PETALING JAYA: Dianggarkan hampir 200,000 pelarian perang dan pemohon suaka politik yang berada di negara ini sedang membina kehidupan selesa dengan mengukuhkan identiti dan penempatan komuniti masing-masing.
Semua pelarian dan pemohon suaka dipercayai datang dari kira-kira 50 buah negara dan jika Malaysia tidak menguruskan kelompok itu dengan sistematik, kumpulan tersebut boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara.
Ini kerana kelompok itu semakin berkembang kerana mereka beranak-pinak dan sebahagiannya menjangkau generasi ke generasi.
Semakan Utusan Malaysia mendapati, sejak 2008 sehingga Jun 2020, hanya 88,500 pelarian dari pelbagai negara berjaya dihantar ke negara ketiga.
Bakinya, yang tidak diketahui keberadaan mereka semakin berkembang kerana pelarian dan pemohon suaka tersebut semakin besar kerana `beranak-pinak’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia satu sumber berkata, daripada maklumat pelarian dan pemohon suaka politik ramai yang memilih untuk tinggal di kawasan bandar dan pekan di seluruh semenanjung.
LEMBAH KLANG
Populasi terbesar kelompok itu dikatakan banyak berada di Lembah Klang dan mereka bebas bergerak lebih-lebih lagi yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Menurut sumber itu, perkembangan kalangan pelarian dan pemohon suaka itu menjadi cacamarba apabila ramai dalam komuniti itu sudah ‘beranak-pinak’ sehingga menjangkau kepada beberapa generasi.
“Masalah pelarian dan pemohon suaka bukan hanya kepada individu induk itu tetapi mewariskan pula kepada anak-anak dari generasi ke generasi.
“Tidak ketahui apa status anak-anak golongan tersebut yang dilahirkan di negara ini dan jumlahnya dikhuatiri terlalu ramai tetapi pihak berkuasa tidak tahu,” kata sumber.
SUAKA
Selain ancaman keselamatan, sumber itu berkata, pelarian dan pemohon suaka juga menguasai ekonomi setempat sehingga ada dalam kalangan mereka sudah menjadi ‘tauke’ dengan membuka kedai runcit, gerai tepi jalan dan berniaga di pasar.
“Senario membabitkan pelarian dan pencari suaka ini berlaku akibat keengganan negara ketiga menerima mereka sehingga mereka perlu berada di pelbagai sektor pekerjaan bagi mencari sumber pendapatan kerana kerajaan Malaysia tidak menanggung mereka.
“Terdapat maklumat dengan bayaran RM5,000, pelarian sanggup membayar modal awal kepada warga tempatan untuk memohon lesen perniagaan sebelum lesen itu digunakan pelarian untuk menjalankan perniagaan.
“Sikap ‘ali baba’ sesetengah rakyat kita juga membuka ruang kepada pelarian ini untuk memilih terus kekal berada di negara ini meskipun alasan awal mereka hanya untuk tinggal sementara sebelum dihantar ke negara ketiga,” tegas sumber.
Paling dibimbangi, kata sumber itu, pengeluaran kad UNHCR tanpa melalui sebarang tapisan pihak berkuasa tidak mustahil sesiapa sahaja termasuk mereka yang mempunyai rekod jenayah menjadi pelarian di negara ini.
Didakwa terdapat segelintir rakyat dari negara yang tidak dilanda krisis peperangan ‘cuba-cuba’ memohon kad UNHCR, selain kes-kes memalsukan kad UNHCR oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang juga masalah besar di Malaysia.- UTUSAN










