahaja berkisar tentang pendapatan seharian. Waktu bekerja, cuti, juga sering kali disuarakan dan sehingga kini tiada penyelesaian. Selain itu, terdapat banyak lagi perkara perlu diambil kira seperti jaringan keselamatan sosial, imbuhan dan manfaat sampingan, kebajikan pekerja dan persaraan pekerja yang perlu diambil peduli.

Tidak lupa pula dengan masalah kebanjiran buruh asing di negara ini. Ketidakkawalan buruh asing di negara ini boleh menyebabkan timbulnya masalah sosial lain. Oleh demikian, kerajaan harus bertindak pantas dalam menangani dan membela nasib pekerja tempatan agar tidak dianaktirikan di tanah air sendiri.

Para pekerja sebenarnya tidak meminta banyak, asalkan mereka dilayan dan kebajikan mereka dijaga dengan baik. Sehubungan itu, mereka hanya boleh berharap kepada kerajaan agar membela kebajikan dan sekuriti sosial supaya status mereka sebagai pekerja terbela.

Umum amat menyedari bahawa sejak Hari Pekerja diperkenalkan di Malaysia, kerajaan telah banyak mem­bantu membela nasib pekerja. Antaranya penubuhan institusi-institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang komited dalam membantu dan membela nasib pekerja dan majikan.

Namun, kerajaan tidak boleh alpa dengan mengharapkan institusi-institusi ini memainkan peranan kerana zaman silih berganti dan setiap daripadanya akan timbul pelbagai permasalahan baharu yang perlu diambil kira.

Saya yakin sekiranya kebajikan para pekerja terbela, persekitaran kerja bagus serta pembayaran gaji munasabah adalah antara hak dinanti-nantikan oleh para pekerja yang menjadi tulang belakang sesebuah negara. Jika semua ini dijaga dengan baik, saya percaya Malaysia akan menjadi negara maju dengan melahirkan rakyat yang berilmu dan berkemahiran tinggi.

Masih belum terlambat untuk membuat pembaharuan. Sebagai pekerja juga, masih belum terlambat untuk memperjuangkan hak-hak mereka. Ayuh kita berganding bahu memperjuangkan hak di samping melahirkan suasana kerja yang produktif. Akhir sekali, saya ucapkan selamat hari pekerja kepada semua.

PENULIS ialah editor di sebuah syarikat penerbitan buku sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×