Kit halal kesan sumber babi hanya 30 minit

Kit halal kesan sumber babi hanya 30 minit

1. Nor Amin Mohd. Noor menunjukkan kit ujian pantas halal bagi produk makanan dalam sesi wawancara mengenai makmal pengujian halal produk makanan di Makmal Global Haltech, Technology Park Malaysia, Bukit Jalil. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemantauan pro­duk halal di lapangan boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan menggunakan kit ujian pan­­tas (RTK) yang mengesan bahan sumber haram daripada babi dalam produk siap dalam jangka masa 30 minit.

Kit inovasi berteknologi tinggi terawal dibangunkan di Malaysia malah di peringkat dunia itu membolehkan produk siap dapat diuji di lapangan atau di kilang pemprosesan tanpa memerlukan peralatan berteknologi tinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Global Haltech Sdn. Bhd., Nor Amin Mohd. Noor berkata, ia boleh dikendalikan sesiapa sahaja asalkan mengikut setiap prosedur ujian ditetapkan, seumpama kit ujian kehamilan atau kit ujian RTK pengesanan Covid-19.

Menurut beliau yang juga pengasas makmal, Halvec laboratories Sdn. Bhd., kit ujian pantas itu dihasilkan menggunakan konsep padanan antibodi-antigen bagi menentukan kehadiran sumber daripada bahan babi dalam produk siap di pasaran dan keputusan ujian dapat diketahui ha­nya dalam tempoh 30 minit.

“Kit ujian pantas yang memperoleh akreditasi ISO17025 ini boleh digunakan untuk ujian ke atas produk dalam kategori bahan mentah, produk yang diproses, produk yang me­ngandungi gelatin dan produk yang mengandungi lemak serta minyak dari sumber haiwan,” katanya ketika ditemui di makmal Halvec, Global Haltech di Technology Park Malaysia, dekat sini baru-baru ini.

Kit RTK halal dibangunkan sejak 2013 oleh Global Haltech mendapat akreditasi melalui pengiktirafan Jabatan Standard Malaysia bagi menjamin kualiti serta integriti kit halal yang digunakan agar setiap keputusan yang diperoleh dipercayai tanpa sebarang keraguan.

Menurut Nor Amin, keha­diran sumber dari babi dalam produk siap memberi garisan kedua pada kit ujian pantas digunakan yang mana ke­simpulan keputusan tersebut diklasifikasikan sebagai positif keha­diran sumber babi.

Katanya, setakat ini lebih 1,000 produk di pasaran sudah diuji menggunakan kit ujian ini dan turut digunakan beberapa syarikat pembekal bahan mentah dalam dan luar negara bagi tujuan pemantauan dalaman berkala.

Pada masa sama, ia sudah digunakan beberapa badan halal luar negara untuk praktis jaminan halal bagi proses pembaharuan sijil halal.

Justeru, beliau menyarankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggunakan kit RTK Halal itu bagi memudahkan tugas pemantauan ke atas produk di pasaran yang sudah ada logo halal sekali gus mampu meningkatkan keupayaan jaminan status halal setiap produk.

Katanya, beliau pernah mencadangkan penggunaan RTK kepada Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri selepas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu membangunkan inisiatif ke arah pemantapan pensijilan halal melalui halal sains.

Beliau memberitahu, secara asasnya Jakim bersetuju dan pihaknya sudah mengadakan kerjasama dengan Jabatan Kimia untuk mengesahkan RTK Halal berkenaan sebagai satu penyelesaian pemantauan halal lebih berkesan, namun usaha itu tidak ada kesinambungan selepas pertukaran kerajaan dan menteri baharu mengambil alih.

Pada masa sama, jelas Nor Amin, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) boleh menggunakan kit RTK Halal itu untuk pemantauan produk di pintu masuk sempadan negara dan pengesahan ketulenan sumber haiwan ke atas produk daging import.

Ia sekali gus mampu memudahkan pelaksanaan pemantauan produk yang dibawa ma­suk ke negara ini benar-benar daripada sumber halal.

“Pengilang atau pengeluar produk boleh menggunakan tindakan sama untuk pemantauan sumber bahan mentah yang diperoleh dari pembekal.

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam juga digalakkan mengambil inisiatif sama untuk pengesahan status produk di pasaran yang diragui melalui sumber maklumat awam,” katanya.

Sebelum ini Amin pernah mendedahkan sekurang-ku­rangnya terdapat empat produk makanan import dengan logo halal dari luar negara yang diiktiraf Jakim didakwa mempunyai gelatin babi.

Kehadiran unsur babi itu dikesan selepas makmal Halvec mengambil sampel 100 produk di pasaran terbuka untuk diuji kemungkinan ia mempunyai bahan yang tidak halal.

Hasilnya, 22 produk yang diambil sampel bagi ujian itu didapati mengandungi unsur babi dengan empat daripadanya mempunyai logo halal luar negara diperakui Jakim.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Per­dana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar memberitahu, kerajaan sedia me­rombak prosedur pemantauan dan pematuhan halal jika wujud kepincangan dalam mana-mana peringkat sehingga berlaku pe­langgaran protokol rantaian industri itu.

Namun, beliau mahu me­ngambil pendekatan bertemu dengan pihak industri halal yang terlibat terlebih dahulu untuk mendengar dan mengenal pasti permasalahan supaya tindakan dan keputusan dilaksanakan lebih kukuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×