PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memberi tiga pilihan kepada penerima Dana Kandungan Digital (DKD) yang belum menyiapkan filem iaitu sama ada meneruskan projek terlibat, runding semula pembayaran atau pulangkan dana yang diambil.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, beliau tidak mahu isu penyelewengan dana itu berulang kerana ia akan menjejaskan industri perfileman secara keseluruhannya.
“Kita mahu tampung balik kerugian yang ditanggung kerajaan selama ini. Kita juga mahu penerima dana lebih bertanggungjawab sama ada dana tersebut boleh dipulangkan semula, runding semula pembayaran atau teruskan projek.
“Ada syarikat yang langsung buat tidak tahu selepas kita hantar surat saman, surat amaran, panggilan telefon dan pelbagai peringatan lain. Bagaimanapun, ada syarikat yang positif mahu strukturkan semula pembayaran serta berjaya menyiapkan projek,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan pendedahan Md. Nasir mengenai penyelewengan dana Finas yang didakwa digunakan bagi tujuan ubahsuai rumah, pembelian kereta mewah, bayar hutang serta tujuan peribadi lain.
BUKTI
Md. Nasir berkata, pihaknya akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekiranya wujud penyalahgunaan kuasa serta bukti kukuh.
Dalam masa sama, beliau meminta lebih ramai pihak tampil menyalurkan bukti terhadap isu penyelewengan dana berjumlah keseluruhan RM20 juta itu.
“Keadaan lebih rumit apabila pengadu enggan memberikan kerjasama dan bukti yang mendakwa ‘kawan-kawan’ mereka tidak melunaskan janji menghasilkan filem,” katanya.
Sementara itu di Kulai, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, syarikat produksi serta individu yang terus berdegil dan enggan memenuhi tuntutan pembayaran semula geran itu akan disenarai hitam daripada sebarang bentuk bantuan.
Menurut beliau, setakat ini, hanya tiga daripada 47 syarikat atau individu yang menerima tuntutan tersebut telah membuat pembayaran semula dan jika ingkar, tindakan saman akan dibuat mengikut lunas undang-undang.
“Hal itu kerana dana yang diterima menerusi geran tersebut adalah duit rakyat yang bertujuan membantu produksi tempatan mengembangkan industri perfileman negara,” katanya selepas Program Sumbangan Baju Raya Sempena Program Cahaya Ramadan Bersama Telekom Malaysia (TM) di pusat beli belah Mydin Mall Kulai semalam.
Nie Ching berkata, kementerian telah meminta Finas mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) pemberian geran agar ia tidak lagi diseleweng.
“Kerajaan tidak akan memansuhkan dana tersebut hanya kerana wujud penyalahgunaan, namun kami meminta mereka untuk melakukan penambahbaikan terhadap SOP pemberian dana tersebut,” kata beliau.- UTUSAN











