KUALA LUMPUR: Kempen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kali ini tidak sukar kerana gabungan itu hanya perlu `menayang’ semula janji-janji pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan UMNO yang tidak ditunaikan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, pengundi sudah tentu akan marah kerana PH dan UMNO seperti mempergunakan rakyat untuk merebut kuasa.
Berikutan itu, menurut beliau, PN yakin boleh menang di enam negeri iaitu Selangor, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang terlibat dengan PRN yang dijangka berlangsung Ogos ini.
“Kalau waktu PRU15, kita tidak meletakkan serangan kepada UMNO kerana kita memikirkan perpaduan itu boleh dipupuk kembali selepas pilihan raya, tetapi perkara itu tidak berlaku kerana UMNO memilih untuk bersama dengan PH bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Kita tiada masalah untuk perkara itu, cuma rakyat ingat apa yang dilaungkan UMNO dulu, No Anwar, No DAP, dan yang PH pula menolak isu-isu rasuah, tetapi kini orang yang terlibat dengan rasuah di sekeliling mereka, malah ada yang membarisi kedudukan dalam kerajaan hari ini.
“Jadi pada saya, laluan untuk menang PRN tidak sukar, kita hanya siarkan kembali kenyataan mereka untuk rakyat nilai sendiri tentang prestasi kerajaan dan apa yang dijanjikan mereka dahulu, tetapi tidak ditunaikan apabila menjadi kerajaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Idris berkata, beliau masih optimis orang Melayu terus kekal menyokong PN, selaras dengan rekod baik yang dicatatkan pada PRU15.
“Pada saya, mood itu masih baik dan semakin bertambah sebenarnya. Dulu kita dapat dalam 54 peratus, sekarang berdasarkan survey kita, peratusan itu semakin meningkat. Salah satu puncanya, ada orang UMNO yang masih tidak boleh menerima kerjasama dengan DAP.
“Untuk Selangor dan Negeri Sembilan insya-Allah dengan mood yang ada sokongan akan berpihak kepada PN, sebab kerajaan hari ini tiada feel good factor. Ruangan komen media sosial daripada masyarakat penuh dengan kemarahan, antaranya isu KWSP. Dulu mereka penuh formula sana sini, tetapi hari ini formula itu menjadi bahan jenaka.
“Biasalah, apabila sudah diberi kuasa, barulah warna sebenar seseorang pemimpin itu keluar. Rakyat boleh menilai sama ada mereka bercakap benar atau sebaliknya,” ujarnya. – UTUSAN










