PASIR PUTEH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan 33 kes penyeludupan melibatkan nilai rampasan barangan termasuk cukai lebih RM3 juta menerusi Op Badai dan Op Makmur II di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula 27 Mac lalu.
Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, operasi yang berakhir semalam melibatkan gerakan bersepadu anggota JKDM Kelantan, Terengganu, Pahang dan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra).
Menurut beliau, sepanjang tempoh itu, 16 kes melibatkan sebanyak 3,412,964 batang rokok bernilai RM2.9 juta termasuk cukai dirampas diikuti lapan kes rampasan mercun seberat 1.32 tan berjumlah RM65,686.
“Selain itu, JKDM turut merampas beras seberat 4.98 tan bernilai RM12,278 termasuk cukai dan tujuh kes rampasan lain-lain barangan bernilai RM97,837.
“Sepanjang operasi, seramai 10 individu ditangkap melibatkan tiga tangkapan kes seludup rokok, tiga tangkapan kes mercun dan empat tangkapan bagi lain-lain kes komoditi,” kata beliau di Pejabat JKDM Terminal Pengkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) di sini semalam.
Sazali berkata, Kelantan menyaksikan negeri tertinggi dalam kes penyeludupan berdasarkan kedudukannya yang bersempadan dengan negara jiran.
Katanya, kebanyakan kes di negeri ini membabitkan pergerakan jalan darat termasuk modus operandi menyeludup rokok dari negara jiran ke negeri-negeri di selatan tanah air dan Lembah Klang.
“Kedua-dua operasi yang dilaksanakan bertujuan mengekang penyeludupan rokok menerusi jalan laut dan darat sekali gus menjadi medan meningkatkan kemahiran operasi taktikal pasukan dan anggota JKDM,” kata beliau.
Kata beliau, semua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – UTUSAN











