‘Kemadanian’ Perlembagaan Persekutuan

‘Kemadanian’ Perlembagaan Persekutuan

ANWAR Ibrahim menandatangani buku Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi selepas melancarkannya di ibu negara, hujung tahun lalu. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 18 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan bukunya bertajuk Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi. Amat jelas Anwar mempunyai satu visi yang amat luas jangkauannya. Persoalannya, bolehkah visi ini dilaksanakan dan mencapai hasrat murninya?

Saya berpendapat visi Anwar ini yang telah lama disuarakannya adalah satu gagasan besar yang tersirat dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Malah, saya berani menyatakan Perlembagaan Persekutuan yang mengandungi 183 Perkara dan terperinci ialah sebuah perlembagaan madani.

Oleh itu kerana ‘kemadanian’-nya, tidak menghairankan Perlembagaan Persekutuan dapat bertahan dan digunapakai selama lebih 65 tahun sejak Malaysia mencapai kemerdekaannya.

Penubuhan kerajaan perpaduan yang dititah saran oleh Yang di-Pertuan Agong selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu tidak membolehkan mana-mana parti politik secara bersendirian menubuhkan kerajaan adalah bertolak daripada garis panduan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang madani ini (lihat Perkara 43).

Malaysia mempunyai sistem pemerintahan dwipasangan, iaitu gabungan antara raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Perlembagaan Persekutuan adalah punca kuasa, kuat kuasa dan keabsahan sistem ini. Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong antara lain menyebutkan “…mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan perlembagaan…”

Oleh itu, implikasinya Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Negara yang madani berteraskan ‘kemadanian’ Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga soal agama. Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa Islam ialah agama bagi persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai (Perkara 3). Oleh itu, hujah saya, Perkara 3 (dan Perkara 11) dalam Perlembagaan Persekutuan sesungguhnya bersifat madani sehingga menjayakan proses integrasi (bukannya proses asimilasi) masyarakat Malaysia yang pada umumnya aman dan damai.

Perkara 152 memaktubkan bahawa bahasa kebangsaan (untuk tujuan urusan rasmi) ialah bahasa Melayu tetapi bahasa-bahasa lain boleh digunakan, dipelajari dan diajar dengan bebas.

Mungkin Perkara 153 yang sering dikenali sebagai kedudukan istimewa orang Melayu biasanya tidak difahami oleh masyarakat umum. Oleh itu, mungkin ada persepsi bahawa Perkara 153 ini tidak bersifat madani, kerana mengistimewakan hak orang Melayu. Perkara 153 ini perlu dibaca dengan teliti. Tajuk Perkara 153 ini ialah Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Sabah dan Sarawak.

SURUHANJAYA REED

Oleh itu, keistimewaan ini hanya berkaitan dengan perizaban kuota untuk jawatan dalam perkhidmatan awam, tempat belajar di universiti, biasiswa atau derma siswa dan permit perniagaan baharu. Perkiraan kuota ini dibuat pada 1957 ketika orang Melayu berada sekadar di pinggiran dalam bidang perkhidmatan awam, tahap pendidikan dan kedudukan ekonomi.

Dalam Laporan Suruhanjaya Reed yang menggubal Perlembagaan Persekutuan, isu yang terkandung dalam Perkara 153 ini dikaitkan dengan kedudukan istimewa orang Melayu. Ini kerana orang Melayu ialah rakyat asal kepada raja-raja Melayu, berada sekadar di pinggiran berbanding dengan orang bukan Melayu ketika itu dan benar-benar perlu diberikan perizaban kuota tersebut.

Dalam masa sama, Perkara 153 juga menekankan bahawa kepentingan sah kaum-kaum lain wajib dilindungi oleh kerajaan Yang di-Pertuan Agong.

Oleh itu, pada saya, Perkara 153 adalah bersifat madani. Ini kerana dari satu segi, orang Melayu diberikan bantuan dalam bentuk perizaban kuota (yang dilaksanakan oleh Dasar Ekonomi Baru) dan bukannya hak istimewa seperti sering diperkatakan.

Dari segi lain, harta kekayaan, perniagaan, ladang dan lombong milik orang bukan Melayu yang telah terkumpul sejak 1870-an hingga kini kekal sebagai hak mereka.

Orang Melayu dan bumiputera membangun menerusi jalan pendidikan dan pengajian tinggi. Golongan usahawan dan korporat Melayu juga lahir hasil daripada kejayaan mereka dalam bidang pendidikan. Orang Melayu tidak mengambil alih kepentingan sah kaum-kaum lain. Ini kerana ‘kemadanian’ Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Perlembagaan Persekutuan juga terdapat peruntukan yang menjamin kebebasan diri (Perkara 5), larangan keabdian dan kerja paksa (Perkara 6), perlindungan undang-undang (Perkara 7), prinsip kesamarataan (Perkara 8), kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan (Perkara 10), kebebasan beragama (Perkara 11), kebebasan berpendidikan (Perkara 12), dan hak terhadap harta (Perkara 13). Kesemua hak dan kebebasan ini selari dengan prinsip madani yang disuarakan oleh Anwar.

Oleh itu, konsep kemampanan, daya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat dan ihsan yang terkandung dalam prinsip madani ini akan berjaya diterapkan dan berdaya tahan dalam sistem pemerintahan negara berlandaskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Buku madani hasil karya Anwar ini amat perlu dibaca kerana ia turut mengandungi pelan tindakan yang lebih mendalam berasaskan enam konsep utama yang disebut di atas. – UTUSAN

Profesor Emeritus Dr. Kamaruddin M. Said ialah Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×