PETALING JAYA: Polis menemukan pelbagai jenis dadah antaranya ganja dan ekstasi bernilai lebih RM4 juta susulan penahanan dua lelaki disyaki pengedar dalam satu operasi khas di utara Semenanjung dan Sarawak.
Sumber mendedah kepada Utusan Malaysia, dalam Op Tapis Khas yang berakhir 19 Januari lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah memberkas seorang lelaki yang dipercayai aktif mengedar ganja di Pulau Pinang dan Perak.
Kata sumber itu, ketika tangkapan sejumlah ganja seberat 840,7 Kilogram (kg) bernilai RM2.1 juta dirampas. Ganja tersebut dipercayai dijual di pasaran tempatan di negeri terbabit,” katanya di sini, semalam.
Kata sumber, tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki berusia 26 tahun di Sarawak.
Jelas sumber, lelaki terbabit dipercayai baru seminggu berjinak-jinak dalam kerja-kerja membungkus dadah jenis ekstasi bagi pasaran di Miri, Sarawak.
“Ketika diberkas, 39.8 kilogram serbuk ekstasi yang dianggarkan bernilai RM1.9 juta dirampas selain menemukan empat laras senapang, diikuti 57 butir peluru hidup dan sepucuk pistol serta sebilah pedang samurai.
“Saki baki ahli kumpulan terbabit dipercayai dalam radar JSJN untuk dibawa ke muka pengadilan.,” ujar sumber.
Dalam pada itu, JSJN menerusi laman sosial rasmi Facebooknya memberitahu, sebanyak 2,508 pemeriksaan dilakukan mereka menerusi Op Tapis siri 1/2023 ini melibatkan kawasan Felda, Felcra, projek perumahan rakyat, kawasan perumahan, jeti, ladang swasta yang dijadikan sarang penagihan dadah.
Objektif operasi khas ini adalah untuk mengesan dan menangkap tokan–tokan dadah di hot spot yang dikenal pasti selain memusnahkan pot-pot penagihan dadah serta mengambil tindakan ke atas penagih-penagih tegar.
“Menerusi operasi yang melibatkan 1,595 orang pegawai dan anggota itu juga akan mengesan individu dikehendaki atas kesalahan dadah serta mengambil tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang telah dikenal pasti.
“Sepanjang tempoh sama, seramai 4,420 orang telah ditahan dan diperiksa yang mana daripada jumlah tersebut seramai 3,701 orang telah ditangkap termasuk 446 tokan dan 183 orang yang dikehendaki,” jelas hantaran itu.
Tambah hantaran itu, kesemua yang ditangkap berusia 14 hingga 71 tahun.
“Sebanyak 894 kg pelbagai jenis dadah, 53.23 liter pelbagai jenis cecair dadah, 647.6kilogram daun ketum dan 695.61 liter air ketum yang bernilai RM4.64 juta dirampas.
“Turut disita wang tunai, barang kemas dan kenderaan bernilai RM325,064,” katanya. – UTUSAN










