SEJAK zaman dahulu, masyarakat Cina berpegang teguh pada pepatah, rancangan setahun bermula pada musim bunga, rancangan sehari bermula pada waktu pagi. Tahun Baharu Cina yang bakal disambut esok juga dikenali sebagai chun jie (perayaan musim bunga) menandakan permulaan untuk setahun yang baharu. Sehari sebelum Tahun Baharu Cina dikenali sebagai chu xi. Pada hari tersebut, semua orang tidak kira tua atau muda akan pulang ke rumah masing-masing untuk berkumpul bersama ahli keluarga.
Chu xi amat bermakna buat masyarakat Cina. Lazimnya, mereka akan membersihkan dan menghiaskan rumah, kemudian menyediakan makanan mewah untuk dipersembahkan kepada nenek moyang dan dewa pujaan. Selepas itu, seluruh keluarga berkumpul di meja untuk menikmati makanan bersama-sama. Orang yang lebih tua akan memberikan angpau kepada orang muda dan kanak-kanak. Wang angpau itu dikenali sebagai ya sui qian. Menurut tradisi orang Cina, ya sui qian memberi tuah kepada pihak yang menerimanya. Jumlah wang angpau yang diberi bergantung kepada kemampuan ekonomi seseorang. Angpau diberi juga bertujuan memberi berkat kepada generasi muda agar maju dan berjaya.
Amalan shou sui dipraktikkan oleh masyarakat Cina pada malam chu xi. Ketika shou sui, semua orang tidak akan tidur sampai tengah malam dan memuja tian gong (dewa langit). Pada masa itu, setiap keluarga akan mengaturkan bahan-bahan pemujaan di hadapan rumah, menyalakan colok, membakar kertas pemujaan serta membakar mercun dan bunga api. Setelah bertungkus lumus sepanjang tahun, semua orang berdoa kepada dewa agar diberkati kesihatan, kesejahteraan, kemakmuran, kemajuan dalam pelajaran dan lain-lain aspek kehidupan dalam tahun baharu. Seterusnya, letupan mercun akan berdentam-dentum di sana sini sehingga keesokan pagi.
Pada hari pertama Tahun Baharu Cina atau chu yi dalam kalendar Cina, orang Cina memakai pakaian baharu, khususnya berwarna merah lalu berkunjung ke rumah saudara-mara dan rakan-rakan. Kunjungan seperti ini akan berlanjutan sehingga hari ke-15. Dalam tempoh itu, sekolah, pertubuhan perniagaan dan persatuan akan menganjurkan aktiviti kunjungan rombongan. Persembahan tarian singa dan tarian naga dapat dilihat di merata-rata tempat. Semua pihak akan menyebutkan tutur kata yang baik dan mulia apabila bertemu. Suasana gembira dan meriah menyerikan seluruh masyarakat.
Kini, di Malaysia bukan sahaja masyarakat Cina yang menyambut Tahun Baharu Cina, malah rakyat pelbagai kaum turut serta dalam aktiviti kunjungan pada perayaan bermakna ini. Terdapat segelintir masyarakat Cina mengadakan rumah terbuka. Jiran dan rakan pelbagai kaum turut dijemput hadir. Kunjungan muhibah sebegini dapat memupuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara kita.
Masyarakat Cina lazimnya membuat persiapan lebih awal, iaitu kira-kira sebulan sebelum menjelang Tahun Baharu Cina. Aktiviti sambutan perayaan ini pula dilanjutkan sehingga sebulan. Sehubungan itu, perbelanjaan untuk persiapan dan perayaan Tahun Baharu Cina banyak menjanakan ekonomi negara. Dalam sektor penjualan makanan dan minuman, musim perayaan ini banyak menambahkan permintaan terhadap bahan-bahan masakan berharga tinggi. Pelbagai jenis makanan seperti limau, kuih-muih dan biskut raya juga menjadi rebutan di pasaran. Selain itu, tempahan jamuan makan di restoran turut meningkat berkali ganda.
TANGLUNG
Di samping itu, pelbagai hiasan seperti tanglung ditawarkan di pasaran. Sebilangan besar keluarga Cina menampalkan chun lian di kedua-dua belah pintu depan rumah mereka. Chun lian ialah kata-kata hikmah yang ditulis dengan kaligrafi Cina pada kertas merah untuk membawa berkat dan menambahkan kemeriahan perayaan. Terdapat juga orang Cina yang mengecat semula rumah dan menukar perabot-perabot lama dengan yang baharu.
Kedai mencuci dan menyerikan kereta turut dipenuhi pelanggan. Bukan itu sahaja, salun kecantikan dan dandanan rambut juga tidak terkecuali daripada kunjungan pelanggan yang ramai. Begitu juga permintaan terhadap pakaian baharu dan aksesori turut meningkat. Dengan lain kata, sambutan Tahun Baharu Cina menggalakkan perkembangan ekonomi negara.
Tradisi menyambut Tahun Baharu Cina telah diwarisi masyarakat Cina beribu-ribu tahun lamanya. Tahun Baharu Cina menjadi salah satu perayaan yang amat penting buat masyarakat Cina di seluruh dunia. Melalui perayaan ini, orang Cina bukan sahaja menyambungkan jiwa dan tradisi masyarakat petani kuno terhadap kehidupan, malah mereka turut memperakui dan memperkembangkan kebijaksanaan hidup nenek moyang.
Baik atau buruk situasi ekonomi yang dihadapi, masyarakat Cina tetap akan menyambut Tahun Baharu Cina secara meriah atau sederhana. Saudara-mara dan rakan karib akan berkumpul bersama dan mengucapkan selamat tahun baharu. Mereka akan berbual-bual dan berbincang tentang topik berbeza-beza pada peringkat usia yang berlainan. Misalnya, rakan-rakan akan berbincang topik tentang pelajaran ketika berusia 20-an, topik tentang kerjaya pada usia 30-an, topik tentang rangkaian sosial pada usia 40-an, topik tentang status hidup pada usia 50-an dan sebagainya. Perbualan ketika berkumpul merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan saudara dan rakan.
Sesungguhnya, Tahun Baharu Cina mencetuskan suasana ceria dan meriah buat masyarakat Cina. Menurut bidalan orang Cina, semua orang tidak kira kaya atau miskin pasti akan menyambut Tahun Baharu Cina.
Sambutannya bermakna membiarkan kepergian yang lama dan menyambut kehadiran yang baharu. Melalui sambutan Tahun Baharu Cina, setiap orang berpeluang untuk memulakan babak baharu agar mempunyai masa hadapan yang lebih baik dan cerah. – UTUSAN
DR. Tee Beng Lee ialah lulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang sejarah dari Universiti Xiamen, China.










